Pages

Monday, March 18, 2013

KAJIAN PERSPEKTIF PERLAKSANAAN PEMERINTAHAN / POLITIK SECARA ISLAM

KAJIAN PERSPEKTIF PERLAKSANAAN  PEMERINTAHAN / POLITIK SECARA ISLAM 



1.0       PENGENALAN

            Secara umumnya, kajian ini meneliti apakah yang di maksudkan dengan politik dan pemerintahan dalam Islam yang terkandung di dalamnya ialah konsep politik Islam, dasar politik Islam, pemerintahan Islam dan kedudukan non-Muslim dalam negara Islam. Selain itu, kajian ini juga akan menyingkap beberapa persoalan mengenai dasar politik Islam yang tertegak di atas beberapa asas utama serta perbezaan syura di dalam politik Islam dan demokrasi barat. Selain itu, kami menyingkap beberapa persoalan tentang tujuan dan cirri-ciri khusus dalam pemerintahan Islam Persoalan mengenai hak asasi non-Muslim dan tanggungjawab non-Muslim juga di dalam kedudukan non-Muslim di dalam negara Islam juga akan terjawab di dalam kajian tugasan ini.

       1.1            DEFINISI POLITIK ISLAM

            Politik selalunya di gambarkan sebagai satu permainan kotor dan satu perebutan kekuasaan melalui 1001 macam cara yang berlawanan dengan moral, etika dan agama, maka oleh itu ianya tidak boleh di campuradukkan dengan agama.[1]

            Politik juga adalah sebahagian daripada pokok ajaran Islam yang syumul itu. Dengan politik, umat manusia berjaya pada zaman kejayaannya, dan tanpa kekuasaan politik umat Islam menjadi hancur berkecai dan hina-dina di kalangan umat manusia. Tidak ada ajaran Islam pemisahan antara agama dan negara, antara masjid dan parlimen. Fahaman pemisahan anatara masjid dan negara, antara agama dan politik adalah ajaran dari konsepsi politik secular yang di bawa masuk oleh penjajah-penjajah kufar ke negara-negara Islam.[2]  

2.0       KONSEP POLITIK ISLAM

            Perkataan politik berasal daripada bahasa Yunani politicos atau bahasa Latin Politica. Dalam bahasa Perancis disebut politique. Asal katanya ialah dari akar kata polis bererti negara kota. Polis juga bermaksud kemajuan.[3]

            Politik dalam bahasa Arab di sebut al-Siyaasah yang merupakan masdar dari kosa kata saasa yasuusu yang bererti melatih, memimpin, memerintah atau mengurus.[4] Menurut Ibn Manzur dalam Lisanul Arab, al-Suus bererti kepemimpinan. Jika seseorang diangkat menjadi maka boleh dikatakan sawwasuhu wa asasuhu, wasaasa al-amr siyasah yang bererti seseorang mengatur urusan politik. Bila dikatakan sawwasa pulanun amra bani fulan membawa erti si Fulan itu diberi mandate untuk memimpin bani Fulan.

            Siasah membawa erti mentadbir urusan awam dalam negara Islam dengan sesuatu yang dapat melaksanakan kepentingan dan menolak bencana selagi tidak bercanggah dengan prinsip-prinsip dalam syariah Islamiah.[5]

            Kamus Indonesia menyebutkan bahawa politik adalah ilmu yang berhubung dengan perkara keamanan negeri, akal dan muslihat bermaksud periksa dengan teliti, siasah pemerintahan, politik kebijaksanaan dan pemerintahan. [6]

            Dalam sejarah penyebaran Islam di Alam Melayu pula banyak terdapat bukti yang menunjukkan politik Islam menjadi faktor yang mendorong kelahiran kota-kota Islam. Ini amat ketara sekali dalam sejarah perkembangan Islam di persisiran pantai utara Jawadalam abad ke-15.[7]

            Konsep politik bagi orang-orang Islam ialah konsep politik Islam. Mereka tidak berhak untuk memilih konsep politik lain dari Islam. Memilih konsep politik lain adalah satu penyelewengan dan pencabulan terhadap agama Islam.[8]

            Dapatlah kita ketahui terdapat beberapa perbezaan politik dan siasah apabila dibuat pengkajian yang lebih mendalam. Dapat dimaksudkan dengan kepimpinan itu adalah yang menyentuh secara langsung persoalan urusan kepimpinan umat dan negara.



3.0       DASAR POLITIK ISLAM

 Sumber mengatakan politik Islam Al-Quran dan al-Sunnah. Meskipun tidak banyak ayat Al-Quran yang membicarakan secara langsung dan jelas mengenai politik Islam namun berdasarkan kepada petunjuk-petunjuk surah Rasulullahmengenainya para ulama dapat membuat beberapa kesimpulan mengenai asas-asas utama politik Islam.

            Menurut Wahbah al-Zuhaili di dalam majalah Hadarat al-Islam, bahawa asas-asas itu meliputi tanggungjawab individu dan awam, syura, persamaan hak dan kewajipan serta salidariti setiap individu. [9] Sementara itu Al-Maududi (1987) menyebutkan bahawa tonggak kepada sistem politik Islam ialah tauhid, risalah dan khilafah. Daripada pendapat-pendapat tersebut dapat disimpulkan bahawa politik Islam tertegak di atas beberapa asas utama, antaranya ialah Al-Hakimiah al-Ilahiyyah, Keadilan, Persamaan, Amanah dan Tanggungjawab, Baiat dan Ketaatan dan akhir sekali Amar Makruf Dan Nahi Mungkar.


3.1       AL-HAKIMIAH AL-ILAHIYYAH

Asas ini memberi maksud bahawa al-hakimiah atau kuasa juridikasi dan kedaulatan tertinggi ke atas alam semesta adalah milik Allah. Allah adalah Penguasa mutlak dalam menentukan sesuatu perintah dan larangan. Dia-lah yang menentukan hukum dan peraturan ke atas alam semesta. Manakala manusia dan alam seluruhnya adalah tunduk di bawah kekuasaan-Nya baik secara sukarela (tau’an) mahupun secara paksa tanpa pilihan (karhan). Dari penjelasan di atas ia dapat di perincikan seperti berikut. Bahawa Tuhan Pemelihara alam semesta ini pada hakikatnya adalah Tuhan Pemelihara manusia, dan tidak ada jalan bagi manusia melainkan tunduk dan patuh kepada sifat Ketuhanan-Nya Yang Maha Esa.[10]
 Selain itu manusia wajib taat dan beribadat kepada-Nya, dan inilah jalan yang benar serta perilaku yang lurus. Allah sahaja juga yang berhak mengeluarkan hukum dan peraturan, sebab Dia-lah Pencipta dan Pemilik Yang tunggal. Daripada penjelasan di atas dapat disimpulkan bahawa konsep al-hakimiah terbina di atas tiga tonggak utama yang mendasari politik Islam iaitu tauhid, risalah dan khilafah:

3.1.1    Konsep Tauhid

Konsep ini memberi maksud bahawa Allah adalah Pencipta alam semesta dan segala isinya. Dia adalah Tuhan (Rabb) dan Pemilik mutlak. Tidak ada pemerintahan , kuasa (authority), suruhan dan larangan melainkan untuk-Nya sahaja. Dialah yang layak menerima perhambaan dan ketaatan tanpa disekutukan dengan sesiapa pun. Inilah hakikat tauhid. Ianya menolak fahaman mengenai kedaulatan manusia, dan membasmi fahaman tersebut sekali, baik kedaulatan itu bersifat perseorangan, atau satu-satu lapisan kasta, bangsa atau seluruh manusia di muka bumi. Kerana kedaulatan hanya milik Allah. Tidak ada pemerintah melainkan Allah, dan tidak ada undang-undang melainkan undang-undang yang diturunkan Allah.[11]

3.1.2    Konsep Risalah

Risalah atau kerasulan adalah saluran yang melaluinya undang-undang Ilahi sampai kepada manusia. Dengan perantaraannya manusia muslim menerima dua sumber sebagai panduan dalam kehidupan iaitu Al-Quran (kitab Allah) di mana dalamnya terkandung undang-undang dan peraturan Allah untuk manusia dan yang kedua ialah penghuraian atau tafsir terhadap kitab tersebut oleh Rasulullah dalam bentuk perkataan dan perbuatan baginda selaku wakil dari Allah di muka bumi.[12]

Sebagai wakil Allah di muka bumi, Rasulullah S.A.W menyampaikan segala hukum dan syariat-Nya kepada manusia dengan cara mentafsirkan dan menghuraikan syariat tersebut dalam kehidupan baginda. Berdasarkan kepada hakikat ini maka ketaatan kepada Rasul adalah sama dengan ketaatan kepada Allah. Allah memerintahkan manusia supaya menerima perintah dan larangan Rasul-Nya tanpa bangkangan, keberatan hati atau dengan sebenarnya tidak beriman sehingga mereka menerima Rasulullah S.A.W sebagai hakim yang menyelesaikan segala perselisihan yang timbul di kalangan mereka.[13]

3.1.3    Konsep Khilafah

             Bentuk pemerintahan manusia yang sebenar menurut pandangan Al-Quran                                                                               ialah adanya pengakuan negara akan kepimpinan dan kekuasaan Allah dan Rasul-Nya di bidang perundangan. Iaitu dengan menyerahkan segala kuasa perundangan (legislatif) dan kedaulatan hukum tertinggi kepada keduanya di samping meyakini bahawa khilafah itu mewakili Hakim yang sebenar iaitu Allah SWT.[14]

Khilafah dalam bahasa Arab bermaksud perwakilan. Kedudukan manusia di dunia menurut pandangan Islam adalah sebagai khalifah atau wakil Allah di dalam kerajaan-Nya. Oleh sebab itu manusia tidak dapat bertindak sesuka hati bahkan hendaklah tunduk kepada hak perwakilan dan hak menjalakan tindakan mengikut batasan yang diberikan oleh Allah.[15]

Doktrin tentang kekhilafan manusia yang disebutkan di dalam Al-Quran membawa erti bahawa segala sesuatu di atas muka bumi yang berupa daya, kemampuan dan sumber yang ada merupakan kurniaan Allah. Dan Allah menjadikan manusia dalam kedudukan yang sedemikian serta segala keistimewaan supaya mereka dapat memanfaatkan segala kurniaan tersebut sesuai dengankeredaan-Nya. Manusia bukanlah pemilik dan penguasa hakiki walaupun terhadap diri mereka sendiri, malah tidak lebih hanyalah sebagai wakil dari Pemilik dan Penguasa yang mutlak iaitu Allah SWT.

3.2       KEADILAN

Semua rakyat dalam politik dan pemerintahan Islam mempunyai hak sama dari segi undang-undang. Setiap individu baik rakyat biasa mahupun pemimpin mempunyai kedudukan yang sama dari segi undang-undang. Tidak ada yang memiliki kekebalan dalam perundangan. Sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan pasti akan dihukum dengan seadil-adilnya. Firman Allah yang terjemahannya: Dan aku diperintahkan supaya berlaku adil di antara kamu [16], pernyataan Al-Quran ini jelas terbukti dari segi perlaksanaannya di zaman Rasulullah apabila Zaid bin Haritsah datang menemui Rasulullah untuk meminta agar Rasulullah meringankan hukuman ke atas seorang yang melakukan kesalahan atas di kalangan suku kabilahnya. Berhubung dengan keadilan ini, Ibn Qayyim al-Jauziyyah mengatakan bahawa tujuan diturunkan Al-Quran dan perutusan nabi-nabi adalah untuk mewujudkan keadilan. Malah keadilan adalah tanda keadilan di sanalah terdapatnya undang-undang Allah dan agama.[17]

3.3       PERSAMAAN

Prinsip persamaan bermaksud setiap individu dalam negara mempunyai kedudukan yang sama dari segi hak, kebebasan, tanggungjawab dan tugas-tugas awam yang mana ia berhak dinikmati bersama tanpa diskriminasi.[18] Semua manusia dalam negara memiliki persamaan dalam hak-hak dengan sempurna tanpa mengira warna kulit, suku bangsa, keturunan dan bahasa pertuturan. Tidak ada seorang pun atau mana-mana kelompok dan suku keturunan yang mempunyai hak-hak keistimewaan atau perbezaan dari segi kedudukan.[19]

Firman Allah yang terjemahannya: Hai sekalian manusia,sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan perempuan, dan Kami menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu.[20]

3.4       AMANAH DAN TANGGUNGJAWAB

Antara dasar yang penting yang mewarnai politik dan pemerintahan , kekuasaannya dan kekayaan adalah amanah Allah dan kaum Muslimin yang mesti diserahkan kepada mereka yang takut kepada Allah, bersifat adil dan benar-benar beriman. Oleh demikian tidak ada seorang pun yang berhak menggunakannya untuk mengaut keuntungan dan memenuhi kepentingan peribadi.[21]

Allah berfirman di dalam Al-Quran yang terjemahannya: Sesungguhnya Allah memerintahkan kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerima dan apabila kamu menjatuhkan hukuman di anatara manusia hendaklah kamu berlaku adil. Sesungguhnya Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.[22]
Selain itu Saidina Umar Al-Khattab pernah berkata mengenai betapa beratnya tanggungjawab dan amanah yang dipikulkan ke atasnya: Andai kata ada seekor keldai mati kerana tersesat di tebing sungai Furat, aku khuatir Allah akan menanyakan hal itu kepadaku.[23]

3.5       BAI’AT DAN KETAATAN

Di antara dasar politik dan pemerintahan Islam juga ialah bai’ah dan ketaatan rakyat kepada pemimpin dalam perkara-perkara makruf. Kerana tidak ada ketaatan kepada manusia dalam melakukan maksiat kepada Allah. Dasar ini memberi erti bahawa setiap perintah yang dikeluarkan oleh pemerintah hendaklah ditaati oleh rakyat selagi ia bertetapan dengan syariat Allah.[24]

Firman Allah yang terjemahannya: Wahai orang yang beriman, taatlah kamu Allah dan taatlah kamu kepada Rasul serta pemimpin-pemimpin di kalangan kamu.jika berlaku perselisihan di kalangan kamu. Jika berlaku perselisihan di kalangan kamu mengenai sesuatu perkara,maka hendaklah kamu kembali kepada Allah (Al-Quran) dan Rasul jika benar-benar beriman kepada Allah dan hari Akhirat.[25]

Sebenarnya tidak terdapat sesuatu perintah atau suruhan Rasulullah yang tidak baik. Namun Allah telah menujukan ayat tersebut kepada Rasulullah S.A.W sendiri bagi menunjukkan betapa ketaatan tersebut mempunyai syarat yang khusus iaitu dalam perkara-perkara yang bercanggah dengan hukum agama Allah. Kerana tidak ada ketaatan dalam perkara-perkara maksiat.

3.6       AMAR MAKRUF DAN NAHI MUNGKAR

Dasar ini menuntut setiap individu dalam masyarakat Islam memiliki hak bahkan wajib mengatakan yang benar, menyeru yang makruf, membela dan mempertahankan kebaikan, berusaha bersungguh-sungguh mencegah kemungkaran serta menghukum kebatilan. Dan firman Allah yang terjemahannya: Dan tolong menolonglah kamu dalam perkara kebajikan dan takwa,dan janganlah kamu tolong-menolong dalam perkara dosa dan permusuhan.[26]

Amar makruf dan Nahi mungkar ini hendaklah berlaku secara timbal balik di antara pemerintah dengan rakyat. Dan firman Allah yang terjemahannya: Orang-orang yang menyuruh melakukan yang makruf dan mencegah dari perkara yang mungkar serta memelihara hukum-hukum Allah.[27]
Rasulullah S.A.W berpesan kepada umatnya agar tidak memandang ringan terhadap tanggungjawab menegur dan membetulkan pemerintah apabila mereka menyeleweng daripada hukum Allah.

4.0       PEMERINTAHAN ISLAM: TUJUAN DAN CIRI-CIRI KHUSUS

            4.1       TUJUAN PEMERINTAHAN ISLAM

            Pada dasarnya penubuhan kerajaan merupakan suatu keperluan asas setiap masyarakat dan negara, suatu kewajipan yang tidak boleh dihindarkan sama sekali. Ini adalah kerana banyak persoalan yang berkaitan dengan urusan keagamaan dan keduniaan tidak dapat dilaksananakan melainkan apabila tertegaknya sebuah kerajaan. [28]

            Islam telah menetapkan tugas utama kerajaan Islam untuk menegak dan melaksanakan hukum-hukum syariat. Kerajaan bertanggungjawab membasmi fahaman syirik dan mengukuhkan kedudukan Islam, mendirikan sembahyang, mengutip zakat, menyuruh melakukan yang makruf dan mencegah yang mungkar, mengendalikan segala urusan orang ramai berlandaskan garis yang telah di tetapkan Allah.[29]     
                 
4.2       CIRI-CIRI KHUSUS PEMERINTAHAN ISLAM

            Kerajaan Islam adalah sebuah pemerintahan yang unik dan amat berbeza dengan seluruh cara dan bentuk pemerintahan dan kerajaan yang wujud di dunia. Pemerintahan Islam mempunyai cirri-ciri yang khusus yang di antaranya ialah:

            4.2.1    Al-Quran Dan Hadith Sebagai Sumber Hukum Dan Pemerintahan

            Kerajaan Islam adalah sebuah kerajaan bercorak Al-Quran. Ia tunduk dan patuh sepenuhnya kepada prinsip-prinsip Al-Quran dan al-hadith. Kedua-dua sumber tersebut menjadi perlembagaan dan sumber hukum yang tertinggi kerajaan Islam. Al-Quran dan hadith mengatur dan menggariskan hak-hak serta kewajipan pemerintahan secara umum. Ia juga menetapkan dasar dan garis pokok mengenai hak-hak dan kewajipan-kewajipan individu dan menentukan garis umum mengenai hubungan mereka dengan pihak pemerintah dan menentukan batas kuasa pemerintah terhadap rakyat serta kepatuhan rakyat terhadap pemerintah. [30]

            Orang yang memahami ajaran Islam mengetahui bahawa Islam bukan sahaja menerangkan hubungan manusia dengan tuhan, tetapi turut mengemukakan sebuah skema tingkah laku sosial yang jelas sebagai panduan hasil daripada pelbagai hubungan sosial tersebut. Bermula daripada andaian asas bahawa semua aspek kehidupan fitrah dikuasai dan di tentukan oleh tuhan, Al-Quran menjelaskan bahawa tujauan akhir keseluruhan penciptaan adalah kepatuhan kepada kehendak pencipta.[31]

            Namun begitu, ajaran-ajaran yang bersifat teoritikal dan etika semata-mata tidak berupaya untuk memimpin individu kerana kepelbagaian tafsiran yang mungkin menyesatkan manusia. Menurut ajaran Al-Quran dan Sunnah Muhammad, negara Islam memiliki satu himpunan undang-undang yang lengkap, iaitu Syariah yang meliputi semua aspek kehidupan manusia, kerohanian, kebendaan, individu, sosial, ekonomi dan politik. Umat Islam percaya bahawa Islam memenuhi keperluan-keperluan ini melalui Undang-undang Ilahi yang terkandung dalam Al-Quran serta diperhalus dan dilaksanakan oleh Rasulullah S.A.W dalam sunnah baginda.[32]

            4.2.2    Pelaksanaan Syura

            Allah S.W.T telah menetapkan bahawa mesyuarat sebagai satu kewajipan bagi orang yang beriman dalam menyelesaikan urusan kehidupan di dunia. Malah ia menjadi cirri dan sifat sebati orang yang beriman yang membezakan mereka dari orang yang tidak beriman.[33]

            Allah mewajibkan ke atas setiap pemerintah supaya meminta pandangan dan pendapat orang ramai mengenai urusan masyarakat dan pemerintahan. Sementara rakyat pula berkewajipan memberikan pendapat dan pandangan membina dengan hati yang ikhlas. Pemerintah tidak harus membuat keputusan dan bertindak sewenang-wenangnya dalam urusan umum, manakala rakyat pula tidak boleh sama sekali berdiam diri dalam masalah yang melibatkan kepentingan umum.[34]

            Musyawarah adalah salah satu rukun negara Islam di mana syura membincangkan perkara-perkara yang bersangkutan dengan pelaksanaan syariat Islam dan lain-lain perkara yang menyentuh kehidupan rakyat yang belum ada ketentuannya secara terperinci dalam Al-Quran ataupun al-Hadith ataupun yang di tetapkan secara umum atau kaedah-kaedahnya sahaja kerana politik Islam adalah politik Rabbani dari segi dasar, manhaj, uslub dan maqasidnya. Dan dengan sekaligus menunjukan bahawa politik Islam bukanlah autokrasi dan bukanlah diktator tetapi mempunyai nilai-nilai demokrasi yang murni yang tersendiri dan yang sebahagian besarnya tidak dimiliki oleh demokrasi sekular.[35]

            Namun demikian perlu diingat, walaupun Islam meletakkan mesyuarat sebagai satu kewajipan, namun kewajipan tersebut tidak bersifat mutlak tanpa sebarang syarat dan peraturan. Kerana syura hanya harus dilaksanakan dalam perkara-perkara yang bersangkutan dengan urusan yang tidak terdapat sebarang ketetapan di dalam Al-Quran dan Hadith. Sedangkan apabila masalah tersebut telah ditetapkan di dalam Al-Quran dan Hadith secara qat’i, maka ia tidak boleh sama sekali dimesyuaratkan kecuali mengenai urusan-urusan yang berkaitan dengan perlaksanaan perintah-perintah tersebut semata-mata.[36]
                       
                        4.2.2.1 Syura dan Demokrasi

            Syura berasal daripada Islam dan demokrasi ialah daripada barat. Demokrasi memberi maksud kerajaan atau pemerintahan rakyat. Menurut Kamus Dwibahasa, demokrasi ialah pemerintahan negara oleh rakyat menerusi wakil-wakil mereka, negara atau kerajaan yang menganjur dan mengizinkan hak kewarganegaraan seperti kebebasan bercakap, beragama, menyuarakan pendapat dan lain-lain serta menghormati hak-hak golongan kecil.[37]

            Aliran sekular iaitu demokrasi ini dipopularkan oleh ahli-ahli sejarah rasmi istana. Kemunculan aliran baharu ini mendapat sokongan kuat daripada pihak pemerintah. Justeru, impian golongan yang mendukung dan menyokong gerakan sekularisme telah terlaksana, dan sekali gus menyisihkan golongan Islamis yang selama ini menjadi tempat ikutan dan panduan.[38]

            Demokrasi barat yang ada sekarang ini adalah satu bentuk pemerintahan jahiliyah yang wujud sejak zaman Yunani Kuno lagi. Ia memberikan kekuasaan dan kedaulatan penuh kepada manusia untuk memutih dan menghitamkan corak kehidupan mereka, tanpa agama dan wahyu dari tuhan. Melalui suara majority dalam pilihanraya dibentuklah pemerintahan dan pemerintah berhak berbuat apa sahaja atas nama rakyat tanpa sebarang keagamaan dan ketuhanan.[39]

            Jelas dari sudut sejarahnya, demokrasi adalah cetusan pemikiran manusia. Malah merupakan idea dari satu pemberontakan terhadap sistem yang zalim dan pincang pada waktu itu. Oleh yang demikian demokrasi dari segi sumbernya adalah akal pemikiran dan hawa nafsu semata-mata.Tidak ada perkaitan dengan agama mahupun wahyu. Ini berbeza dengan syura yang sumbernya adalah daripada Allah. Ia adalah wahyu dan tugas manusia hanyalah pelaksana yang melaksanakan mengikut kesesuaian semasa.[40]

                        4.2.2.2   Perbezaan Antara Syura Dan Demokrasi

            Syura ialah daripada Allah untuk manusia dan tidak boleh di ubah dan demokrasi pula merupakan politik barat yang di cipta oleh manusia itu sendiri untuk manusia. Terdapat beberapa perbezaan yang ketara antara Syura dalam Islam dengan demokrasi dalam falsafah politik Barat iaitu dari segi sumber, bidang kuasa syura dan demokrasi dan pelaksanaan syura dan demokrasi:

                                    4.2.2.2.1  Dari Segi Sumber

            Sumber sistem Syura ialah Al-Quran dan al-Sunah. Terdapat beberapa ayat yang secara langsung mengarahkan perlaksanaan syura dalam pemerintahan. Demikian juga dengan Sunnah Rasulullah S.A.W yang menunjukkan banyak contoh pelaksanaan syura dalamapa sahaja keputusan yang hendak di buat oleh baginda mengenai hal-hal pentadbiran, perang dan damai, strategi dan politik serta lain-lain. Manakala demokrasi Barat adalah bersumberkan kepada falsafah dan akal manusia semata-mata yang boleh berubah-ubah mengikut tempat, waktu dan kepentingan nafsu manusia khususnya yang berkuasa.[41]

                                    4.2.2.2.2   Bidang Kuasa Syura dan Demokrasi

            Bidang kuasa Syura hanya terbatas kepada soal-soal yang tidak terdapat di dalam nash yang jelas di dalam Al-Quran Sunnah. Mengenai persoalan yang telah terdapat nash yang putus (qat’i) di dalam Al-Quran dan Sunnah seperti persoalan halal haram dan lain-lain, Syura tidak ada kuasa yang membincanglannya apatah lagi untuk mengubah hokum-hukum yang yang telah di tetapkan. Ini berbeza dengan demokrasi Barat di mana di batasinya hanya akal dan kehendak manusia sendiri. Justeru itu apabila manusia mempunyai keinginan untuk melakukan sesuatu atau menentukan sesuatu perkara maka ia boleh melakukannya asalkan mendapat persetujuan majorirti walaupun ia bertentangan dengan nilai-nilai agama dan moral.[42]   
               
                                    4.2.2.2.3   Pelaksanaan Syura Dan Demokrasi

            Dari segi pelaksanaannya, Syura berkaitan secara langsung dengan persoalan akidah, syariat dan akhlak. Oleh itu, baik di pihak pemerintah mahupun rakyat, masing-masing melaksnakannya kerana ketundukan kepada pemerintah Allah dan Rasul serta berusaha untuk mendapatkan keredaan daripada-Nya. Berbeza dengan perlaksanaan demokrasi yang tidak mempunyai ikatan akidah keimanan, syariat mahupun akhlak. Pemerintah melaksanakan sesuatu biasanya bertujuan memenangi hati rakyat dan mendapatkan sokongan dan dokongan mereka. Manakala di pihak rakyat pule melaksanakan sesuatu yang di arahkan oleh pemimpin dengan tujuan mendapat habuan dan mengambil hati mereka.[43]

            4.2.3    Pemerintahan Bercorak Kekhalifahan Atau Imamah

            Allah memerintahkan umat Islam supaya taat kepada Ulil Amri, maka secara langsung Allah menghendaki kaum muslimin mewujudkan kekuasaan (negara) di kalangan umat Islamyang akan melaksanakan setiap inci ajaran Allah dan Rasul-Nya dan melindungi umat Islam dari sebarang ancaman kufur. Dan bentuk pemerintahan Islam sebagai mana yang dibayangkan dalam ayat-ayat Al-Quran, al-Hadith dan praktik sejarah ialah khilafah atau imamah.[44]

            Konsep khalifah sebagaimana yang telah disebut sebelum ini adalah pengganti Rasulullah S.A.W dalam melaksanakan tugas memelihara agama dan membangunkan dunia berdasarkan kepada peraturan-peraturan yang diturunkan Allah. Ini membawa erti bahawa khalifah atau imam tidak mempunyai kuasa mutlak selain daripada sebagi wakil yang melaksanakan pemerintahan Allah S.W.T di muka bumi.
            Walau apa pun sebutan atau gelaran yang di berikan kepada Ketua negara, baik khalifah, imam, sultan, ataupun raja ia merupakan perkataan yang mempunyai makna yang sama iaitu mempunyai sifat pemimpin dan kekuasaan tertinggi dalam sebuah negara mengikut pengertian umum, dan bukannya dimaksudkan kepada suatu system atau bentuk pemerintahan tertentu.[45]

                        4.2.3.1 Tanggungjawab Pemerintah

            Pemimpin tertinggi dalam sistem pemerintahan Islam ialah seorang khalifah yang bertanggungjawab mengatur umat sebagai pengganti Rasulullah S.A.W dalam menegakkan agama dan membangunkan dunia dengan berlandaskan prinsip-prinsip syariat. Menurut Al-Quran, pemerintahan Islam perlu beriltizam dengan hukum-hukum Allah. Apa sahaja selain dari iltizam berkenaan disifatkan sebagai pecah amanah. Ini bererti bahawa pemerintahan Islam tidak mempunyai alternatif kecuali melaksanakan hukum Allah. Tiada siapa dalam pemerintahan Islam yang berhak menepikan hukum berkenaan.[46] 

             Jika di perincikan tujuan tersebut, maka di dapati di antara tanggungjawab-tanggungjawab pemerintahan sebagaimana yang dijelaskan oleh ulama[47] adalah seperti berikut:

a)  Memelihara agama iaitu mengenai dasar-dasar yang tetap dan perkara yang telah   disepakati oleh salaf al-ummah.
b) Mendamaikan dua golongan yang bertelagah serta menegakkan keadilan di antara mereka agar yang zalim tidak akan bersifat melampau dan yang teraniaya tidak merasa lemah dan tertindas.
c) Melindungi kehormatan wanita supaya orang ramai dapat mengendalikan kehidupan aman.
d) Menjalankan hukum hudud untuk melindungi hak-hak Allah daripada tercemar,serta melindungi hak manusia daripada kerosakan dan kemusnahan.
e) Mengukuhkan pertahanan negara supaya musuh tidak dapat mencari peluang untuk mencabuli kedaulatannya menumpahkan darah walau sekadar seorang muslim atau non-muslim yang berlindung di negara Islam.
f) Berjihad menentang musuh Islam selepas menjalankan dakwah.
g) Memungut cukai dan zakat serta mengagihkan mengikut ketetapan dan syarak.
h) Menentukan peruntukan dan apa yang dimestikan daripada baitumal secara berhemah, tanpa boros dan kikir.
i) Melantik kalangan yang cekap lagi amanah untuk menguruskan hal-hal kewangan agar ianya dapat diuruskan dengan baik tanpa sebarang penyelewengan.
j) Mengawasi semua urusan serta meneliti segala keadaan jentera pentadbiran berjalan dengan lancar.

                        4.2.3.2 Hak Dan Tanggungjawab Rakyat

            Berdasarkan kepada pernyataan Al-Quran dan hadith mengenai politik pemerintahan para ulama telah menggariskan beberapa hak dan tanggungjawab rakyat dalam negara Islam. Semua hak tersebut menjadi tanggungjawab pemerintah, manakala tanggungjawab mereka pula menjadi hak pemerintah yang wajib dilaksanakan oleh rakyat.[48] Di antara hak-hak mereka termasuklah:

a) Hak keselamatan, meliputi keselamatan nyawa, maruah dan harta benda. Pemerintah     perlu menyediakan satu mekanisma kawalan yang baik serta hukuman yang setimpal ke atas pencerobohan yang dilakukan.
b) Hak dan kebebasan peribadi. Ianya meliputi kebebasan individu, kehormatan tempat tinggal daripada sebarang anasir yang boleh menggangu ketenteraman individu.
c) Kebebasan bergerak dan bersuara. Rakyat bebas menyuarakan pendapat tanpa sebarang sekatan kerana pendapat-pendapat itu sama ada baik dan bersifat membina maka ia boleh diterima untuk kebaikan umum dan bila tidak baik atau tidak membina maka ia boleh ditolak dengan hujah.
d) Hak dan kebebasan beragama. Rakyat termasuk bukan Islam bebas untuk mengamalkan tuntutan agama masing-masing.
e) Hak dan kebebasan berpolitik. Mereka boleh memilih siapa yang layak untuk dijadikan pemimpin melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang telah diberikan.
f) Hak dan persamaan dari segi undang-undang. Setiap orang di dalam negara baik pemimpin mahupun rakyat patut memperolehi apa yang ia berhak diperolehi dan menanggung akibat daripada setiap kesalahan yang di lakukan.

            Dr. Abdul Karim Zaidan dalam bukunya al-Fard wa al-Daulah fi syariat al-Islam membahagikan hak-hak individu (rakyat) dalam negara Islam[49] kepada dua bahagian iaitu hak-hak politik dan hak-hak umum:
                        4.2.3.2.1  Hak-hak politik

            Hak-hak individu iaitu rakyat dalam negara Islam yang termasuk di dalam hak-hak yang berkaitan dengan politik[50] meliputi:

a) Hak memilih ketua negara di mana setiap individu berhak mengundi untuk menentukan ketua negara.
b) Hak untuk diajak berunding. Mereka mempunyai hak untuk berbincang dan berbahas mengenai dasar-dasar penting yang ingin di laksnakan.
c) Hak mengawasi pemerintah. Setiap individu berhak mengawasi sikap dan tindak tanduk pemerintah dan para pegawainya dalam menjalankan tugas yang berhubung dengan kepentingan negara.
d) Hak menurunkan ketua negara. Rakyat berhak untukk menyingkirkan mereka apabila mereka menyeleweng, tidak amanah, tidak mampu menjalankan tugas atau cuai.
e) Hak memegang jawatan yang umum. Ia bukanlah hak individu yang mesti disediakan oleh negara, sebaliknya ia adalah tanggungjawab yang dibebankan oleh negara kepada sesiapa yang layak.

4.2.3.2.2  Hak-hak umum

            Hak-hak individu iaitu rakyat dalam negara Islam yang termasuk di dalam hak-hak yang umum terbahagi kepada hak persamaan dan hak kebebasan[51]:

a) Hak persamaan (al-musawat)

  i- Persamaan dari segi sosial dimana semua manusia adalah sama.
 ii- Persamaan dalam undang-undang di mana tidak ada seorang pun baik pemerintah, golongan bangsawan dan hartawan, ataupun rakyat biasa yang terkecuali daripada undang-undang apabila melakukan kesalahan.

b) Hak kebebasan (al-hurriyyah)

i- Kebebasan individu meliputi kebebasan bergerak,tidak boleh ditangkap, disiksa, dikurung kecuali atas dasar undang-undang.
ii- Kebebasan beragama dan beribadat di mana tidak ada paksaan dalam beragama dan setiap individu bebas mengamalkan ajaran agama masing-masing.
iii- Kehormatan tempat tinggal di mana tidak seorang pun berhak mencerobohi dan memasuki rumah seseorang tanpa izin.
iv- Kebebasan bersuara dengan niat yang baik dan tujuan yang membina
v- Kebebasan memiliki harta dan membelanjakan harta tersebut secara halal dan sah.
vi- Kebebasan dan hak menuntut ilmu dan menambahkan ilmu pengetahuan.

Apabila pemerintah telah menjalankan tanggungjawab-tanggungjawab tersebut di atas maka mereka dikira telah menunaikan hak Allah dan hak rakyat yang telah diamanahkan kepada mereka dan apabila diperincikan, tanggungjawab rakyat terhadap pemerintah[52] ialah:

a) Mentaati mereka sama ada dalam keadaan senang atau susah. Suka ataupun tidak disukai kecuali apabila perkara yang diperintahkan itu bercanggah dengan syariat Allah. Sebagai imbangan kepada hak mereka untuk mendapat keadilan daripada pemerintah, rakyat berkewajipan mematuhi pihak pemerintah. Sebagai imbangan kepada hak kebebasan bersuara dan mengeluarkan pendapat yang mereka perolehi, rakyat perlu akur kepada keputusan yang telah dibuat serta melaksanakannya dengan penuh tekun dan sabar.[53]

b) Memberikan sokongan dan bantuan keapada mereka dalam melaksanakan kerja-kerja kebajikan selagi mana mereka tidak berubah daripada syarat dan tanggungjawab yang telah ditetapkan. Dalam firman Allah juga ada menyatakan yang terjemahannya: Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa dan jangan kamu tolong-menolong dalam perkara dosa dan permusuhan.[54]

c) Menegur dan membetulakn pemerintah apabila mereka meakukan kesilapan atau menyeleweng daripada tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan. Dalam firman Allah juga ada menyatakan yang terjemahannya: Sesungguhnya orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) pelindung kepada sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang baik, mencegah dari yang mungkar.[55]



5.0       KEDUDUKAN NON-MUSLIM DALAM NEGARA ISLAM

            Masyarakat Islam adalah masyarakat yang terbina di atas asas akidah dan idealogi yang khusus. Dalam pengertian lain, masyarakat Islam adalah satu masyarakat yang menjadikan Islam sebagai panduan hidup mereka, Al-Quran dan al-Hadis perlembagaan hidup dan sumber perundangan di dalam setiap aspek kehidupan sama ada yang berkaitan dengan kehidupan individu atau kumpulan, material atau spiritual, tempatan atau antarabangsa.[56]

5.1       HAK ASASI NON-MUSLIM

Islam adalah agama akidah dan kasih sayang. Pemerintahan Islam merupakan saluran untuk melaksanakan ajaran Islam tersebut. Dan ia tidak dikhususkan bagi faedah umat Islam semata-mata malah meliputi orang bukan Islam. Prinsip asas yang mendasari kedudukan orang bukan Islam di bawah pemerintahan Islam ialah hidup bersama, baik dan adil berasaskan persetujuan bersama. Dalam konteks dunia hari ini persetujuan yang dimaksudkan boleh wujud dalam bentuk perlembagaan atau sebagainya.[57] Tidak ada satu perkara yang boleh menghalangi hubungan baik tersebut melainkan sikap permusuhan orang-orang bukan Islam sendiri terhadap Islam atau penganutnya.

Konsep hidup bersama secara adil dan saksama ini termasuk membenarkan penyertaan orang bukan Islam dalam jawatan awam, penggunaan tenaga kerja, penyertaan ke dalam majlis syura, menganggotai kabinet dan angkatan tentera. Pemerintahan Islam juga berkewajipan melindungi kepentingan orang bukan Islam sama ada dalam beragam, memelihara keselamatan nyawa, tubuh badan, maruah, harta dan seumpamanya. [58] Di antara hak-hak asasi Non-Muslim dalam negara Islam ialah hak mendapat perlindungan, hak dalam beragama, hak untuk bekerja dan mencari keuntungan dan hak menjawat jawatan kerajaan:

5.1.1    Hak Mendapat Perlindungan.

Hak ini meliputi perlindungan dari setiap pencerobohan luar dan kezaliman dari dalam sehingga mereka dapat merasai keamanan dan kestabilan hidup.[59]

Mengenai perlindungan daripada pencerobohan pihak luar Ibn Hazm menjelaskan bahawa apabila terdapat penceroboh dari negara harbi datang ke negara Islam dengan tujuan menceroboh mereka yang di bawah perlindungan Islam, maka pemerintah wajib memerangi penceroboh tersebut yang di bawah tanggungan Allah dan Rasul-Nya (ahl zimmah) kerana jika diserahkan mereka kepada penceroboh ini bererti pemerintah telah melakukan pelanggaran terhadap perjanjian zimmah.[60]

Sementara perlindungan daripada kezaliman dalaman pula ialah perlindungan daripada gangguan dan kezaliman oleh orang-orang Islam sendiri terhadap mereka. Terdapat banyak ayat al-Quran dan hadith Rasulullah S.A.W yang memberi amaran kepada umat Islam supaya tidak melakukan kezaliman. Malah terdapat hadith yang secara khusus memberi peringatan supaya jangan melakukan kezaliman kepada orang bukan Islam sama ada yang melakukan kezaliman kepada orang bukan Islam sama ada yang tergolong dari kalangan ahl al-zimmah atau al-ahd (ahl al-aman).[61]

Sabda Rasulullah S.A.W yang terjemahannya: Sesiapa yang menzalimi seorang yang kafir yang diberi janji perlindungan oleh Negara Islam (mu’ahadah) atau mengurangi haknya atau memaksanya melakukan sesuatu di luar kemampuannya atau mengambil sesuatu yang menjadi miliknya tanpa kerelaan hatinya, maka saya adalah penentangnya di hari kiamat nanti. (Diriwayatkan oleh Abu Daud dan Al-Baihaqi)

5.1.2    Hak Dalam Beragama Serta Mengamalkan Ajaran Agama Masing-Masing

Kebebasan beragama adalah menjadi hak asasi manusia seluruhnya. Syariat Islam memberikan hak tersebut kepada sesiapa sahaja yang tinggal di bawah pemerintahan Islam. Dasar kebebasan beragama ini ialah firman Allah yang terjemahannya: Tidak ada paksaan dalam (menganut) agama (Islam), sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada yang salah.[62]

Di samping itu, jaminan hak kebebasan beragama juga dapat dilihat melalui pengsyariatan jihad peperangan. Kerana menjadi tujuan utama peperangan dalam Islam ialah memberi kebebasan beragama kepada manusia serta menyelamatkan rumah-rumah ibadat yang didirikan.

Firman Allah yang terjemahannya: telah diizinkan berperang bagi orang-orang yang telah diperangi keran mereka telah dianiayai. Dan mereka sesungguhnya Allah Maha Kuasa menolong mereka itu. (Iaitu) orang-orang yang telah diusir dari kampong halaman mereka tanpa alas dan kecuali kerana mereka berkata; “Tuhan kami hanyalah Allah”. Dan sekiranya Allah tidak menolak keganasan sebahagian manusia dengan sebahagian lain, tentulah telah dirobohkan biara-biara Nasrani, gereja-gereja, rumah ibadat orang Yahudi, dan masjid yang di dalamnya banyak disebut nama Allah.[63]

5.1.3    Hak Untuk Bekerja Dan Mencari Keuntungan

Orang bukan Islam juga mempunyai hak dan kebebasan bekerja dan mencari keuntungan melalui pekerjaan atau perniagaan yang dilakukan sama ada persendirian atau secara berkongsi dengan orang lain baik dengan orang Islam atau sesama mereka.[64]

            5.1.4    Hak Menjawat Jawatan Kerajaan

Orang bukan Islam mempunyai hak untuk menjawat pelbagai jenis jawatan atau pekerjaan kerajaan kecuali jawatan yang bersifat keagamaan seperti Ketua negara, Ketua Kerajaan, Ketua Tentera, Kehakiman di antara orang-orang Islam dan seumpamanya.[65]

5.2       TANGGUNGJAWAB NON-MUSLIM

Sebagai rakyat atau penduduk Negara Islam yang mendapat perlindungan dan diberikan berbagai hak, orang bukan Islam juga mempunyai beberapa tanggungjawab secara khusus selain dari tanggungjawab memberikan ketaatan dan mematuhi peraturan-peraturan dalam negara Islam seperti mana yang dilakukan oleh orang-orang Islam. Di antara tanggungjawab tersebut ialah membayar jizyah dan kharaj, mematuhi undang-undang, memelihara dan menghormati sensitiviti umat Islam:

5.2.1    Membayar Jizyah Dan Kharaj

Jizyah merupakan cukai tahunan yang diwajibkan ke atas orang lelaki ahl zimmah yang baligh dan mempunyai kemampuan dengan kadar (yang sedikit jumlahnya). Orang-orang kafir dan miskin tidak dikenakan sama sekali. Manakala kharaj pula ialah cukai tanah yang dikenakan ke atas pemilik kekal tanah dan kadarnya bergantung kepada kebijaksanaan pemerintah pada sesuatu masa.[66]

Bayaran jizyah tidak terikat dengan kadar tertentu, bahkan ia dikenakan berdasarkan kepada kemampuan seseorang dan akan berbeza-beza dari seorang yang lain berdasarkan kepada keupayaan tersebut. Umar Al-Khattab umpamanya telah mengenakan jizyah ke atas orang kaya sebanyak 48 dirham setahun, manakala golongan pertengahan dikenakan 24 dirham dan orang bawahan sebanyak 12 dirham.[67] Orang-orang bukan Islam tidak diwajibkan untuk menyertai khidmat ketenteraan sebagaimana diwajibkan ke atas orang Islam.

            5.2.2    Mematuhi Undang-Undang

Orang bukan Islam juga bertanggungjawab mematuhi segala peraturan dan undang-undang Islam yang berjalan dalam negara, tidak berkaitan dengan akidah dan kebebasan mereka beragama. Dengan kata lain, mereka tidak dibebankan dengan zakat (sebagai satu bentuk cukai) yang diwajibkan ke atas orang Islam, jihad atau khidmat ketenteraan yang difardukan ke atas orang Islam.[68]

            5.2.3    Memelihara Dan Menghormati Sensitiviti Umat Islam

Tujuan negara ditegakkan, dan tujuan undang-undang dilaksanakan adalah untuk mewujudkan keadaan harmoni dan amandalam kehidupan masyarakat dan negara. Semua pihak dalam negara perlu sama-sama memainkan peranan penting untuk mengekalkan keharmonian tersebut. Antara anasir yang boleh merosakkan keharmonian hidup bermasyarakat ialah apabila adanya keadaan salah faham khususnya yang menyentuh soal akidah dan amalan beragama.[69]

Oleh yang demikian itu orang bukan  Islam bekewajipan untuk menghormati dan memelihara sensitiviti kaum dan agama ini agar jangan sampai dicabuli keran ia akan mengundang bahaya yang besar. Orang Islam tidak harus sama sekali mencaci agama Islam atau sebahagian dari amalan atau perintah-perintah agama. Mereka dibenarkan memakan dan meminum makanan dan minuman yang tidak dilarang dalam agama mereka walaupun Islam mengharamkannya seperti daging babi dan arak. Namun kebenaran tersebut tidak bermakna bukan Islam boleh memakan dan meminum makanan dan minuman tersebut sehingga menggangu orang lain khususnya orang-orang Islam.

                                                            sekadar gambar hiasan

6.0       KESIMPULAN

          Daripada dapatan kajian dapatlah di ketahui terdapat perbezaan pemerintahan politik Islam dengan pemerintahan sekular yang di bawa oleh barat dalam negara-negara Islam pada amnya. Pelaksanaan Syura dalam politik Islam datangnya daripada Allah S.W.T untuk umat manusia dan fahaman demokrasi pula datangnya dari manusia untuk manusia.

             Sebagai contoh, Rasulullah S.A.W telah menegakkan negara Islam pertama di Madinah dan baginda menjadi ketua negara Islam yang pertama berdasarkan politik Islam. Kemudian sesuadah beliau wafat, jawatan ketua negara itu dipegang oleh sahabat pilihan yang bergelar khalifah berdasarkan pelaksanaan syura. Hal ini berbeza dengan demokrasi barat yang melantik ketua negara atau pemimpin dengan cara yang berlainan.

Secara keseluruhannya, pemerintahan Islam bukan berbentuk autokrasi, teokrasi dan demokrasi seperti yang dinyatakan bahawa kekuasaan dalam negara Islam hanyalah kepunyaan Allah dan bukan kepunyaan rakyat atau individu-individu tertentu. Bukan hanya ulama’ semata-mata yang mentadbir negara dalam politik Islam tetapi seluruh masyarakat Islam.Sebagai khalifah semua muslim menerima kedaulatan yang terbatas dari Allah untuk mengatur masyarakat.

Selain itu juga golongan non-Muslim yang tinggal di dalam negara Islam mempunyai hak-hak asasi dan tanggungjawabnya. Mereka mempunyai hak mendapat perlindungan, hak dalam beragama serta mengamalkan ajaran agama masing-masing, hak untuk bekerja untuk mencari keuntungan dan hak menjawat jawatan kerajaan di dalam negara Islam. Mereka juga perlu membayar jizyah iaitu cukai tahunan dan kharaj iaitu cukai tanah jika tinggal di dalam negara Islam. Tanggungjawab yang lain ialah mereka perlu mematuhi undang-undang Islam yang berjalan di dalam negara dan memelihara dan menghormati sensitiviti umat Islam.

Buku Rujukan Asal

                                                                   Buku Rujukan Asal

7.0       RUJUKAN

            7.1       BUKU ASAL

Wan Jusoh, Wan Ali, 2005, Institusi-Institusi Islam, Kuala Lumpur: Universiti Teknologi Malaysia.
Abdul Munir Yaacob, penyt, 1999, Prinsip-Prinsip Pemerintahan Dalam Masyarakat Majmuk. Kuala Lumpur: Institusi Kefahaman Islam Malaysia.
Ahmad, H.Zainal Abidin, 1977, Ilmu Politik Islam, Jakarta: P.T Bulan Bintang.
Al-Hind, Alauddin, 1955, Kanzul Ummal, Haidar Abad: Dairat al-Kasulikiyah.
Alias Othman, 1991,  Asas-Asas Pemikiran Politik Islam, Kuala Lumpur: Pustaka Salam.
Audah, Abd al-Qadir, 1951, al-Mal wa al-Hukm fi al-Islam, Kaherah: Matba’ah Dar al-Kitab al-‘Arabiy.
El-Awa, Muhamed S., 1978, On The Political System Of The Islamic State, Indianapolis: American Trust Publication.
Haraphat, E. St. Haraphat, 1951, Kamus Indonesia, Bandung: G.Kolf & Co.
Ibn Khaldum, Abd al-Rahman, 1970, Al-Muqaddimah, Beirut:Maktabah Lubnan.
Ibn Qayyim, Abdullah Muhammad bin Abi Bakar al-Damasqi, 1953,  al-Turuq al-Hukmiyyah fi al-Syar’iyyah, Kaherah: t.pn.
Khalaf, Abdul Wahab, 1350H, Al-Siyasah al-Syari’ah, Kaherah: Al-Matba’ah al-Salafiyah.
Al-Mawardi, Abu Hasan ‘Ali bin Muhammad bin Habib al-Basriy al-Baghdadiy, 1983, al-Ahkam al-Sultaniyyah wa al-Wilayah al-Diniyyah, Kaherah: Dar al-Fikr.
Munawwir, A.W, 1997, al-Munawwir Arab-Indonesia Terlengkap, Surabaya: Pustaka Progresif.
Al-Qardhawi, Dr. Yusuf, 1988, al-Siyasah al-Syar’iyyah, Kaherah: Maktabah Wahbah.
Zaidan, Abd al-Karim, 1988, al-Fard wa al-daulah fi syariat al-Islam.

            7.2       BUKU TAMBAHAN

Abdul Ghani Azmi, Drs., 1999, Bagaimana Islam Berpolitik dan Memerintah, Kuala Lumpur: Al-Hidayah Publisher.
A.Al-Sayed, Dr. Abdul Malek, 1995, Etika Sosial Dalam Islam, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.
Haji Abdullah, Auni, 2001, Islam Dan Perdagangan Dalam Sejarah Alam Melayu, Kuala Lumpur: Darul Fikir Sdn. Bhd.
Haji Yahaya, Mahayudin, 2009, Sejarah Politik dan Sosiobudaya Masyarakat Islam, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.



[1] Abdul Ghani Azmi, Drs, 1999, Bagaimana Islam Berpolitik Dan Memerintah, Kuala Lumpur:Al-Hidayah Publisher, hal.vi
[2] Ibid, hal.30
[3] Ahmad, H.Zainal Abidin, 1977, Ilmu Politik Islam, Jakarta:PT. Bulan Bintang, hal.314
[4] Munawwir, A.W. 1997, Al-Munawwir Arab-Indonesia Terlengkap, Surabaya:Pustaka Progresif, hal.314
[5] Khalaf, Abdul Wahab, 1350H, Al-Siyasah al-Syari’ah, Kaherah:Al-Matba’ah al Salafiyah, Hal.315
[6] Haraphat, E.St. Haraphat, 1951, Kamus Indonesia, Bandung:G. Kolf&Co, hal.315
[7] Hajhi Abdullah, Auni, 2001, Islam dan Perdagangan dalam Sejarah Alam Melayu, Kuala Lumpur: Darul Fikir Sdn. Bhd, hal.32
[8] Abdul Ghani Azmi, Drs. Op-Cit, hal.47
[9] Alias Othman. 1991, Asas-Asas Pemikiran Politik Islam, Kuala Lumpur:Pustaka Salam, hal.316
[10] Wan Jusoh, Wan Ali, 2005, Institusi-Institusi Islam, Kuala Lumpur:UTM, hal.316
[11] Ibid, hal.319
[12] Ibid.
[13] Ibid, hal.320
[14] Ibid, hal.321
[15] Ibid.
[16]Al-Quran, Surah Al-Syura, ayat.42
[17] Ibn Qayyim, Abdullah Muhammad bin Abi Bakar al-Damasqi, 1953, al-Turuq al-Hukmiyyah fi al-Siyasah al-Syar’iyyah, Kaherah:t.pn, hal.324
[18] El-Awa, Muhamed S, 1978, On The Political System of The Islamic State, Indianapolis:American Trust Publication, hal.324
[19] Wan Jusoh, Wan Ali, Op-Cit, hal.324
[20] Al-Quran, Surah Al-Hujarat, ayat.13
[21] Wan Jusoh, Wan Ali, Op-Cit, hal.325
[22] Al-Quran, Surah Al-Nisa’, ayat.58
[23] Al-Hind, Alauddin, 1955, Kanzul Ummal, Haidar Abad:Dairat al-Ma’arif, hal.326
[24] Wan Jusoh, Wan Ali, Op-Cit, hal.327
[25] Al-Quran, Surah Al-Nisa’, ayat.59
[26] Al-Quran, Surah Al-Maidah, ayat.2
[27] Al-Quran, Surah Al-Taubah, ayat.112
[28] Wan Jusoh, Wan Ali, Op-Cit, hal.330
[29] Ibid, hal.331
[30] Ibid.
[31] A.Al-Sayed, Dr. Abdul Malek, 1995, Etika Sosial Dalam Islam, Kuala Lumpur:Dewan Bahasa dan Pustaka, hal.20
[32] Ibid, hal.21
[33] Audah, Abd al-Qadir, 1951, al-Mal wa al-Hukm fi al-Islam, Kaherah:Matba’ah Dar al-Kitab al-Arabiy, hal.332
[34] Ibid.
[35] Abdul Ghani Azmi, Drs, Op-Cit, hal.16
[36] Wan Jusoh, Wan Ali, Op-Cit, hal.335
[37] Ibid, hal.335
[38] Haji Yahaya, Mahayudin, 2009, Sejarah Politik dan Sosiobudaya Masyarakat Islam, Kuala Lumpur:Dewan Bahasa Dan Pustaka, hal.94
[39] Abdul Ghani Azmi, Drs, Op-Cit, hal.55
[40] Wan Jusoh, Wan Ali, Op-cit, hal.336
[41] Ibid, hal.338
[42] Ibid.
[43] Ibid, hal.339
[44] Abdul Ghani Azmi, Drs. Op-Cit, hal.15
[45] Ibid, hal.340
[46] Abdul Munir Yaacob, penyt, 1999, Prinsip-Prinsip Pemerintahan Dalam Masyarakat Majmuk, Kuala Lumpur:Institusi Kefahaman Islam Malaysia, tiada halaman
[47] Ibn Khaldum, Abd al-Rahman, 1970, Al-Muqaddimah, Beirut:Maktabah Lubnan, tiada halaman; Al-Mawardi, Abu Hassan ‘Ali bin Muhammad bin Habib al-Basriy al-Baghdadiy, 1983, al-Ahkam al-Sultaniyyah wa al-Wilayah al-Diniyyah, Kaherah:Dar al-Fikr, tiada halaman
[48] Wan Jusoh, Wan Ali, Op-Cit, hal.343
[49] Zaidan, abd al-Karim, 1988, al-Fard wa al-Daulah fi syariat al-Islam, Mesir:Dar al-Ma’arif, tiada halaman
[50] Wan Jusoh, Wan Ali, Op-Cit, hal.344
[51] Ibid, hal. 345
[52] Ibid, hal.346
[53] Abdul Munir Yaacob, penyt, Op-Cit, hal.346
[54] Al-Quran, Surah Al-Maidah, ayat.2
[55] Al-Quran, Surah Al-taubah, ayat.71
[56] Wan Jusoh, Wan Ali, Op-Cit, hal.348
[57] Abdul Munir Yaacob, penyt, Op-Cit, hal.349
[58] Ibid, hal.350
[59] Al-Qardhawi, Dr. Yusuf, 1988, al-siyasah al-Syar’iyyah, Kaherah:Maktabah Wahbah, hal.350
[60] Wan Jusoh, Wan Ali, Op-Cit, hal.351
[61] Ibid.
[62] Al-Quran, Surah Al-Baqarah, ayat.256
[63] Al-Quran, Surah Al-Hajj, ayat.49
[64] Wan Jusoh, Wan Ali, Op-Cit, hal 352
[65] Al-Qardhawi, Dr. Yusuf, Op-Cit, hal.353
[66] Wan Jusoh, Wan Ali, Op-Cit, hal.353
[67] Al-Qardhawi, Dr. Yusuf, Op-Cit, hal. 353
[68] Wan Jusoh, Wan Ali, Op-Cit, hal.354
[69] Ibid.


*p/s: Kajian ini merupakan kajian penulis bersama-sama rakan kumpulan tugasan semasa berada di Universiti Teknologi Malaysia dan di Universiti Tenaga Nasional untuk subjek pendidikan Islam. Tiada hak cipta terpelihara. Boleh di jadikan sumber..insyaallah..Ingat! jangan plagiat..:)