Budaya dan Fahaman Hedonisme : Barah Pemikiran Masyarakat
1.0 PRINSIP UTAMA ALIRAN SEKULARISME
Sekularisme
bermaksud ideologi yang memisahkan agama dengan negara.
Budaya ini meletakkan 5 prinsip utama sebagai neraca dalam amalannya, dan
prinsip tersebut dengan jelasnya tidak mengakui tuhan sebagai kuasa Pencipta
teragung. Dalam erti kata yang lainnya, manusia yang termasuk dalam dunia
hedonisme ini bertuhankan nafsu semata-mata. Hari demi hari yang dilalui
hanyalah untuk mengejar kekayaan dunia, bermegah dengan pangkat dan kuasa
hingga lupa kepada hakikat kehidupan yang sebenar yakni sebagai hamba Allah
yang amat kerdil, hina dan penuh kelemahan. 5 daripada prinsip tersebut ialah:
1.1
PRINSIP VETALISME
Prinsip Vetalisme menekankan apa-apa
yang berbentuk kuat dan menguntungkan dari segi kebenaran akan dianggap baik.
1.2 PRINSIP KREATIVITI
Prinsip Kreativiti meletakkan sesuatu
yang boleh mencetuskan daya kreativiti dan menghasilkan ciptaan baru akan
dianggap sabagai baik dan bermutu.
1.3 PRINSIP RELATIVE
Prinsip Relative pula menekankan tidak
ada sesuatu konsep dan pemahaman terhadap sesuatu fakta atau teori yang
bersifat mutlak dan kekal. Sebaliknya semuanya boleh berubah mengikut perubahan
zaman dan perkembagan ilmu pengetahuan.
1.4
PRINSIP HEDONISME
Prinsip Hedonisme pula menggariskan
apa-apa sahaja yang boleh memuaskan hawa nafsu manusia akan dianggap baik ,
manakala apa-apa sahaja yang boleh membawa penderitaan nafsu akan dianggap
buruk
1.5 MAJORITI RAKYAT (DEMOKRASI)
Prinsip
terakhir pula menganggap majoriti
masyarakat sebagai pemutus. Aliran ini menganggap pilihan majoriti
adalah baik.
Antara
yang amat sinonim dengan budaya ini ialah sambutan pesta tahun baru secara
besar-besaran yang lebih kepada aktiviti konsert, penyalahgunaan dadah,
sambutan ulang tahun yang membazir dengan tempahan itu ini dan mengundang artis
untuk mengadakan persembahan, gejala sosial seperti pergaulan bebas, bidang
seni dan perfileman yang seringkali disalahguna, korupsi atau rasuah yang
berleluasa. Ramai anak muda lebih suka menghadiri konsert
dengan muzik hingar bingar yang membingitkan daripada mendengar alunan suci
Al-Quran. Terkinja-kinja di bawah pentas hingga lupa 5 waktu solat fardhu yang
berlalu begitu sahaja. Masa terbuang begitu sahaja di pusat-pusat karaoke,
sehinggakan laungan azan yang berkumandang di masjid berdekatan terasa
menyakitkan telinga. Artis luar negara dengan apa entah cara pemakaiannya
dijemput dengan belanja beratus ribu malah berjuta, tapi belanja untuk perbaiki
masjid berat untuk dikeluarkan. Belanja untuk mengadakan ceramah atau aktivti
bercorak keagamaan terasa membazir. Ada yang lebih teruk, lebih suka
berpegangan tangan atau lebih daripada itu, dengan teman wanita atau lelaki,
padahal ibu ayah atau adik beradik sendiri jauh sekali.
2.0 PUNCA-PUNCA PENULARAN
Terdapat
pelbagai punca budaya hidonisme ini menular dalam kalangan masyarakat kita pada
hari ini. Kita seharusnya tidak memandang remeh terhadap perkara ini kerana
sememangnya budaya ini yang menjajah dan menghanyutkan pemikiran serta minda
masyarakat kita terutamanya golongan remaja. Berikut merupakan beberapa punca
penularan tersebut yang dapat di bincangkan:
2.1
PENGARUH MEDIA MASSA
Melalui perkembangan media massa, pengaruh
budaya hedonisme ini dapat menular ke negara ini dengan jayanya. Secara
umumnya, hedonisme itu boleh dianggap neokolonialisme yang dikhususkan
serangannya kepada generasi muda oleh Barat. Pelbagai konsep dan cara hidup
seperti cara hidup ‘Happy Go Lucky’, melepak, mengunjungi pesta liburan, seks
bebas dan sebagainya adalah termasuk dalam tabiat ini. Secara jelas, konsep
yang dikemukakan itu hanya mementingkan kepuasan nafsu tanpa wujudnya sebarang
panduan atau batasan tertentu terutamanya ajaran agama. Melihat kepada situasi
masyarakat pada hari ini, dapat disimpulkan bahawa budaya ini telh berjaya
mempengaruhi kehidupan masyarakat kini.
2.2
KEMUNCULAN PELBAGAI PUSAT HIBURAN
Budaya hedonisme ini begitu cepat menular di
kalangan remaja yang terpengaruh dengan keseronokan dan aktiviti yang dianggap
dapat menghilangkan rasa bosan terutama remaja di bandar besar. Dengan
kemunculan pelbagai pusat hiburan di seluruh pelusuk negara bagai cendawan yang
tumbuh selepas hujan telah menyebabkan hedonisme merebak dengan pantas tanpa
disedari. Keadaan bertambah buruk apabila penyalahgunaan dadah begitu
berleluasa. Ini termasuk penggunaan pil Eecstasy
yang banyak digunakan oleh remaja kota.
2.3 KERUNTUHAN INSTITUSI KEKELUARGAAN
Keruntuhan institusi keluarga dan kepincangan rumahtangga yang berpunca
daripada perceraian, poligami dan sebagainya juga memberi tekanan kepada jiwa
remaja. Sekaligus menyebabkan mereka bertindak mencari ketenangan di luar rumah
dengan menghabiskan masa bergaul dengan rakan-rakan yang memahami perasaan dan
masalah mereka. Dengan cara itu, mereka dapat melupakan masalah yang mereka
hadapi seterusnya lena dibuai keseronokan bersama kawan-kawan.
2.4 KURANG PENGAWASAN IBUBAPA
Sikap ibu bapa yang kurang memberikan pengawasan kepada anak-anak juga
memberi peluang kepada remaja-remaja ini untuk keluar berpeleseran dan
menghabiskan masa terluang dengan aktiviti yang tidak bermanfaat. Kebanyakan
ibu bapa pada hari ini lebih mengejar kemewahan duniawi dan kepentingan
materialistik semata-mata sehingga mengabaikan kebajikan anak-anak. Ekoran
daripada sikap ibu bapa tersebut, anak-anak pastinya terbiar, tidak dapat
perhatian dan kasih sayang. Malah, lebih teruk lagi terdapat juga anak-anak
merasakan bahawa diri mereka tidak diperlukan lagi. Sehubungan dengan itu,
mereka mencari ketenangan serta keseronokan di luar dan bercampur dengan
rakan-rakan yang mengalami nasib yang sama.
2.5 PEGANGAN AGAMA YANG TIDAK TEGUH
Apabila pegangan agama masyarakat khususnya
golongan muda tidak teguh, mereka tidak akan mendapat 'makanan jiwa' dan inilah
menyebabkan mereka mudah berpaut pada nilai hedonisme ini. Kesan globalissasi
dunia tanpa sempadan menjadi punca kepada 'cedukan' budaya keterlaluan
hedonisme sehingga ada yang menghalalkan cara hidup barat yang sekali gus
bertentangan dengan resam negara ini. Justeru elemen kesederhanaan perlu ada
dalam diri setiap individu bagi menghalang hedonisme sebelum menjadi wabak.
3.0 KESAN-KESAN DAN LANGKAH-LANGKAH PENCEGAHAN
Hedonisme
menggariskan keseronokan sebagai tunjang utama kehidupan. Keseronokan ini
diputuskan sendiri oleh akal manusia. Berikut merupakan kesan-kesan dan langkah
pencegahan daripada dapatan kajian:
3.1 KESAN-KESAN
HEDONISME
Hedonisme
sedikit sebanyak bertepatan dengan matlamat sekularisme yang mahu memastikan
manusia bebas dari unsur ketuhanan. Antara kesan-kesan penularan budaya
Hedonisme ialah:
3.1.1 Sukakan Kebendaan (Skim Cepat Kaya)
Sejak akhir-akhir ini
terlihat seolah-olah ada kecenderungan masyarakat untuk hidup mewah, bergaya
dan berhibur secara berlebih-lebihan. Pengaruh budaya hidup serupa inilah yang
menyebabkan masyarakat terus dibebani hutang. Keinginan untuk hidup
mewah dan dipercayai menyumbang kepada peningkatan kes terlibat dengan Skim
Cepat Kaya. Keinginan untuk mendapat keuntungan yang besar dengan kerja yang
sedikit membuat ramai dikalangan remaja terlibat dalam skim ini tanpa
memikirkan halal atau haram.
3.1.2 Pemerkosaan / Rogol
Jenayah yang tidak
pernah lekang dari paparan Media Massa ini semakin hari semakin meruncing. Sebanyak 24,635 kes
rogol direkod oleh negara ini dari tahun 2003 hingga 2011. Pada 2003, jenayah rogol
mencatat 1,479 kes, 2004 (1,765), 2005
(1,931), 2006 (2,431), 2007 (2,098), 2008 (3,409), 2009 (3,626), 2010 (3,595)
dan 2011 (3,301).
3.1.3 Wanita dan Seks
Berteraskan hak dan
asasi manusia segelintir muda mudi kini seolah-olah agak susah untuk ditegur. Senario yang berlaku
dalam negara ketika ini apabila kebanyakan remaja “hilang rasa malu apabila
melakukan aktiviti seks bebas”. Kes anak luar nikah diburukkan lagi dengan
laporan yang terbaru mengenai amalan seks bebas remaja hari ini boleh dianggap
memasuki zon kritikal apabila data dikumpul daripada rumah perlindungan wanita
di Lembah Klang mencatatkan 2,701 kes kehamilan luar nikah sejak 1996 hingga
September 2009.
3.1.4 Hiburan
Generasi muda yang
diharapkan menjadi barisan pelapis untuk menerajui dan mencorak pembangunan
ummah dan negara, disibukkan dengan hiburan yang melampau-lampau. Mereka lebih bersemangat
untuk berbicara tentang gosip sensasi para artis, filem-filem terbaru di
pawagam, lagu-lagu yang sedang popular dan pelbagai topik lain yang berkaitan
dengan hiburan. Penyakit ini bukan sahaja menimpa golongan muda mudi kurang berpendidikan,
malah dukacita apabila ianya turut berjangkit kepada golongan mahasiswa
mahasiswi di institut pengajian tinggi. Fenomena ini dapat dibuktikan melalui pengaruh
penampilan fizikal, tutur kata, tindakan dan amalan majoriti para remaja zaman
ini.
3.1.5 Gangterisme
Gangsterisme bermaksud
kelakuan yang memusnahkan yang dilakukan secara berkumpulan. Kebiasaannya
kegiatan gengsterisme ini meliputi; Merompak, menyeluk poket, terlibat dalam
lumba haram (rempit), mencuri kereta, mengedar dadah, minum arak, terlibat
dalam seks rambang, mengugut peniaga-peniaga kecil untuk memberi wang
perlindungan bagi menjamin keselamatan mereka, bergaduh, buli dan sebagainya. Penglibatan golongan ini
semakin hari semakin serius sehinggakan mereka mula menular ke sekolah-sekolah
sehingga timbul kes-kes ugutan dan buli sesama pelajar.
3.2 LANGKAH-LANGKAH
PENCEGAHAN
Setiap
penyakit pasti ada ubatnya melainkan sakit tua dan mati, cuma masa yang diambil
untuk menyembuhkan sesuatu penyakit mungkin mengambil masa berhari-hari,
berminggu-minggu, berbulan-bulan atau bertahun-tahun. Demikian juga dengan
penyakit Hedonisme. Berikut merupakan langkah-langkah mengatasi perkara ini:
3.2.1
Nilai-nilai Islam
Penanaman dan pengukuhan
nilai-nilai Islam di dalam jati diri umat Islam. Hal ini adalah amat
penting kerana didalam masyarakat Islam menongkah arus globalisasi pada masa
kini. Jati diri dan pegangan
umat Islam terhadap syariat Islam perlulah kuat dan mantap. Perkara ini perlulah
dilaksanakan tatkala anak-anak masih lagi kecil bak kata pepatah, melentur
buluh, biarlah darirebungnya. Hal ini disebabkan merekalah pewaris agama yang
suci dan perlu bagi mereka memahami dan mencintai Islam semenjak mereka masih
lagi kecil.
3.2.2
Dakwah
Gerakan dakwah perlulah
dipertingkatkan lagi. Para pendakwah perlulah meluaskan skop dakwah mereka supaya lebih ramai
pihak akan menerima dakwah yang disampaikan. Mereka juga perlu mengubah cara
mereka menyampaikan dakwah. Skop yang perlu dikaji: Mengapa agaknya belia
Muslim sekarang agak luntur pegangan agamanya dan menganggap agama Islam itu
terpisah dari kehidupan seharian? Mengapakah agama Islam itu dilihat sebagai
membebankan dan hanya menyusahkan mereka? Sebaliknya mereka lebih gemar meniru
budaya luar terutama budaya barat yang mereka anggap moden dan terkini.
3.2.3
Penerangan
ilmu agama
Ilmu Islam pula harus
diajar sedemikian rupa agar ia tidak kelihatan'kolot' oleh anak muda. Terangkan pada mereka
jika mereka suka berfesyen, mereka boleh teruskan asalkan menutup aurat dan
fahamkan pengertian aurat itu bagi lelaki dan perempuan. Terangkan juga agama
Islam tidak melarang berkawan antara lelaki danperempuan namun hendaklah dijaga
batas-batas pergaulannya. contohnya tidak boleh berdua-duan dengan yang bukan
muhrim mahupun bersentuh-sentuhan.
4.0 KESIMPULAN
Hedonisme
tidak hanya sebuah gaya hidup yang serba bebas, melainkan sebagai pemikiran dan
kepercayaan yang tentunya berakhir pada kehancuran nilai-nilai agama.
Kesenangan yang ditawarkan dalam budaya hedonism tidak lain bersifat fana dan menipu.
Apa yang kini dianggap moden belum tentu berbuah baik bagi kehidupan manusia. Dadah, seks bebas, muzik, rasuah, dan sebagainya adalah sebahagian
dari beberapa tindak tanduk yang dilakukan kerana hanya ingin mencari kenikmatan
dan kesenangan.
Hedonisme selalu
mengakibatkan keburukan bagi kehidupan manusia. Aspek aqidah, prilaku, system ekonomi,
politik, sosial, dan kesihatan, akan menjadi hancur dan kacau akibat buruk dari
gaya hidup yang ego ini.
Budaya
hedonisme tidak boleh disesuaikan sama sekali dengan Islam lantaran akarnya tumbuh
dari Sekularisme. Islam melihat hiburan dan keseronokan sebagai alat untuk menenangkan
jiwa, bukan sebagai matlamat yang mesti dipenuhi setiap masa.
Justeru, akar hedonism ini mesti
dileburkan sehancur-hancurnya dalam jiwa masyarakat Islam. Semestinya wajib bermula
daripada diri-diri pelajar-pelajar agama yang bertanggungjawab mendidik generasi
ummah ini.Setiap perlakuan, tindakan dan perancangan mesti berpaksikan kepada
nilai-nilai Islam. Perkara
ini wajib ditanamkan dalam jiwa 'keberadaan Allah' dalam setiap aktiviti yang
dijalankan. Hanya dengan menyuburkan Islam dan segala nilai-nilainya dalam jiwa,
bangkai hedonism bakal tercampak jauh.