Pages

Tuesday, November 30, 2010

Kisah: Lembing Awang Pulang Ke Dayang Berlaku Di Muar?

Lembing Awang terbang tikam mangsa

Tragedi Lembing Awang pulang ke Dayang membabitkan cinta tiga segi berlaku sekitar 1776 di Muar, apabila tunangan Awang dirampas anak penghulu, Bachuk.

CINTA sejati membawa ke mati..demi kasih, sanggup bergadai nyawa dan tidak berkahwin sampai ke mati.

Begitulah kisah benar 'Lembing Awang Pulang ke Dayang', yang berlaku kira-kira 232 tahun lalu dan sehingga kini masih popular bagi penduduk Johor, khususnya yang tinggal di Muar, tempat berlakunya peristiwa yang meragut 99 nyawa.

Peristiwa berdarah membabitkan cinta tiga segi itu berlaku sekitar 1776. Ia membabitkan seorang pemuda dikenali sebagai Awang dengan anak penghulu berketurunan Bugis iaitu Bachuk yang cuba merebut cinta seorang wanita, Dayang.

Kisah sedih itu bermula apabila dua keluarga bersaudara yang tinggal di Parit Raja dan Parit Besar masing-masing bersetuju menjodohkan anak mereka iaitu Awang dengan Dayang. Pasangan itu ditunangkan dalam satu majlis disaksikan penghulu dan pembesar kampung.

Adat resam kampung itu menetapkan, pemuda yang ingin berkahwin perlu merantau mencari pengalaman selama tiga tahun dan Awang juga tidak ketinggalan dalam hal ini. Sepanjang peninggalan Awang, Dayang sering menjadi mangsa fitnah pemuda kampung yang cemburu termasuk Bachuk.

Persengketaan sejak kecil dengan Awang membuatkan Bachuk merancang membalas dendam, apatah lagi bunga pujaannya, Dayang juga sudah menjadi tunangan musuh sekampungnya itu.

Anak penghulu itu berpakat dengan nakhoda kapal yang membawa Awang belayar supaya menulis surat kepada keluarga Awang mengatakan pemuda itu mati dalam pertarungan di lautan negeri Bugis.

Sebaik saja berita itu diterima keluarga Dayang, penghulu mendesak supaya pertunangan mereka dibatalkan segera. Sudah adat kampung, anak dara berusia lebih 15 tahun dianggap anak dara tua.

Desakan dan ugutan membuatkan keluarga Dayang bersetuju menerima pinangan Bachuk dan terus menetapkan hari persandingan. Sedangkan ketika itu, Awang di perantauan bertungkus lumus mencari rezeki dan ilmu sebagai bekalan berumah tangga.

Sepanjang tempoh merantau, Awang juga menuntut ilmu persilatan sehingga menang dalam beberapa pertandingan. Awang juga dianugerahkan dua bilah lembing iaitu panjang dan pendek yang menjadi pusaka kerajaan Bugis serta bungkusan wang.



Tiba masanya, Awang kembali ke tanah air dan sepanjang perjalanan Awang banyak membantu nakhoda kapal yang dinaikinya menewaskan lanun dan dianugerahkan sebuah perahu untuk ke darat.

Sudah tentu kepulangannya menimbulkan tanda tanya kerana rakan dan keluarga dimaklumkan Awang mati di perantauan tetapi tiba-tiba muncul semula. Menariknya hari kepulangan Awang itu juga adalah hari persandingan Bachuk dengan Dayang.

Sesetengah sejarah berpendapat Awang pulang beberapa hari sebelum persandingan dan menunggu masa menyerang Bachuk. Ada pula yang mengatakan Awang pula tepat pada hari persandingan dan terus menuju ke majlis itu.

Setiausaha Kehormat Persatuan Sejarah Kawasan Muar, Johor, Khamis Juned, berkata berdasarkan cerita lisan yang diwarisi generasi terdahulu, keluarga Dayang membuat keputusan mengahwinkan anak gadis mereka selepas Awang tidak pulang mengikut tempoh dijanjikan.

“Sebenarnya tempoh pertunangan itu masih kurang sehari daripada tempoh yang dijanjikan selama tiga tahun, sebab itu Awang belum pulang dan memang dia merancang mengotakan janjinya untuk pulang tepat pada masanya,” katanya.

Sebaik saja Awang mengetahui tunangannya dirampas Bachuk, beliau terus ke rumah pengantin dan melihat orang ramai memenuhi segenap ruang menyaksikan persandingan dua mempelai itu.

Ketibaan Awang mengejutkan banyak pihak terutama keluarga pengantin. Awang mencabar Bachuk bertarung di gelanggang dan belum sempat pengantin baru menyahut cabaran, lembing Awang terus menikam dadanya.

Bachuk sempat mencabut keris di dadanya dan membaling semula ke arah Awang tetapi terkena tetamu lain. Lembing itu dicabut mangsa kedua dan dibaling semula ke arah orang lain, seolah-olah lembing terbang untuk meragut nyawa sebahagian besar tetamu dan yang terakhir ialah bapa Dayang.

Bapa Dayang menyerahkannya kepada Dayang yang sedang menangis melihat tragedi berdarah tidak disangka berlaku di depan matanya.
 Anehnya, lembing itu seolah-olah mati sebaik saja berada di tangan Dayang. Antara yang terkorban ialah bapa Dayang, ibunya, ibu bapa Awang dan ibu bapa Bachuk.

Disebabkan lembing meragut 99 nyawa itu diserahkan kepada Dayang, pengkaji sejarah menamakan tragedi itu sebagai Lembing Awang Pulang ke Dayang.

“Semua mangsa dikebumikan dalam kubur besar di sebuah kebun di Parit Raja dan digelar Makam 99. Kubur itu tidak bertanda tetapi penduduk di situ percaya ia memang terletak di situ,” katanya.

Akhirnya, Awang lari membawa diri dan bertempur dengan pengikut Bachuk di pangkalan manakala Dayang tidak berkahwin hingga ke akhir hayat. Lembing itu disimpan Dayang dan diwarisi keluarganya.

INFO:
Kejadian berlaku di Padang Terbakar, Muar.
Semua mangsa korban dikebumikan di sebuah kebun di Parit Raja dan dikenali sebagai Makam 99.


Sumber:  Akhbar Berita Minggu, 25 Mei 2008
                http://www.perisai mahkota.blogspot.com
                http://www.mistik4u.blogspot.com

Saturday, November 27, 2010

Hari Keputeraan Sultan Johor dan Hari Hol Almarhum Dipinda







 Dengan hormatnya dimaklumkan kepada semua adalah pengumuman tarikh pindaan Cuti Umum bagi Negeri Johor. Berikut tarikh-tarikh pindaannya :

Sambutan Ulangtahun Hari Keputeraan Sultan Johor dipinda dari 8 April kepada 22 November. Hari Hol Almarhum di pinda dari 6 Rejab 1431 (19 Jun 2010) kepada 6 Safar 1432.
Sehubungan dengan itu tarikh 8 April 2010 dan 19 Jun 2010 bukan lagi Cuti Umum.


Sultan Ibrahim yang dimasyhurkan sebagai Sultan Johor kelima pada 23 Jan lepas, iaitu sehari selepas kemangkatan ayahanda baginda, telah berkenan terhadap pindaan tarikh-tarikh itu.

Tuesday, November 16, 2010

Selamat Menyambut Hari Raya Eidul Adha

Alhamdulliah...Syukur kita ke hadrat illahi dapat juga kita menyambut Hari Raya Qurban atau di panggil Aidiladha yang penuh dengan keberkatan kepada umat Islam seluruhnya. Kita sebagai umat Islam perlulah menghayati erti sebuah pengorbanan. Aidiladha tiba tanpa pesta dan hiburan. Hanya Takbir, Solat di hening pagi yang indah serta ibadah korban yang didukung jiran tetangga. Semangat Ukhwah juga akan terjalin sesama jiran tetangga di dalam melaksanakan ibadah korban ini. 

Berdasarkan kepada hadis (terjemahan) “Tiada amal anak Adam yang lebih disukai Allah pada hari Aidiladha melainkan ibadat korban. Sesungguhnya binatang yang dikorbankan itu akan datang pada hari kiamat lengkap dengan tanduk, bulu dan kukunya. Sesungguhnya ibadat korban ini diredhai Allah sebelum darah binatang itu jatuh ke bumi. Maka hendaklah kamu berasa lapang dada dan reda akan ibadat korban yang kamu lakukan.” (Hadis riwayat At-Tirmizi)



Saturday, November 13, 2010

Cerita Lagenda Si Tanggang Di Bukit Treh, Muar


Sepertimana ramai orang tahu akan kewujudan Kota A Famosa di Melaka, rasanya begitu juga ramai orang Melayu pernah mendengar cerita Si Tanggang, seorang anak derhaka yang disumpah oleh ibunya sehingga dia dan seisi kapal miliknya bertukar menjadi batu. Cerita lagenda Melayu ini sangat terkenal sehingga ada beberapa lokasi di Tanah Melayu dikaitkan dengannya, termasuk Batu Caves di pinggir bandaraya Kuala Lumpur yang sekarang terkenal dengan kuil Hindu serta patung dewa setinggi bangunan 14 tingkat di hadapannya.



Wilayah Indonesia juga memiliki cerita yang serupa, cuma nama wataknya berbeza iaitu Malim Kundang. Kesannya dikatakan masih ada di Sumatera, hingga kini masih kelihatan batu-batan berbentuk sauh, tali kapal, manusia dan sebagainya. Tetapi berapa ramai yang tahu cerita anak derhaka disumpah jadi batu ini juga dikatakan berlaku di Muar, lebih tepat lagi di Bukit Treh, satu-satunya bukit yang terletak dalam lingkungan 5 km daripada pusat bandar kedua terbesar di Johor itu.

Sekadar mengimbas kembali, Si Tanggang dilahirkan di kalangan keluarga miskin yang duduk di pinggir hutan, ada yang kata daripada keluarga orang asli. Apabila masuk remaja dia telah keluar merantau ke negeri orang, ada pula cerita yang menyebut dia telah ditangkap rombongan pendatang yang kemudian membawanya belayar ke negeri lain. Apapun, anak muda ini sangat rajin, pintar serta pandai menyesuaikan diri dengan keadaan. Maka dia berjaya menjadi saudagar kaya-raya dan turut menjadi nakhoda kapal, dapat berkahwin dengan beberapa orang isteri (menurut satu riwayat, tiga orang) dan isteri nombor tiga adalah seorang puteri raja.



Pada suatu hari Si Tanggang telah keluar belayar membawa ketiga-tiga isterinya berjalan. Kebetulan dan tanpa disedari dia telah singgah di kampung halaman tempat asal-usulnya. Dipendekkan cerita, ibu-bapanya yang telah lama tidak ditemui mendapat tahu tentang kedatangan seorang saudagar yang memiliki ciri-ciri anak mereka yang hilang lalu pergi menyiasat. Setelah pasti itulah Si Tanggang, mereka cuba merapatinya dengan membawa makanan hutan kegemarannya semasa kecil dahulu.

Sebenarnya Si Tanggang sedar bahawa orang yang datang itu adalah ibu-bapa kandung yang telah membesarkannya dahulu tetapi beliau terasa malu hendak mengaku di hadapan orang-ramai terutama para isterinya yang cantik rupawan lagi bangsawan. Apapun, menurut ceritanya, isteri ketiga yang merupakan seorang puteri raja telah menyuruhnya menerima kedua orang tua yang datang itu. Katanya, apa salah mengaku ibu bapa kandung sendiri tak kiralah seburuk mana pun rupa mereka.

Rupa-rupanya kata-kata ini telah membuat Si Tanggang terasa lebih malu dan tersinggung. Beliau mula mengeluarkan kata-kata kesat dan sumpah-seranah menyuruh orang tua itu pergi. Dalam keadaan hati hancur luluh dihina begitulah si ibu lalu menadah tangan kepada Ilahi seraya berdoa, kalau betullah pemuda di hadapannya adalah Si Tanggang yang pernah dikandungnya selama 9 bulan lebih, maka buktikanlah dengan menukarkan segalanya menjadi batu.
Oh baru teringat, ada satu sahaja perbezaan antara cerita Si Tanggang yang dikenali ramai dengan cerita serupa di Muar. Watak utama di Bukit Treh, Muar telah bertukar menjadi helang yang dikatakan sampai sekarang kadang-kala berlegar di kawasan itu, helang lagenda yang dikenali sebagai helang makku! Sebabnya, ia terlalu menyesal atas kesalahannya lalu sering keluar terbang sambil menjerit merintih memanggil ibunya,Makku!



Jelaslah kalau begitu, watak itu ceritanya serupa dengan cerita Si Tanggang tetapi orangnya lain. Yang pasti, memang ada sebuah bukit kecil yang kalau diteliti rupanya memang kelihatan seperti sebuah kapal yang terbalik. Dan ada kesan-kesan bentuk rupa batu-batan yang menandakan kawasan itu pernah menjadi laut suatu masa dahulu.

Mengikut cerita orang tua-tua, di situ juga pernah terdapat sebuah pintu gua di mana penduduk kampung boleh keluar-masuk dan meminjam pinggan-mangkuk daripada alam bunian untuk digunakan dalam majlis keramaian. Tetapi pintu gua itu telah lama terkambus, sejak seorang penduduk kampung melanggar syarat kerana tidak memulangkan pinggan-mangkuk yang dipinjam.

Wednesday, November 10, 2010

AnakJatiMuar is under maintenance


Assalamualaikum w.b.t dan Salam Sejahtera..

Kerja-kerja menaiktaraf AnakJatiMuar sedang dijalankan dalam beberapa ketika ini. Sementara memberi komitmen dalam peperiksaan akhir yang sedang dihadapi. Sesiapa yang mempunyai kemahiran dalam 'design' blog amat di alu-alukan memberi tunjuk ajar kerana saya sudah lama tidak update blog ini..Hubungi melalui email atau add skype, shahgt128@gmail.com(email) dan shah_headmuo(skype)..

Sekian..
Shah_headmuo

Apa yang Istimewanya Johor? part.1


Perkataan ‘Ekkk’… ‘Ekk’ ialah trademark orang Johor. Digunakan di hujung SETIAP ayat menggantikan tanda soal. Sebagai contoh, “Ni awak punyer ekk?”,” Nama awak saper ekk?”, “Kenapa kite kaler tak cantik ekk ?” dan macam-macam ekk lagi.

Johor Bahru-Johor-JB…..Orang Johor panggil Johor Bahru bukan JB, tapi Johor, jangan terkejut. Kalau orang di negeri Johor sebut Johor, ia sebenarnya Johor Bahru (JB), sebuah bandar (ibu negeri Johor) dan bukan Johor, negeri. Biasa digunakan oleh mereka yang tinggal di luar Bandar Johor Bahru seperti di Masai, Kulaijaya, lain-lain. Sebagai contoh, “Beb, gua nak turun Johor laa. Lu mahu ikut gua tak? “ Jadi, sekiranya anda sememangnya anak jati Johor, tak kira di daerah mana pun kalau kata nak pergi Johor, sebenarnya nak ke Johor Bahru la tu. Jangan pulak buat lawak bongok** berkata, ” Eh, lu kan dah ada kat Johor?”…

Loghat Muar…’pronounce’ Muar as MUOR (kena juih bibir sikit). Di akhir perkataan yang sepatutnya berakhir dengan “AR” ditukar kepada “OR”. Muar ni lain daripada yang lain. Lain pula dengan Melaka yang di tukar dengan “AU” bukan “OR”. Sebagai contoh, “Aku kena pakai seluor besor untuk main bola kat Bandor Muor besok (Aku kena pakai seluar besar nak main bola di Bandar Muar esok) - Muar..”Aku kena pakai seluau besau untuk main bola kat Bandau Muau sok” - Melaka...Aku sebagai anak jati Muar, kadang-kadang tu terkeluar gak bahasa Muar yang ramai tak paham…Tapi apa yang aku tahu bahasa Muar ni agak kasar sedikit jika nak di bandingkan dengan bahasa dari daerah lain di Johor..jangan terkejut..Bahasa Melaka lagi kasau kalau nak tahu..tak percaya, berborak la dengan orang Melaka, kalau anda jenis tak sakit hati..Aku cuma cakap macam tu bila berjumpa dengan ‘true blue Johorean’ aje. Lapo (lapar), penampor (penampar), ulor (ular), pagor (pagar) dan lain-lain.


Perkataan ‘Endut’..Diorang ada endut **. Kalau tak pernah berendut, mesti pernah ada endut tak pun busuk-busuk pun teringin nak ada endut, betol tak?. Contoh ayat, “Haa…kau dah ada endut yer ? Kau pergi berendut kat mana ? Orang berendut dia pun nak berendut”.


Kenduri Kawin Ada Telur Pindang.. Telur pindang ialah telur ayam yang direbus dengan segala macam rempah dan dedaun untuk mendapatkan rasa yang begitu sedap. Makan telur pun tak pe. Lepas rebus, telur akan berwarna cokelat. Kulit dan isi pun warna cokelat. Aku suka makan telur pindang ni sebab kenduri kahwin kat negeri Johor je ada..Lagipun beli kat kedai pun 1 biji telur pindang yang dah siap di masak ni menjangkau lebih kurang RM2.00.. Kebiasaannya, orang buat telur pindang ni untuk sesuatu majlis keramaian, seperti majlis perkahwinan. Zaman dulu-dulu, selalunya orang kaya-kaya je buat telur pindang ni sebab ianya rumit dan makan masa berjam-jam selain menggunakan kos yang tinggi.

Perkataan leca, gobok dengan gebor..Tidur atas leca**. Baju simpan dalam gerobok **@gobok. Tidur pakai gebor (selimut). Perkataan ini sangat biasa di gunakan oleh orang Johor. Jangan terkejut kalau bukan orang Johor pun tahu ataupun pakai perkataan ini..

Siaran TV Singapore dengan Indonesia…Orang Johor jarang tengok RTM sebab semua cerita dah tengok kat TV Singapore ngan indonesia!!! Tapi, TV Singapore cuma dapat ditengok oleh penduduk JB dan kawasan yang sewaktu dengannya. Kalau pegi tengok daerah lain macam Muar, Segamat, dan lain-lain, dapat dilihat aerial TV semua setinggi pokok kelapa – semata-mata nak dapatkan siaran dari Singapore ngan indonesia!…Tapi lagi senang pakai Astro, tak payah panjat-panjat nak ‘adjust’ aerial yang tinggi-tinggi tu.

Rujuk Kamus Johor :

Saing - pergi bersama-sama..”nanti kite saing ehh gi sekolah”
Bongok – bodoh Bigor – gila-gila, contoh :- Apek Senario tu macam budak BIGOR ekk
Endut – makwe/pakwe. Awek/balak. Boifren/girlfren. Boleh digunakan tanpa mengira jantina.
Berendut - berpasangan. Pergi berendut- dating.
Leca - tilam. Biasanya dibuat sendiri menggunakan kekabu (orang zaman dulu-dulu semua DIY – tak ada Vono, Slumberland ).
Gerobok, Gobok -Almari. Tak kiralah simpan kain baju ke, simpan pinggan mangkok ke. Sajak sesuai @ tidak -bkn puisi tau!!…
roti perata – roti canai
semangka -tembikai
epok2 –karipap