Pages

Friday, December 19, 2014

Entri Tidak Bertajuk

- Entri Tidak Bertajuk -



PEMBUKA BICARA

Alhamdulillah...syukur ke hadrat ALLAH, penulis berkesempatan berceloteh di blog yang tak seberapa ini, sekadar menjadi pengubat duka dan lara. Mungkin sesetengah orang meluahkan sesuatu perkara melalui percakapannya dengan orang yang ingin berkongsi cerita dan ada juga yang hanya menulis dan terus menulis. Tiba-tiba mood penulis datang untuk menulis, terus jari jemari mencapai keyboard di laptop penulis untuk menulis. 

Di pagi jumaat ini, penghulu segala hari, hari yang indah cuaca pun sayup-sayup mendungnya dan burung-burung tidak berhenti berkicau yang tidak berhenti mengingati kepada-Nya menunjukkan kebesaran yang Maha Esa. SubhanaALLAH.. 

PENYAKIT HATI PEMBUAT MAKSIAT

Kadang-kadang penulis memikirkan banyak perkara yang membataskan perbuatan kita untuk melakukan kebaikan. Apa yang penulis maksudkan? Ya, Penyakit hati. Itulah antara salah satu faktornya.

Bagai kereta api bergerak tanpa landasannya, bagai kapal laut bergerak tanpa navigasinya. Itu yang dapat penulis gambarkan jika kita melakukan sesuatu perkara tanpa hala tujuan. Terus menerus melakukan maksiat sebagai contoh walaupun hanya perkara yang hanya mendekati perkara maksiat seperti zina. Zina pula banyak, bukan hanya zina yang kita semua ketahui, antara yang lain zina hati dan juga zina mata.

Sesungguhnya hati memang tidak akan tenang sekiranya perkara yang di sebut tadi terus menerus di lakukan walhal perkara wajib suruhan-Nya tidak pernah di tinggalkan lagi-lagi selalu solat berjemaah di masjid atau surau. Perkara ini amat memalukan sedangkan solat ini selain sebagai tiang agama ia juga mencegah daripada melakukan perkara yang buruk. 

DILEMA ANAK MUDA AKHIR ZAMAN

Dilema anak muda sekarang di samping akhir zaman yang penuh pancaroba ini, fitnah-fitnah memang begitu banyak dan tersebar dengan pantasnya. Anak-anak muda sekarang memang terdedah dengan pelbagai anasir bagi menjatuhkan maruah agama Islam itu sendiri. Kita lihat sekarang, statistik pembuangan bayi di negara ini di dominasi oleh agama mana? bangsa apa? memalukan bukan?. Persoalannya mengapa? salah siapa?

Ya. Memang tidak penulis tidak nafikan mungkin perkara ini berlaku kerana kurangnya pendekatan anak muda ini dengan ilmu agama dan mudahnya mendekati perkara yang merosakkan akhlak ini. Akan tetapi,  apa yang lebih mengecewakan dan menyedihkan perkara ini juga menular di kalangan anak muda yang berpelajaran tinggi dan bersekolah agama yang tahu akan hukum hakam, halal haram dan baik dan buruk. Tiada guna ambil jurusan kejuruteraan, perubatan, akautan, syariah Islam dan lain-lain tapi bab akhlak ke laut. 

Dari kecil di asuh dengan ibu bapa dengan pendekatan agama, belajar mengaji al-quran, di hantar ke sekolah agama akan tetapi apabila sudah besar begini pula jadinya. Berbalik kepada isu yang penulis ingin cakna kali ini mungkin juga ia berkaitan dengan kisah penulis sendiri. Hati sememangnya tidak akan tenang selagi masih bergelumang dengan dosa walaupun terus menerus melakukan kebaikan. Apa gunanya terus melakukan kebaikan, ikut suruhan-Nya akan tetapi terus menerus melakukan dosa.

CABARAN HIDUP BERJAUHAN DENGAN KELUARGA DI PERANTAUAN 

Anak muda yang tinggal berjauhan dengan ibu bapa memang sangat mencabar lagi-lagi tinggal di kota metropolitan. Berbagai cabaran. Penulis sendir berasal dari kampung, dan sejak tingkatan 4 lagi penulis sudah berjauhan dengan keluarga di kampung dan bersekolah di ibu kota Kuala Lumpur seterusnya menyambung diploma di ibu kota dan sekarang menyambung ijazah juga di ibu kota Kuala Lumpur, kota metropolitan. Berbagai cabaran pernah di hadapi lebih-lebih lagi zaman sekolah dahulu. Itu tidak mengapa, perkara yang lepas biar lepas, biasalah budak sekolah, nakal tak lari dari masalah disiplin hanya langgar peraturan sekolah paling di gantung atau di buang asrama yang lagi teruk boleh di buang sekolah. 

MAHUKAN YANG HALAL

Kini apabila terus meningkat remaja ke alam dewasa lebih banyak cabaran yang harus di lalui. Ada yang mahu pasangan hidup, itu norma kehidupan sebagai manusia bukan sebagai sebuah  robot yang telah di programkan. Perkara biasa kita dengar, masa zaman sekolah yang sedang ber'couple' ni di suruh belajar rajin-rajin agar dapat semua A dalam SPM dan boleh masuk universiti, nanti di universiti lagi ramai anak dara menanti, kahwinlah. Bila sudah masuk universiti,

Di programkan pula suruh belajar sehingga dapat ijazah, tiada ijazah tiada kahwin. Itu perkara biasa kita dengar. Bagaimana pula jika sepasang 'couple' ini ber'couple' sejak habis belajar di sekolah, berapa banyak dosa terkumpul. Hajat hendak berkahwin. Yang belajar dari diploma anggaran 3 tahun pengajian dan ijazah pula 3-4 tahun pengajian bagi jurusan kejuruteraan sebagaimana penulis. Dosa terkumpul? nyawa pula bila-bila masa sahaja, tak sempat bertaubat bagaimana pula? nak tunggu habis belajarkan ijazah seperti yang telah diprogramkan, baru nak bertaubat panggil malaikat cabut nyawa? 

Mesti ramai yang tidak bersetuju dengan apa yang penulis katakan ini. Mesti ada yang menjawab, kalau dah macam itu tak payah 'couple' kan berdosa, fokus belajar, ibu bapa hantar belajar pergi belajar bukan sibuk bercintan cintun. Pernyataan paling 'famous' ialah masih belajar macam mana nak tanggung anak dara orang, nak bagi makan pasir?..

Jawapan yang boleh di beri sedikit sebanyak menjawab pernyataan tersebut ialah sebagai anak muda memang tidak lari fitrah sebagai seorang manusia yang mahu hidup berpasang-pasangan. Haiwan dan tumbuhan juga begitu, ia hukum alam. Manusia bukan robot. Kita lihat kesannya pula, bagaimana sepasang kekasih yang sudah ber'couple' lebih dari 5-6 tahun masing-masing berjanji akan berkahwin, saham dosa yang terkumpul semestinya tinggi bukan? 

Sesetengah anak muda yang masih belajar ini menjadikan pasangannya sebagai 'catalyst' atau pemangkin bagi semangat untuk berlumba-lumba untuk berjaya dalam pelajarannya selain bernekad berusaha untuk berjaya dalam pelajaran untuk membalas jasa ibu bapanya yang menjaganya sejak kecil lagi. Bukan tujuan untuk membangga-banggakan diri apabila sudah berjaya kelak. 


Bersambung...


Friday, November 21, 2014

Perihal Orang Bugis - Bugis Bukan Lanun

-Perihal Orang Bugis - Bugis Bukan Lanun-



KEHADIRAN orang Bugis ke Tanah Melayu dipercayai sudah bermula sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka malah sudah terdapat permukiman orang Bugis di Semenanjung Tanah Melayu pada abad ke-17.

Kedatangan mereka dalam jumlah yang besar berlaku pada kolonial Inggeris khususnya suku akhir abad ke-19 dan ia berterus sehingga kini.

Majoritinya, kehadiran orang Bugis dapat dilihat di dua negeri di Semenanjung Tanah Melayu iaitu Johor dan Selangor.

Di Johor sendiri, peranan orang Bugis adalah peneroka hutan dan pembina penempaan luar bandar sekali gus antara aspek penting yang membentuk persejarahan Johor.

Oleh itu, sejarah kedatangan masyarakat Bugis ke Semenanjung Tanah Melayu khususnya ke Johor bukanlah satu perkara baru dalam sejarah.

Dalam masyarakat Bugis, belayar, mengembara, berdagang dan merantau merupakan tradisi utuh dalam kehidupan mereka.

Sebagai suku bangsa yang terkenal dalam aktiviti pelayaran, pelaut Bugis telah mengembangkan suatu kebudayaan maritim sejak beberapa abad yang lalu.

Berdasarkan nukilan Christian Pelras dalam buku The Bugis, berlakunya penghijrahan besar-besaran pada abad ke-17 dan awal abad ke-18 di kalangan masyarakat Bugis Sulawesi Selatan kerana rasa tertekan.

Mereka berhijrah ke Sumbawa, Lombok, Bali, Jawa, Sumatera, Borneo dan Semenanjung Tanah Melayu. Kebanyakan masyarakat Bugis memilih Johor sebagai destinasi penghijrahan.

Sebagai masyarakat yang mempunyai kehandalan dalam ilmu pelayaran, masyarakat Bugis dapat bergerak ke seluruh pelusuk rantau Asia.

Kedatangan masyarakat Bugis ke Johor kemudiannya menjadikan sebagai kawasan tumpuan perantauan disebabkan beberapa faktor seperti kekurangan tanah, sumber makanan, politik tidak stabil, persengketaan di kalangan bangsawan Bugis.

Bagaimanapun, tiada tarikh yang jelas dicatatkan berhubung kedatangan orang Bugis ke Johor, sebaliknya dinyatakan secara jelas kedatangan awal masyarakat Bugis ke Johor dirakam pada awal abad ke-18 melalui kehadiran keturunan bangsawan Bugis lima bersaudara iaitu Daeng Perani, Daeng Menambun, Daeng Merewah, Daeng Chelak dan Daeng Kemase.

Di Johor, antara kawasan yang menjadi tumpuan kemasukan perantau Bugis adalah Batu Pahat, Muar, Kukup, Kampung Permas Kelapa, Parit Semair, Serkat, Benut dan Pengerang.

Kehebatan ilmu pelayaran

Orang Bugis terkenal di dalam bidang maritim di Kepulauan Melayu dan bidang ekonomi. Ini kerana rata-rata etnik Bugis yang merantau terdiri daripada nakhoda dan pedagang.

Sebagai pedagang hasil hutan dan tanaman pasaran, orang Bugis lebih mengetahui hasil-hasil yang memberi laba yang banyak menguntungkan.

Secara jelasnya, mereka lebih mengetahui tempat-tempat yang paling sesuai untuk aktiviti ekonomi pertanian malah mengusahakan aktiviti pertanian di Tanah Melayu.

Sehubungan itu, mereka memaklumkan peluang-peluang itu (aktiviti ekonomi) kepada sanak saudara sehingga menjadi titik tolak penghijrahan orang Bugis ke Johor dalam satu jaringan yang besar dan kukuh seterusnya berlaku penerokaan kawasan.

Hasilnya, kedatangan perantau-perantau Bugis ke Johor telah banyak menjayakan pembangunan negeri Johor.

Selain itu, mereka juga cukup terkenal sebagai pahlawan yang berani sehinggakan digelar sebagai ‘Lanun’ yang digeruni oleh Belanda dan Inggeris.

Bagaimanapun, persepsi segelintir masyarakat yang melabelkan orang Bugis sebagai lanun tercetus hasil daripada teknik propaganda Belanda dan Inggeris sedangkan ia tidak benar.

Tahun 1721 memperlihatkan penglibatan dan peranan Bugis Lima Bersaudara iaitu Daeng Parani, Daeng Menambun, Daeng Merewah, Daeng Cella’ dan Daeng Kemase membantu Raja Sulaiman iaitu putera Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV mendapatkan takhta kerajaan Johor daripada Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah (Raja Kechil).

Ini kerana Raja Kechil telah menawan dan memerintah Johor-Riau-Lingga sebagai Sultan Ke-12, mendirikan pusat pemerintahan di Siak, Sumatera pada tahun 1718.

Maka Raja Sulaiman menggunakan orang-orang Bugis dari Luwok, Makassar kecil yang berkampung di Kelang untuk mendapat balik kerajaan Johor-Riau-Lingga dari Raja Kecil.

Sebaik sahaja orang Bugis menerima persetujuan dari Raja Sulaiman, angkatan Bugis terus datang dengan tujuh buah kapal menuju ke pusat kerajaan Johor-Riau di Riau untuk menyerang.

Kerajaan Johor-Riau kalah di dalam peperangan ini dalam tahun Hijrah 1134. Sebagai upah, Raja Sulaiman bersetuju untuk melantik seorang Bugis menjadi Yamtuan Muda di Riau iaitu Daeng Merewah bagi mempertahankan agama dan kerajaan Johor, Riau dan Lingga diserang dari luar dan dalam.

Keturunan Bugis Lima Bersaudara ini terus memainkan peranan dalam kerajaan Johor sehinggalah kerajaan Johor dipecahkan oleh kuasa barat, Belanda dan British melalui Perjanjian London pada tahun 1824.

Mulai tahun 1824, kawasan dari Pulau Singapura ke bawah termasuk Riau dan Lingga di bawah pengaruh Belanda, manakala kawasan mulai Pulau Singapura ke atas di bawah pengaruh British.

Sinar Harian 29 Okt 2013


Peranan Bugis Lima Bersaudara

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEiL_BTUTHqS6u5CYUbbEnrtWQTGkRQqM5GkIbnMxG12dvK4hIMGZhFLJl6RjilzDxLYb8FK-B5Dws4567_mPdmQHD9jsfJvec4pt4VmbAwrTLF96dr3GSijflSXEiwMCV5Ia4mtbINhckQ/s320/Peranan%2520Bugis%2520Lima%2520Bersaudara%25201.jpg
RAJA TEMENGGUNG TUN DAING IBRAHIM

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEiWx89pb4v8QC4gpzwqbPQlR7qfZliaVwTv5LN_tmMwe_eEESLwQ64E6FDcnLcTcQ4CG0r3lVMG5c73uX4mWSkbVfEMTs4a9gfeaSJaFeuJ4ciSgmSu5jJxwJJf5jAM7z0_JbnUbXaTvbU/s1600/Peranan%2520Bugis%2520Lima%2520Bersaudara%25202.jpg
Adat perkahwinan masyarakat Bugis.

PEREBUTAN kuasa dan konflik pemerintahan raja-raja di Tanah Melayu telah membuka ruang kepada masyarakat Bugis untuk meluaskan peranannya.

Pengaruh masyarakat Bugis dalam Kesultanan Johor bermula pada 1719 apabila Yang Dipertua Besar Johor-Riau, Raja Sulaiman telah meminta bantuan Bugis Lima Bersaudara bagi merampas semula takhta Johor dari Raja Kechil dari Siak yang mengaku sebagai waris keturunan Sultan Mahmud Shah II.

Sebelum itu, Raja Kechil yang berpusat di Siak telah merampas kuasa Sultan Abdul Jalil IV iaitu ayahanda Raja Sulaiman yang juga moyang kepada Raja Temenggung Tun Ibrahim Seri Maharaja Johor, pada 1718.

Pegawai Perhubungan dan Perusahaan Bahagian Korporat Yayasan Warisan Johor (YWJ), Mohd Azlan Hafiz Mohti berkata, Bugis Lima Bersaudara bersetuju membantu Raja  Sulaiman namun meletakkan syarat mereka perlu diiktiraf sebagai pembesar Johor.

“Raja Sulaiman yang berpakat dengan Bugis Lima Bersaudara berjaya menewaskan serangan Raja Kechil dan dihalau balik ke Siak.

“Raja Sulaiman kemudiannya ditabalkan oleh Bugis Lima Bersaudara sebagai Sultan Johor-Riau dengan gelaran Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah dan memerintah pada 1722 hingga 1776.

“Manakala Daing Merewah daripada Bugis Lima Bersaudara dilantik sebagai Yamtuan Muda Johor yang pertama,” katanya.

Katanya, selepas kejayaan menentang Raja Kechil, masyarakt Bugis yang terkenal sebagai ahli pelayaran hebat banyak membantu Kesultanan Johor dalam menentang pelbagai serangan termasuk Belanda.

“Masyarakat Bugis pernah terlibat dalam peperangan Johor menjatuhkan Melaka yang ketika itu berada di bawah pengaruh Belanda demi kepentingan perdagangan.

“Mereka banyak memainkan peranan membantu Johor menentang Belanda dan kuasa-kuasa lain kerana mempunyai banyak kepakaran tentang laut malah mereka turut dikenali sebagai ahli pelayaran,” katanya.

Mohd Azlan berkata, kedatangan Bugis ke Johor secara tidak langsung turut mengubah lanskap politik dan pemerintahan di Johor yang sebelum ini amat memandang tinggi terhadap suku kaum tertentu.

“Sejak kedatangan Bugis, empayar Johor mula menerima masyarakat yang mempunyai kebolehan dan kelebihan.

“Selain itu, selepas jawatan Yamtuan Muda diperkenalkan, kuasa membuat keputusan tidak lagi terletak pada menteri dan jemaah,” katanya.

Beliau berkata, pengaruh masyarakat Bugis semakin meluas dalam Kesultanan Johor apabila salah seorang daripada Bugis Lima Bersaudara iaitu Daing Perani berkahwin dengan adinda Sultan Sulaiman, Tengku Tengah.

“Manakala keturunan Kesultanan Johor yang mula memakai gelaran Temenggung adalah Temenggung Tun Abdul Jamil iaitu anak kepada Bendahara Tun Abbas dan juga cucu kepada Sultan Abdul Jalil.

“Temenggung Tun Abdul Jamil juga telah berkahwin dengan Raja Maimunah yang merupakan saudara perempuan kepada Yamtuan Muda III, Daing Kemboja dan mendapat tiga cahaya mata iaitu Daing Chelak, Daing Kechil dan Engku Muda,” katanya.

Gelaran Temenggung

Katanya, pengaruh masyarakat Bugis masih dapat dilihat jelas dalam salasilah keturunan Sultan Johor yang menggunakan gelaran Temenggung.

“Pada 1855 Raja Temenggung Tun Daing Ibrahim telah diiktiraf sebagai Sultan Johor ke-20 sehingga 1862.

“Sultan Ali yang memerintah pada ketika itu telah bersetuju menyerahkan kedaulatan Johor kepada Temenggung Ibrahim kecuali Muar dan Kesang.

“Temenggung Ibrahim tidak menggunakan gelaran Sultan untuk menghormati Sultan Ali dan telah membuka Tanjung Puteri sebagai pusat pentadbiran di Johor,” katanya.

Beliau memberitahu pemerintahan keluarga Temenggung diteruskan Datuk Temenggung Abu Bakar Seri Maharaja Johor iaitu Sultan Abu Bakar yang merupakan anak kepada Temenggung Ibrahim, pada tahun 1862-1895.

“Sultan Abu Bakar memakai gelaran Maharaja Johor pada tahun 1868 dan memakai gelaran Sultan Johor pada 1886 sebagai Sultan Abu Bakar Alkhalil Ibrahim Shah.

“Pada ketika ini gelaran Yamtuan Muda mula digantikan dengan Tunku Mahkota Johor sehingga era pemerintahan Sultan Johor pada hari ini,” katanya.

Sinar Harian 29 Okt 2013


Minoriti orang Bugis ada di Muar

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhSOKYa8FnH6RP-h8FDP6HlLilfmPtKLbCdW6SN91kEVYLuLk8_nYg6T4M3n6NDg7ENy6BFrHZuvHCNfdC9wS5df6wCbALYt7yjV0vr444HBRSdIDq_D_wA-d9s03hJKX9QxsMmC-xEtXc/s1600/Minoriti%2520orang%2520Bugis%2520ada%2520di%2520Muar%25201.jpg
Membasuh kaki atau ‘ mattaluttuk’ adalah acara wajib persandingan pengantin masyarakat Bugis.

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEg2U7ghofKyFEVaOghi7Uy4cu7K3YzLoEWLZmjljJN7c5Au9XDqWl7h_ngDRpGk4kSN-7NcCNKzXAd-03LDpY0OJXLoJYom5OIpRQ61Bwld67UqxggWdhBmrv9Hdi7Y8fd6j4P4eXSJwP8/s1600/Minoriti%2520orang%2520Bugis%2520ada%2520di%2520Muar%25202.jpg
Kampung Parit Bugis dibuka oleh orang Bugis dari Kepulauan Riau, Indonesia iaitu Daeng Saribut dan Daeng Abu Bakar pada 1904.


RAMAI tidak mengetahui, daerah Muar yang begitu sinonim dengan komuniti Jawa sebenarnya mempunyai kumpulan kecil  komuniti Bugis yang menetap di dua perkampungan daerah ini iaitu di Kampung Parit Bugis dan Kampung Sungai Pulai Laut.

Kampung berkenaan berada dalam mukim Sungai Balang dibuka oleh orang-orang Bugis yang berhijrah dari Indonesia ke daerah ini untuk mencari pekerjaan dengan meneroka hutan untuk membuka kebun.

Mengikut sejarah, Kampung Parit Bugis, diteroka oleh orang-orang Bugis yang diketuai Daeng Saribut dan Daeng Abu Bakar  dari Kepulauan Riau, Indonesia pada 1904.

Menurut ketua kampungnya, Saifudin Kadak, orang Bugis membuka kawasan hutan di sini dan telah mengusahakan tanaman getah, namun tanaman itu tidak menjadi kerana pokok getah tidak sesuai dengan kawasan tanah gambut.

“Tiga keluarga orang Bugis itu kemudiannya meninggalkan kampung tersebut setelah lima tahun berada di situ dan kerja-kerja membuka hutan diambil alih oleh orang-orang Jawa yang berasal dari Kabupaten Ponorogo, Pulau Jawa, Indonesia untuk mengusahakan tanaman kelapa pula.

“Tapak asal seluas kira-kira 1.5 hektar yang mula-mula diteroka oleh Daeng Saribut  masih wujud dan diusahakan penduduk kampung dengan tanaman sawit,”  katanya kepada Sinar Harian.

Sifat jujur

Sementara, Kampung Sungai Pulai terbahagi kepada dua iaitu laut dan darat. Sungai Pulai Laut  diteroka oleh orang Bugis bernama Babak bersama rakan-rakanya sekitar 1900. Babak merupakan datuk  kepada satu-satunya generasi tua orang Bugis di kampung berkenaan yang masih hidup, Saanah Abdul Hamid, 75,.

Orang Bugis berjaya meneroka tanah seluas kira-kira 250 hektar di Kampung Sungai Pulai Laut dengan tanaman sawit yang menjadi sumber ekonomi utama kepada penduduk di situ.

Saanah berkata, keluasan tanah yang berjaya diteroka orang Bugis menggunakan peralatan tradisional menggambarkan sifat sebenar mereka yang rajin, cekal dan  kuat bekerja.

“Satu lagi sifat sebenar orang Bugis ialah sanggup bergaduh, meskipun sehingga  menyebabkan  kematian adalah semata-mata untuk  mempertahankan diri jika mereka tidak bersalah.

“Darah orang Bugis ini cepat panas, ditambah pula dulu mereka tidak dibimbing dengan Islam mempengaruhi mereka bersifat ganas,” katanya.

Katanya, pihak British atau Belanda telah menggelarkan orang Bugis sebagai lanun kerana tindakan mereka yang sering merompak serta menyerang kapal penjajah itu di laut.

Bagaimanapun katanya, sikap orang Bugis yang  panas baran itu telah bertukar lembut dan lebih baik selepas kedatangan serta penyebaran Islam yang meluas ketika itu.

“Kelebihan pada  orang Bugis adalah mereka jujur, tidak menganiaya rakan dan amat mengutamakan hubungan kekeluargaan.

Saanah berkata, arwah bapanya, Mencening  Daeng Manangkah adalah orang Bugis yang  berasal dari Sulawesi, Indonesia, begitu juga dengan arwah  suaminya, Daeng Paleba Daeng Mengapi.

“Arwah suami adalah keturunan keenam keluarga raja Bugis. Hasil perkongsian hidup, saya dikurniakan 13 anak, tetapi hanya anak kedua sahaja yang fasih bertutur bahasa ibunda Bugis,” katanya.

Budaya makin berbeza

Menurut Saanah, amalan adat resam dan  budaya  masyarakat Bugis hari ini semakin berbeza dengan amalan masyarakat Bugis dahulu.

Jelasnya, mana-mana adat yang bercanggah dengan ajaran Islam telah lama ditinggalkan dan hanya mengamalkan adat yang  tidak menyalahi Islam supaya amalan tradisi masyarakat Bugis tidak dilupakan generasi baru.

“Sebagai contoh, sebelum ini jika sesebuah keluarga hendak mengadakan satu majlis besar, terlebih dahulu akan melakukan upacara ancak yang kononnya untuk bagi makan kepada nenek moyang.

“Apabila mengetahui perbuatan itu bercanggah dengan ajaran Islam, amalan itu sudah tidak dilakukan lagi,” katanya.

Katanya, dari segi adat budaya masyarakat Bugis dengan Jawa yang diamalkan hari ini tiada banyak  bezanya.

Orang Bugis yang menggunakan gelaran seperti Petah, Andik , Daeng dan Ambok  dianggap mempunyai kedudukan yang lebih tinggi  kerana berasal daripada  keturunan diraja.

Saanah menjelaskan dia berketurunan Bugis wajuk iaitu daripada kalangan orang-orang biasa.

Bagi Rahmat Galong, 57, berkata, masyarakat Bugis hari ini semakin terbuka berbanding dahulu terutamanya membabitkan soal perkahwinan anak.

“Dahulu, ibu bapa menetapkan syarat setiap anak mereka perlu berkahwin dengan keturunan yang sama ataupun  mengahwinkan anak mereka dengan ahli keluarga terdekat (sepupu) semata-mata untuk mengekalkan keturunan keluarga masing-masing.

“Jika dalam kampung ada lelaki bujang kaya, ibu bapa yang memiliki anak perempuan akan mengaturkan perancangan anak mereka berkahwin dengan lelaki itu,” katanya yang menetap di Kampung Sungai Pulai Laut sejak dilahirkan.

Sinar Harian  29 Okt 2013


Orang Bugis tidak ganas tapi berdikari

MASYARAKAT Bugis yang berada di Kluang menyangkal persepsi masyarakat bahawa etnik berkenaan dilabelkan sebagai kumpulan ganas di laut.

Meskipun perhijrahan orang Bugis dari Sulawesi ke Johor menerusi jalan laut, namun kelompok masyarakat berkenaan tidak dianggap ganas, sebaliknya merupakan masyarakat yang berani berdikari berhijrah ke kawasan lain.

Anak Bugis, Rosman Pileh, 67, yang berasal dari Kampung Tampok, Pontian, memberitahu masyarakat Bugis tidak ganas, tetapi mungkin mempunyai sifat panas baran.

“Panas baran ini masih boleh dikawal sekiranya orang lain tidak mengusik atau menjatuhkan maruahnya. Orang Bugis ini lebih mementingkan maruah dan martabat...sekiranya maruahnya diusik, pasti mereka (orang Bugis) akan menjadi ganas.

“Kalau tidak diusik, mereka akan melayan dengan baik dan lebih menjaga hubungan kekeluargaan. Orang Bugis ini adalah bangsa yang berani kerana dahulu mereka sanggup berhijrah ke Johor disebabkan keadaan tidak selamat di Sulawesi (Indonesia).

“Jika mereka tidak berani, mungkin orang Bugis ini tidak akan masuk ke Tanah Melayu pada kurun ke-16 dahulu,” katanya kepada Sinar Harian.

Rosman berkata, masyarakat Bugis lebih gemar berkahwin dalam kalangan sanak saudara berbanding dengan orang luar kerana tidak sama darjat dan keturunan.

Menurutnya, darjat dan keturunan amat dipandang oleh masyarakat Bugis sehingga orang Melayu atau Jawa tidak dipandang pada suatu ketika dahulu.

“Disebabkan sikap orang Bugis itu yang datang berhijrah ke Tanah Melayu dan membuka penempatan di sini, masyarakat lain menganggapnya sebagai perlakuan yang buruk atau sebaliknya,” katanya.

Sementara itu Ketua Umno Cawangan Taman Emas, Radzali Mohd Noor yang juga berdarah Bugis dari Kampung Semarto, Parit Raja, menyangkal dakwaan persepsi sesetengah masyarakat yang mengatakan Bugis sebagai lanun dan mempunyai sikap ganas.

Katanya, orang Bugis dilihat sebagai ganas disebabkan mereka dikategorikan sebagai panglima yang sentiasa berperang melawan musuh.

“Sikap kepahlawanan yang suka berperang itu telah dianggap ganas oleh sesetengah masyarakat. Sebenarnya orang Bugis tidak ganas, tetapi disebabkan jiwa mereka yang suka menakluk telah disalah ertikan oleh sesetengah masyarakat lain.

“Jiwa menakluk mereka itu telah dikaitkan dengan ganas walhal mereka tidak dan orang Bugis ini seorang yang berani dan cara serta gaya mereka yang suka berperang itu telah menjadikan mereka nampak seperti ganas ataupun lanun.

“Ada juga orang Bugis ini dianggap sebagai lanun kerana masuk berhijrah ke Tanah Melayu lalu membuka penempatan, sedang mereka adalah pendatang yang berhijrah masuk Tanah Melayu untuk menyelamatkan diri daripada ancaman musuh.

“Orang Bugis sama juga seperti masyarakat Jawa dari Indonesia yang datang masuk ke Tanah Melayu dan membuka penempatan, tetapi kini orang Bugis tidak dianggap ganas atau lanun tidak seperti apa yang berlaku dahulu,” katanya.

Sinar Harian 29 Okt 2013

Credit: duniaitu

Monday, June 30, 2014

CSR GEBENG: MAHASISWA UNITEN MENDEKATI MASYARAKAT


CSR GEBENG: MAHASISWA UNITEN MENDEKATI MASYARAKAT 



PEMBUKA BICARA

Alhamdulillah, syukur kehadrat illahi penulis sempat berceloteh sedikit sebanyak di dalam blog penulis yang kadangkala ‘update’ dan kadangkala sunyi sepi bak bunyi cengkerik di malam hari. Di kesempatan ini, penulis mengucapkan selamat menyambut Ramadan Al-Mubarak, bulan yang penuh dengan keberkatan. Pastikan kita sebagai umat Islam merebut pahala yang pastinya berlipat kali ganda di bulan Ramadan ini.

                                                         Bunting USR Kluang Johor

                                    Sekolah Tinggi Kluang di nobatkan sekolah kluster kecemerlangan

USR VS CSR

‘Bagai aur dengan tebing’ begitulah yang dapat di gambarkan hubungan mahasiswa dengan masyarakat luar. Di setiap Institut Pengajian Tinggi (IPT) sememangnya tidak lari dengan aktiviti kemasyakatan iaitu khidmat masyarakat selain aktiviti dalaman universiti. Suatu pengalaman yang manis dan amat bermakna bagi penulis menyertai program sebegini dan juga mahasiswa lain yang menyertainya. Pedulikan dengan pro dan kontra sesuatu program yang penting input yang mahasiswa dapat.

                                                     Pelajar-pelajar sekolah STK

                                                           Aktiviti-aktiviti USR

Semasa penulis di zaman diploma di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), penulis hanya dapat merasai beberapa program khidmat masyarakat iaitu  USR Kampung Orang Asli Pulau Carey Banting (bulan Ramadan), USR Membantu Mangsa Banjir Johor, USR Sagil (sebagai orang kampung) dan USR Kluang (sertai selepas penulis bergelar alumni). Di UTM, program khidmat masyarakat ini di panggil University Social Responsibility (USR) berbeza pula dengan program khidmat masyarakat di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) yang di panggil Corporate Service Responsibility (CSR). Namun ia memberi maksud yang sama iaitu khidmat masyarakat mendekatkan mahasiswa dengan masyarakat luar.

                                      USR Kluang melawat Muzium balai polis bersejarah Bukit Kepong 

                                        Taklimat mengenai balai polis Bukit Kepong oleh Sarjan Jamil 

CORPORATE SERVICE RESPONSIBILITY (CSR) DI GEBENG, KUANTAN PAHANG

Penulis mula melibatkan diri dengan program khidmat masyarakat di UNITEN setelah melihat tawaran untuk menyertai CSR di Kuala Perlis anjuran Kelompok Murni UNITEN dan Center of Forensics Engineering (CeFe) dan R&D UNITEN. Namun, CSR Kuala Perlis tiada kekosongan. Kekecewaan terubat apabila penulis di tawarkan untuk menyertai CSR di Gebeng, Kuantan oleh Dr. Zuraidah, pensyarah di UNITEN. Penulis mengajak beberapa rakan penulis yang juga rakan serumah penulis iaitu saudara Izwan dan saudara Zulfadhli kerana mereka juga agak meminati program seperti ini.

                                                      Bergambar dengan banner CSR Gebeng

Mungkin tidak semua, tapi segelintir mahasiswa di UNITEN berebut-rebut untuk menyertai sesebuah program universiti kerana untuk menambah ‘scoran’ atau sistem merit. Mahasiswa perlu mempunyai mata ‘scoran’ yang cukup untuk bergraduasi selain menjaga pointer CGPA dan CPA. Tapi yang hanya penulis mahukan ialah pengalaman memandangkan ‘scoran’ ini tidak ‘valid’ untuk mahasiwa ‘Transfer Credit (TC)’. Kerana sesuatu pengalaman itu bukan senang untuk di beli, tetapi ianya perlu di rasai. Tambahan pula, program ini tidak dikenakan sebarang bayaran seperti program-program lain.

                              Para peserta CSR Gebeng bersama Dr. Zue bergambar sebelum bertolak ke destinasi                                             

MEMULAKAN PERJALANAN

27 Jun 2014 (Jumaat)

Lebih kurang jam 3.00 petang iaitu selepas solat Jumaat, kami bertolak dari Kelompok Murni UNITEN dengan menaiki bas sewa khas daripada syarikat Khiffah. Bas yang agak berkelas pertama dan selesa. Kami menuju ke Kuantan dengan melalui Lebuhraya Karak dan Lebuhraya Pantai Timur (LPT 1).

                                                        Bergambar di dalam bas

                                                 Makan malam di restoran Sri Baging

Perjalanan yang agak lama kerana kesesakan lalu lintas di ibu kota. Kami seterusnya singgah seketika di hentian Genting Sempah, Pahang untuk menunaikan solat Asar sebelum meneruskan lagi perjalanan.

                                                          Sekitar Mermaid Inn Chalet

Berhampiran dengan destinasi yang di tuju, kami singgah di sebuah kedai makan di Sri Baging memandangkan perut pun sudah lapar dan sudah waktu malam. Ketika itu, hujan sungguh lebat, hujan rahmat.

                                                       Mermaid Inn Chalet

                                                     Mermaid Inn Chalet di tepi pantai

TIBA KE DESTINASI

Setelah bersantapan, kami tiba ke destinasi dan tempat penginapan kami iaitu di Memaid Inn Chalet yang tidak jauh dari tempat kami berhenti untuk makan malam. Lokasinya di tepi pantai membuatkan kami amat teruja. Tambahan pula, angin pantai pada waktu malam sungguh nyaman.

                                                           Pantai di Mermaid Inn Chalet

                                                             Sekitar Mermaid Inn

PERBINCANGAN PERSIAPAN AKTIVITI

Malam itu, kami di bahagikan beberapa kumpulan untuk aktiviti keesokan hari iaitu aktiviti melukis mural, ‘english camp’ dan gotong-royong. Aktiviti gotong-royong di adakan di Balai serbaguna dan balairaya (KEMAS) dan dua aktiviti lain diadakan di dalam sekolah. Penulis dan rakan penulis di tugaskan oleh Dr. Zuraidah untuk menyertai aktiviti gotong-royong. Kami yang bergotong-royong juga di tugaskan untuk menemuramah masyarakat.

                                                Taklimat oleh Dr. Zue kepada semua peserta

                                                  Saudara Izzat, staf dari CeFe UNITEN

                                      Saudara Aliff begitu khusyuk dengan perbincangan melukis mural

                                      Dari kiri: Izwan, Zulfadhli, Dr. Zue, penulis, Syuk dan Dzul Farhan,

HARI PROGRAM

28 Jun 2014 (Sabtu)

Hari yang di nanti-nantikan sudah tiba. Pagi-pagi lagi kami menuju ke Sekolah Kebangsaan Sungai Ular, Kuantan Pahang untuk aktiviti kemasyarakatan. Masyakat yang terdiri daripada murid-murid sekolah dan masyakat kampung. Kami menuju ke tempat program dari tempat penginapan dengan menaiki kereta sahabat Cefe UNITEN.

                                              Sekolah Kebangsaan Sungai Ular, Kuantan Pahang

Sampai di tempat program, kami bersarapan pagi di kantin sekolah sebelum kami di perkenalkan dengan ketua kampung dan staf-staf UNITEN yang hadir.

                                                        Bersarapan pagi di kantin sekolah

                                     Bergambar bersama ketua kampung, Prof Zainal, Dr Zue dan Dr Rohayu

 PROGRAM BERMULA

Masing-masing memulakan aktiviti seperti yang sudah di rancang. Kumpulan melukis mural di tembok bangunan sekolah dan kumpulan ‘English Camp’ di dalam bangunan sekolah. Manakala kumpulan gotong-royong di balai serbaguna dan balairaya yang terletak tidak jauh dari SK Sungai Ular.

                                                               Melukis Mural

                                                Bergambar di hadapan lukisan mural

                                             Mengambil peluang bergambar dengan lukisan mural

Terlihat kawasan balai serbaguna dan balairaya yang semak samun. Kami di tugaskan untuk memotong rumput dan membersihkan persekitaran balai serbaguna dan balai raya. Apa yang menariknya, sebahagian orang kampung juga turut sama menyertai aktiviti gotong-royong ini!

                                                    Saudara Izwan yang rajin bergotong-royong

                                                       Membersihkan sekitar balai serbaguna

                                            Menanam pokok dan membersihkan sekitar balai raya

                                                      Antara peserta gotong-royong

Setelah selesai bergotong-royong, kami sempat menemuramah seorang penduduk kampung yang juga JKKK Kampung Sungai Ular. Encik Ramli yang berusia dalam lingkungan 70-an mengatakan penglibatan golongan belia yang amat membimbangkan dewasa ini. Sama seperti di kampung-kampung lain, kebanyakan golongan belia berhijrah ke bandar untuk mencari pekerjaan menyebabkan kurangnya belia melakukan aktiviti di kampung.

                                                          London bridge: English Camp

                                                         Aktiviti untuk English Camp

                                           Murid-muris khusyuk mendengar saudara Meor 'speaking' 

Pembangunan dan infrastruktur di kampung ini juga tidak di abaikan dengan pembinaan masjid baru di sini hasil sumbangan kerajaan pusat. Kami sempat juga menanyakan asal-usul kampung ini di beri nama ‘sungai ular’. Beliau mengatakan Kampung Sungai Ular di beri nama kerana keadaan sungai yang melingkar dan berbengkang-bengkok oleh peneroka terdahulu. Tambahan pula, kampung Sungai Ular merupakan sebuah kampung nelayan dan berdekatan dengan pelabuhan.

                                             Bergambar dengan Encik Ramli selepas di temuramah

                                                 Encik Ramli merangkap JKKK Kg. Sungai Ular

Sesudah itu, penduduk kampung bersama guru-guru sekolah di jemput makan tengahari bersama. Kebetulan pada hari itu, pihak sekolah mengadakan sebuah majlis PIBG yang di hadiri oleh ibu bapa yang juga penduduk kampung di sini. Gotong-royong berakhir tengahari sebelum aktiviti sukan rakyat bersambung selepas solat Zohor.

                                                  Makan tengahari bersama penduduk kampung

SUKANEKA DAN SUKAN RAKYAT

Aktiviti seterusnya bersambung dengan aktiviti sukaneka dan sukan rakyat yang terdiri dengan pelbagai permainan seperti tarik upih, boling padang, dam aji dan ‘treasure hunt’. Permainan tradisional tarik upih ini yang di sertai oleh murid-murid SK Sungai Ular sememangnya menarik dan Berjaya memikat hati murid-murid ini. Tidak dapat di nafikan, zaman moden ini kanak-kanak leka dengan permainan moden seperti permainan video game sehinggakan permainan tradisional ini semakin di lupakan.

                                        Saudara Izwan yang menggayakan permainan boling padang

Permainan boling padang seperti permainan boling biasa. Cuma ia di lakukan di atas adang, bola boling sebenar di gantikan dengan buah kelapa dan pin di gantikan dengan botol. Cara permainannya sama dengan boling sebenar. Permainan ini di sertai oleh murid-murid SK Sungai Ular, penduduk kampung dan UNITEN. Daripada situ, dapat di lihat penglibatan penduduk kampung yang member sokongan padu dan kerjasama yang baik dengan aktiviti yang diadakan.

                                                            Sukan Rakyat

                                                Permainan tradisional tarik upih

                                     Taklimat untuk murid-murid mengenai sukan rakyat yang diadakan

Permainan ‘treasure hunt’ di dominasi oleh murid-murid SK Sungai Ular. Hampir semua murid menyertai aktiviti ini. Permainan berbentuk aktiviti ‘explore race’ ini juga sesuatu permainan yang agak menarik kerana ia dapat menguji kekuatan fizikal dan mental bagi yang menyertainya. Penyampaian hadiah dan majlis penutup di adakan lebih kurang jam 5.00 petang.

                     Permainan dam aji: Saudara Zul mencuba nasib berlawan dam aji dengan murid SK Sg. Ular

                                                Majlis penutup dan penyampaian hadiah

BERGERAK PULANG KE TEMPAT PENGINAPAN

Petang itu, kami bergerak pulang ke tempat penginapan di Mermaid Inn Chalet. Penulis merasa sendiri berjalan kaki di kawasan kampung ini bersama peserta lain sementara menunggu giliran menaiki kereta. Jarak daripada SK Sungai Ular ke tempat penginapan lebih kurang 3 kilometer.

                                                Sempat bergambar sambil berjalan pulang                                           

Sampai di tempat penginapan, aktiviti seterusnya untuk peserta program ialah bermain futsal pantai dan bola tampar pantai. Ada juga yang mengambil peluang berjalan-jalan di persisiran pantai menunggu waktu siang melabuhkan tirainya.

                                                           Pantai di waktu senja

SOLAT TERAWIH BERJEMAAH

Memandangkan esoknya merupakan hari pertama berpuasa, malam itu sudah masuk Ramadan. Kami bersolat Terawih secara jemaah yang di imamkan oleh saudara Nazrin yang pernah bersekolah di Maktab Tentera Di Raja dan sama batch dengan adik penulis yang kini sedang melanjutkan pelajaran di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Selesai solat Terawih, kami di jamu dengan barbeku (BBQ) iaitu menu istimewa untuk moreh. BBQ di uruskan oleh pihak pengurusan chalet. Malam itu, kami tidur awal kerana tidak mahu kelewatan bangun untuk sahur.

BERGERAK PULANG

29 Jun 2014 (Ahad)

Pagi itu, kami menghabiskan masa dengan bergambar kenangan di sekitar Mermaid Inn Chalet dan persisiran pantai sementara menunggu bas untuk bergerak pulang. Pemandu bas yang tiba awal seperti yang di jadualkan mohon untuk berehat sebentar memandang hari itu merupakan hari pertama berpuasa dan bas dari Kuala Lumpur.

                                                      Bergambar sebelum pulang

                                                               Berselfie sebelum pulang

                                                           Bergambar sebelum pulang

Tepat jam 11.00 pagi, kami meninggalkan Gebeng dengan 1001 kenangan yang tidak dapat kami lupakan dan sepanjang perjalanan dari Gebeng ke Bangi, penulis menghabiskan masa dengan tidur. Lena di ulit mimpi.

                                                 Bas syarikat Kiffah. Bertolak pulang ke Bangi

p/s: Penulis berharap agar dapat menyertai lagi program seperti ini kerana ia sedikit sebanyak dapat memberi manfaat dan input berguna. Baik kepada masyarakat mahupun peserta itu sendiri. Selain ia dapat mempromosi penjenamaan sesebuah universiti di persada dunia dan di kenali seluruh negara. Ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada penduduk kampung Sungai Ular, Kuantan Pahang, Dr. Zuraidah, sahabat CeFe, peserta CSR Gebeng, pengusaha Mermaid Inn Chalet dan bas Kiffah.