-Perihal Orang Bugis - Bugis Bukan Lanun-
KEHADIRAN orang Bugis ke Tanah Melayu dipercayai sudah bermula sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka malah sudah terdapat permukiman orang Bugis di Semenanjung Tanah Melayu pada abad ke-17.
Kedatangan mereka dalam jumlah yang besar berlaku pada kolonial Inggeris khususnya suku akhir abad ke-19 dan ia berterus sehingga kini.
Majoritinya, kehadiran orang Bugis dapat dilihat di dua negeri di Semenanjung Tanah Melayu iaitu Johor dan Selangor.
Di Johor sendiri, peranan orang Bugis adalah peneroka hutan dan pembina penempaan luar bandar sekali gus antara aspek penting yang membentuk persejarahan Johor.
Oleh itu, sejarah kedatangan masyarakat Bugis ke Semenanjung Tanah Melayu khususnya ke Johor bukanlah satu perkara baru dalam sejarah.
Dalam masyarakat Bugis, belayar, mengembara, berdagang dan merantau merupakan tradisi utuh dalam kehidupan mereka.
Sebagai suku bangsa yang terkenal dalam aktiviti pelayaran, pelaut Bugis telah mengembangkan suatu kebudayaan maritim sejak beberapa abad yang lalu.
Berdasarkan nukilan Christian Pelras dalam buku The Bugis, berlakunya penghijrahan besar-besaran pada abad ke-17 dan awal abad ke-18 di kalangan masyarakat Bugis Sulawesi Selatan kerana rasa tertekan.
Mereka berhijrah ke Sumbawa, Lombok, Bali, Jawa, Sumatera, Borneo dan Semenanjung Tanah Melayu. Kebanyakan masyarakat Bugis memilih Johor sebagai destinasi penghijrahan.
Sebagai masyarakat yang mempunyai kehandalan dalam ilmu pelayaran, masyarakat Bugis dapat bergerak ke seluruh pelusuk rantau Asia.
Kedatangan masyarakat Bugis ke Johor kemudiannya menjadikan sebagai kawasan tumpuan perantauan disebabkan beberapa faktor seperti kekurangan tanah, sumber makanan, politik tidak stabil, persengketaan di kalangan bangsawan Bugis.
Bagaimanapun, tiada tarikh yang jelas dicatatkan berhubung kedatangan orang Bugis ke Johor, sebaliknya dinyatakan secara jelas kedatangan awal masyarakat Bugis ke Johor dirakam pada awal abad ke-18 melalui kehadiran keturunan bangsawan Bugis lima bersaudara iaitu Daeng Perani, Daeng Menambun, Daeng Merewah, Daeng Chelak dan Daeng Kemase.
Di Johor, antara kawasan yang menjadi tumpuan kemasukan perantau Bugis adalah Batu Pahat, Muar, Kukup, Kampung Permas Kelapa, Parit Semair, Serkat, Benut dan Pengerang.
Kehebatan ilmu pelayaran
Orang Bugis terkenal di dalam bidang maritim di Kepulauan Melayu dan bidang ekonomi. Ini kerana rata-rata etnik Bugis yang merantau terdiri daripada nakhoda dan pedagang.
Sebagai pedagang hasil hutan dan tanaman pasaran, orang Bugis lebih mengetahui hasil-hasil yang memberi laba yang banyak menguntungkan.
Secara jelasnya, mereka lebih mengetahui tempat-tempat yang paling sesuai untuk aktiviti ekonomi pertanian malah mengusahakan aktiviti pertanian di Tanah Melayu.
Sehubungan itu, mereka memaklumkan peluang-peluang itu (aktiviti ekonomi) kepada sanak saudara sehingga menjadi titik tolak penghijrahan orang Bugis ke Johor dalam satu jaringan yang besar dan kukuh seterusnya berlaku penerokaan kawasan.
Hasilnya, kedatangan perantau-perantau Bugis ke Johor telah banyak menjayakan pembangunan negeri Johor.
Selain itu, mereka juga cukup terkenal sebagai pahlawan yang berani sehinggakan digelar sebagai ‘Lanun’ yang digeruni oleh Belanda dan Inggeris.
Bagaimanapun, persepsi segelintir masyarakat yang melabelkan orang Bugis sebagai lanun tercetus hasil daripada teknik propaganda Belanda dan Inggeris sedangkan ia tidak benar.
Tahun 1721 memperlihatkan penglibatan dan peranan Bugis Lima Bersaudara iaitu Daeng Parani, Daeng Menambun, Daeng Merewah, Daeng Cella’ dan Daeng Kemase membantu Raja Sulaiman iaitu putera Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV mendapatkan takhta kerajaan Johor daripada Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah (Raja Kechil).
Ini kerana Raja Kechil telah menawan dan memerintah Johor-Riau-Lingga sebagai Sultan Ke-12, mendirikan pusat pemerintahan di Siak, Sumatera pada tahun 1718.
Maka Raja Sulaiman menggunakan orang-orang Bugis dari Luwok, Makassar kecil yang berkampung di Kelang untuk mendapat balik kerajaan Johor-Riau-Lingga dari Raja Kecil.
Sebaik sahaja orang Bugis menerima persetujuan dari Raja Sulaiman, angkatan Bugis terus datang dengan tujuh buah kapal menuju ke pusat kerajaan Johor-Riau di Riau untuk menyerang.
Kerajaan Johor-Riau kalah di dalam peperangan ini dalam tahun Hijrah 1134. Sebagai upah, Raja Sulaiman bersetuju untuk melantik seorang Bugis menjadi Yamtuan Muda di Riau iaitu Daeng Merewah bagi mempertahankan agama dan kerajaan Johor, Riau dan Lingga diserang dari luar dan dalam.
Keturunan Bugis Lima Bersaudara ini terus memainkan peranan dalam kerajaan Johor sehinggalah kerajaan Johor dipecahkan oleh kuasa barat, Belanda dan British melalui Perjanjian London pada tahun 1824.
Mulai tahun 1824, kawasan dari Pulau Singapura ke bawah termasuk Riau dan Lingga di bawah pengaruh Belanda, manakala kawasan mulai Pulau Singapura ke atas di bawah pengaruh British.
Sinar Harian 29 Okt 2013
Peranan Bugis Lima Bersaudara
RAJA TEMENGGUNG TUN DAING IBRAHIM
Adat perkahwinan masyarakat Bugis.
PEREBUTAN kuasa dan konflik pemerintahan raja-raja di Tanah Melayu telah membuka ruang kepada masyarakat Bugis untuk meluaskan peranannya.
Pengaruh masyarakat Bugis dalam Kesultanan Johor bermula pada 1719 apabila Yang Dipertua Besar Johor-Riau, Raja Sulaiman telah meminta bantuan Bugis Lima Bersaudara bagi merampas semula takhta Johor dari Raja Kechil dari Siak yang mengaku sebagai waris keturunan Sultan Mahmud Shah II.
Sebelum itu, Raja Kechil yang berpusat di Siak telah merampas kuasa Sultan Abdul Jalil IV iaitu ayahanda Raja Sulaiman yang juga moyang kepada Raja Temenggung Tun Ibrahim Seri Maharaja Johor, pada 1718.
Pegawai Perhubungan dan Perusahaan Bahagian Korporat Yayasan Warisan Johor (YWJ), Mohd Azlan Hafiz Mohti berkata, Bugis Lima Bersaudara bersetuju membantu Raja Sulaiman namun meletakkan syarat mereka perlu diiktiraf sebagai pembesar Johor.
“Raja Sulaiman yang berpakat dengan Bugis Lima Bersaudara berjaya menewaskan serangan Raja Kechil dan dihalau balik ke Siak.
“Raja Sulaiman kemudiannya ditabalkan oleh Bugis Lima Bersaudara sebagai Sultan Johor-Riau dengan gelaran Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah dan memerintah pada 1722 hingga 1776.
“Manakala Daing Merewah daripada Bugis Lima Bersaudara dilantik sebagai Yamtuan Muda Johor yang pertama,” katanya.
Katanya, selepas kejayaan menentang Raja Kechil, masyarakt Bugis yang terkenal sebagai ahli pelayaran hebat banyak membantu Kesultanan Johor dalam menentang pelbagai serangan termasuk Belanda.
“Masyarakat Bugis pernah terlibat dalam peperangan Johor menjatuhkan Melaka yang ketika itu berada di bawah pengaruh Belanda demi kepentingan perdagangan.
“Mereka banyak memainkan peranan membantu Johor menentang Belanda dan kuasa-kuasa lain kerana mempunyai banyak kepakaran tentang laut malah mereka turut dikenali sebagai ahli pelayaran,” katanya.
Mohd Azlan berkata, kedatangan Bugis ke Johor secara tidak langsung turut mengubah lanskap politik dan pemerintahan di Johor yang sebelum ini amat memandang tinggi terhadap suku kaum tertentu.
“Sejak kedatangan Bugis, empayar Johor mula menerima masyarakat yang mempunyai kebolehan dan kelebihan.
“Selain itu, selepas jawatan Yamtuan Muda diperkenalkan, kuasa membuat keputusan tidak lagi terletak pada menteri dan jemaah,” katanya.
Beliau berkata, pengaruh masyarakat Bugis semakin meluas dalam Kesultanan Johor apabila salah seorang daripada Bugis Lima Bersaudara iaitu Daing Perani berkahwin dengan adinda Sultan Sulaiman, Tengku Tengah.
“Manakala keturunan Kesultanan Johor yang mula memakai gelaran Temenggung adalah Temenggung Tun Abdul Jamil iaitu anak kepada Bendahara Tun Abbas dan juga cucu kepada Sultan Abdul Jalil.
“Temenggung Tun Abdul Jamil juga telah berkahwin dengan Raja Maimunah yang merupakan saudara perempuan kepada Yamtuan Muda III, Daing Kemboja dan mendapat tiga cahaya mata iaitu Daing Chelak, Daing Kechil dan Engku Muda,” katanya.
Gelaran Temenggung
Katanya, pengaruh masyarakat Bugis masih dapat dilihat jelas dalam salasilah keturunan Sultan Johor yang menggunakan gelaran Temenggung.
“Pada 1855 Raja Temenggung Tun Daing Ibrahim telah diiktiraf sebagai Sultan Johor ke-20 sehingga 1862.
“Sultan Ali yang memerintah pada ketika itu telah bersetuju menyerahkan kedaulatan Johor kepada Temenggung Ibrahim kecuali Muar dan Kesang.
“Temenggung Ibrahim tidak menggunakan gelaran Sultan untuk menghormati Sultan Ali dan telah membuka Tanjung Puteri sebagai pusat pentadbiran di Johor,” katanya.
Beliau memberitahu pemerintahan keluarga Temenggung diteruskan Datuk Temenggung Abu Bakar Seri Maharaja Johor iaitu Sultan Abu Bakar yang merupakan anak kepada Temenggung Ibrahim, pada tahun 1862-1895.
“Sultan Abu Bakar memakai gelaran Maharaja Johor pada tahun 1868 dan memakai gelaran Sultan Johor pada 1886 sebagai Sultan Abu Bakar Alkhalil Ibrahim Shah.
“Pada ketika ini gelaran Yamtuan Muda mula digantikan dengan Tunku Mahkota Johor sehingga era pemerintahan Sultan Johor pada hari ini,” katanya.
Sinar Harian 29 Okt 2013
Minoriti orang Bugis ada di Muar
Membasuh kaki atau ‘ mattaluttuk’ adalah acara wajib
persandingan pengantin masyarakat Bugis.
Kampung Parit Bugis dibuka oleh orang Bugis dari Kepulauan
Riau, Indonesia iaitu Daeng Saribut dan Daeng Abu Bakar pada 1904.
RAMAI tidak mengetahui, daerah Muar yang begitu sinonim dengan komuniti Jawa sebenarnya mempunyai kumpulan kecil komuniti Bugis yang menetap di dua perkampungan daerah ini iaitu di Kampung Parit Bugis dan Kampung Sungai Pulai Laut.
Kampung berkenaan berada dalam mukim Sungai Balang dibuka oleh orang-orang Bugis yang berhijrah dari Indonesia ke daerah ini untuk mencari pekerjaan dengan meneroka hutan untuk membuka kebun.
Mengikut sejarah, Kampung Parit Bugis, diteroka oleh orang-orang Bugis yang diketuai Daeng Saribut dan Daeng Abu Bakar dari Kepulauan Riau, Indonesia pada 1904.
Menurut ketua kampungnya, Saifudin Kadak, orang Bugis membuka kawasan hutan di sini dan telah mengusahakan tanaman getah, namun tanaman itu tidak menjadi kerana pokok getah tidak sesuai dengan kawasan tanah gambut.
“Tiga keluarga orang Bugis itu kemudiannya meninggalkan kampung tersebut setelah lima tahun berada di situ dan kerja-kerja membuka hutan diambil alih oleh orang-orang Jawa yang berasal dari Kabupaten Ponorogo, Pulau Jawa, Indonesia untuk mengusahakan tanaman kelapa pula.
“Tapak asal seluas kira-kira 1.5 hektar yang mula-mula diteroka oleh Daeng Saribut masih wujud dan diusahakan penduduk kampung dengan tanaman sawit,” katanya kepada Sinar Harian.
Sifat jujur
Sementara, Kampung Sungai Pulai terbahagi kepada dua iaitu laut dan darat. Sungai Pulai Laut diteroka oleh orang Bugis bernama Babak bersama rakan-rakanya sekitar 1900. Babak merupakan datuk kepada satu-satunya generasi tua orang Bugis di kampung berkenaan yang masih hidup, Saanah Abdul Hamid, 75,.
Orang Bugis berjaya meneroka tanah seluas kira-kira 250 hektar di Kampung Sungai Pulai Laut dengan tanaman sawit yang menjadi sumber ekonomi utama kepada penduduk di situ.
Saanah berkata, keluasan tanah yang berjaya diteroka orang Bugis menggunakan peralatan tradisional menggambarkan sifat sebenar mereka yang rajin, cekal dan kuat bekerja.
“Satu lagi sifat sebenar orang Bugis ialah sanggup bergaduh, meskipun sehingga menyebabkan kematian adalah semata-mata untuk mempertahankan diri jika mereka tidak bersalah.
“Darah orang Bugis ini cepat panas, ditambah pula dulu mereka tidak dibimbing dengan Islam mempengaruhi mereka bersifat ganas,” katanya.
Katanya, pihak British atau Belanda telah menggelarkan orang Bugis sebagai lanun kerana tindakan mereka yang sering merompak serta menyerang kapal penjajah itu di laut.
Bagaimanapun katanya, sikap orang Bugis yang panas baran itu telah bertukar lembut dan lebih baik selepas kedatangan serta penyebaran Islam yang meluas ketika itu.
“Kelebihan pada orang Bugis adalah mereka jujur, tidak menganiaya rakan dan amat mengutamakan hubungan kekeluargaan.
Saanah berkata, arwah bapanya, Mencening Daeng Manangkah adalah orang Bugis yang berasal dari Sulawesi, Indonesia, begitu juga dengan arwah suaminya, Daeng Paleba Daeng Mengapi.
“Arwah suami adalah keturunan keenam keluarga raja Bugis. Hasil perkongsian hidup, saya dikurniakan 13 anak, tetapi hanya anak kedua sahaja yang fasih bertutur bahasa ibunda Bugis,” katanya.
Budaya makin berbeza
Menurut Saanah, amalan adat resam dan budaya masyarakat Bugis hari ini semakin berbeza dengan amalan masyarakat Bugis dahulu.
Jelasnya, mana-mana adat yang bercanggah dengan ajaran Islam telah lama ditinggalkan dan hanya mengamalkan adat yang tidak menyalahi Islam supaya amalan tradisi masyarakat Bugis tidak dilupakan generasi baru.
“Sebagai contoh, sebelum ini jika sesebuah keluarga hendak mengadakan satu majlis besar, terlebih dahulu akan melakukan upacara ancak yang kononnya untuk bagi makan kepada nenek moyang.
“Apabila mengetahui perbuatan itu bercanggah dengan ajaran Islam, amalan itu sudah tidak dilakukan lagi,” katanya.
Katanya, dari segi adat budaya masyarakat Bugis dengan Jawa yang diamalkan hari ini tiada banyak bezanya.
Orang Bugis yang menggunakan gelaran seperti Petah, Andik , Daeng dan Ambok dianggap mempunyai kedudukan yang lebih tinggi kerana berasal daripada keturunan diraja.
Saanah menjelaskan dia berketurunan Bugis wajuk iaitu daripada kalangan orang-orang biasa.
Bagi Rahmat Galong, 57, berkata, masyarakat Bugis hari ini semakin terbuka berbanding dahulu terutamanya membabitkan soal perkahwinan anak.
“Dahulu, ibu bapa menetapkan syarat setiap anak mereka perlu berkahwin dengan keturunan yang sama ataupun mengahwinkan anak mereka dengan ahli keluarga terdekat (sepupu) semata-mata untuk mengekalkan keturunan keluarga masing-masing.
“Jika dalam kampung ada lelaki bujang kaya, ibu bapa yang memiliki anak perempuan akan mengaturkan perancangan anak mereka berkahwin dengan lelaki itu,” katanya yang menetap di Kampung Sungai Pulai Laut sejak dilahirkan.
Sinar Harian 29 Okt 2013
Orang Bugis tidak ganas tapi berdikari
MASYARAKAT Bugis yang berada di Kluang menyangkal persepsi masyarakat bahawa etnik berkenaan dilabelkan sebagai kumpulan ganas di laut.
Meskipun perhijrahan orang Bugis dari Sulawesi ke Johor menerusi jalan laut, namun kelompok masyarakat berkenaan tidak dianggap ganas, sebaliknya merupakan masyarakat yang berani berdikari berhijrah ke kawasan lain.
Anak Bugis, Rosman Pileh, 67, yang berasal dari Kampung Tampok, Pontian, memberitahu masyarakat Bugis tidak ganas, tetapi mungkin mempunyai sifat panas baran.
“Panas baran ini masih boleh dikawal sekiranya orang lain tidak mengusik atau menjatuhkan maruahnya. Orang Bugis ini lebih mementingkan maruah dan martabat...sekiranya maruahnya diusik, pasti mereka (orang Bugis) akan menjadi ganas.
“Kalau tidak diusik, mereka akan melayan dengan baik dan lebih menjaga hubungan kekeluargaan. Orang Bugis ini adalah bangsa yang berani kerana dahulu mereka sanggup berhijrah ke Johor disebabkan keadaan tidak selamat di Sulawesi (Indonesia).
“Jika mereka tidak berani, mungkin orang Bugis ini tidak akan masuk ke Tanah Melayu pada kurun ke-16 dahulu,” katanya kepada Sinar Harian.
Rosman berkata, masyarakat Bugis lebih gemar berkahwin dalam kalangan sanak saudara berbanding dengan orang luar kerana tidak sama darjat dan keturunan.
Menurutnya, darjat dan keturunan amat dipandang oleh masyarakat Bugis sehingga orang Melayu atau Jawa tidak dipandang pada suatu ketika dahulu.
“Disebabkan sikap orang Bugis itu yang datang berhijrah ke Tanah Melayu dan membuka penempatan di sini, masyarakat lain menganggapnya sebagai perlakuan yang buruk atau sebaliknya,” katanya.
Sementara itu Ketua Umno Cawangan Taman Emas, Radzali Mohd Noor yang juga berdarah Bugis dari Kampung Semarto, Parit Raja, menyangkal dakwaan persepsi sesetengah masyarakat yang mengatakan Bugis sebagai lanun dan mempunyai sikap ganas.
Katanya, orang Bugis dilihat sebagai ganas disebabkan mereka dikategorikan sebagai panglima yang sentiasa berperang melawan musuh.
“Sikap kepahlawanan yang suka berperang itu telah dianggap ganas oleh sesetengah masyarakat. Sebenarnya orang Bugis tidak ganas, tetapi disebabkan jiwa mereka yang suka menakluk telah disalah ertikan oleh sesetengah masyarakat lain.
“Jiwa menakluk mereka itu telah dikaitkan dengan ganas walhal mereka tidak dan orang Bugis ini seorang yang berani dan cara serta gaya mereka yang suka berperang itu telah menjadikan mereka nampak seperti ganas ataupun lanun.
“Ada juga orang Bugis ini dianggap sebagai lanun kerana masuk berhijrah ke Tanah Melayu lalu membuka penempatan, sedang mereka adalah pendatang yang berhijrah masuk Tanah Melayu untuk menyelamatkan diri daripada ancaman musuh.
“Orang Bugis sama juga seperti masyarakat Jawa dari Indonesia yang datang masuk ke Tanah Melayu dan membuka penempatan, tetapi kini orang Bugis tidak dianggap ganas atau lanun tidak seperti apa yang berlaku dahulu,” katanya.
Sinar Harian 29 Okt 2013
Credit: duniaitu
No comments:
Post a Comment