1.0 PENGENALAN
Secara umumnya, kajian ini meneliti
apakah yang di maksudkan dengan politik dan pemerintahan dalam Islam yang
terkandung di dalamnya ialah konsep politik Islam, dasar politik Islam,
pemerintahan Islam dan kedudukan non-Muslim dalam negara Islam. Selain
itu, kajian ini juga akan menyingkap beberapa persoalan mengenai dasar politik Islam
yang tertegak di atas beberapa asas utama serta perbezaan syura di dalam
politik Islam dan demokrasi barat. Selain itu, kami menyingkap beberapa persoalan
tentang tujuan dan cirri-ciri khusus dalam pemerintahan Islam Persoalan
mengenai hak asasi non-Muslim dan tanggungjawab non-Muslim juga di dalam
kedudukan non-Muslim di dalam negara Islam juga akan terjawab di dalam kajian
tugasan ini.
1.1 DEFINISI POLITIK
ISLAM
Politik selalunya di gambarkan
sebagai satu permainan kotor dan satu perebutan kekuasaan melalui 1001 macam
cara yang berlawanan dengan moral, etika dan agama, maka oleh itu ianya tidak
boleh di campuradukkan dengan agama.[1]
Politik juga adalah sebahagian
daripada pokok ajaran Islam yang syumul itu. Dengan politik, umat manusia
berjaya pada zaman kejayaannya, dan tanpa kekuasaan politik umat Islam menjadi
hancur berkecai dan hina-dina di kalangan umat manusia. Tidak ada ajaran Islam
pemisahan antara agama dan negara, antara masjid dan parlimen. Fahaman
pemisahan anatara masjid dan negara, antara agama dan politik adalah ajaran
dari konsepsi politik secular yang di bawa masuk oleh penjajah-penjajah kufar
ke negara-negara Islam.[2]
2.0 KONSEP POLITIK ISLAM
Perkataan politik
berasal daripada bahasa Yunani politicos atau
bahasa Latin Politica. Dalam bahasa Perancis disebut politique. Asal katanya ialah dari akar kata polis bererti negara kota. Polis juga bermaksud kemajuan.[3]
Politik
dalam bahasa Arab di sebut al-Siyaasah
yang merupakan masdar dari kosa kata saasa
yasuusu yang bererti melatih, memimpin, memerintah atau mengurus.[4]
Menurut Ibn Manzur dalam Lisanul Arab,
al-Suus bererti kepemimpinan. Jika
seseorang diangkat menjadi maka boleh dikatakan sawwasuhu wa asasuhu, wasaasa
al-amr siyasah yang bererti seseorang mengatur urusan politik. Bila dikatakan
sawwasa pulanun amra bani fulan
membawa erti si Fulan itu diberi mandate untuk memimpin bani Fulan.
Siasah membawa erti mentadbir urusan
awam dalam negara Islam dengan sesuatu yang dapat melaksanakan kepentingan dan
menolak bencana selagi tidak bercanggah dengan prinsip-prinsip dalam syariah
Islamiah.[5]
Kamus Indonesia menyebutkan bahawa
politik adalah ilmu yang berhubung dengan perkara keamanan negeri, akal dan
muslihat bermaksud periksa dengan teliti, siasah pemerintahan, politik
kebijaksanaan dan pemerintahan. [6]
Dalam sejarah penyebaran Islam di
Alam Melayu pula banyak terdapat bukti yang menunjukkan politik Islam menjadi
faktor yang mendorong kelahiran kota-kota Islam. Ini amat ketara sekali dalam
sejarah perkembangan Islam di persisiran pantai utara Jawadalam abad ke-15.[7]
Konsep politik bagi orang-orang
Islam ialah konsep politik Islam. Mereka tidak berhak untuk memilih konsep
politik lain dari Islam. Memilih konsep politik lain adalah satu penyelewengan
dan pencabulan terhadap agama Islam.[8]
Dapatlah kita ketahui
terdapat beberapa perbezaan politik dan siasah apabila dibuat pengkajian yang
lebih mendalam. Dapat dimaksudkan dengan kepimpinan itu adalah yang menyentuh
secara langsung persoalan urusan kepimpinan umat dan negara.
3.0 DASAR POLITIK ISLAM
Sumber mengatakan politik Islam Al-Quran dan
al-Sunnah. Meskipun tidak banyak ayat Al-Quran yang membicarakan secara
langsung dan jelas mengenai politik Islam namun berdasarkan kepada
petunjuk-petunjuk surah Rasulullahmengenainya para ulama dapat membuat beberapa
kesimpulan mengenai asas-asas utama politik Islam.
Menurut
Wahbah al-Zuhaili di dalam majalah Hadarat al-Islam, bahawa asas-asas itu
meliputi tanggungjawab individu dan awam, syura, persamaan hak dan kewajipan
serta salidariti setiap individu. [9] Sementara
itu Al-Maududi (1987) menyebutkan bahawa tonggak kepada sistem politik Islam
ialah tauhid, risalah dan khilafah. Daripada pendapat-pendapat tersebut dapat
disimpulkan bahawa politik Islam tertegak di atas beberapa asas utama,
antaranya ialah Al-Hakimiah al-Ilahiyyah, Keadilan, Persamaan, Amanah dan
Tanggungjawab, Baiat dan Ketaatan dan akhir sekali Amar Makruf Dan Nahi
Mungkar.
3.1 AL-HAKIMIAH
AL-ILAHIYYAH
Asas ini memberi
maksud bahawa al-hakimiah atau kuasa juridikasi dan kedaulatan tertinggi ke
atas alam semesta adalah milik Allah. Allah adalah Penguasa mutlak dalam
menentukan sesuatu perintah dan larangan. Dia-lah yang menentukan hukum dan
peraturan ke atas alam semesta. Manakala manusia dan alam seluruhnya adalah
tunduk di bawah kekuasaan-Nya baik secara sukarela (tau’an) mahupun secara paksa tanpa pilihan (karhan). Dari
penjelasan di atas ia dapat di perincikan seperti berikut. Bahawa Tuhan
Pemelihara alam semesta ini pada hakikatnya adalah Tuhan Pemelihara manusia,
dan tidak ada jalan bagi manusia melainkan tunduk dan patuh kepada sifat
Ketuhanan-Nya Yang Maha Esa.[10]
Selain itu manusia wajib taat dan beribadat
kepada-Nya, dan inilah jalan yang benar serta perilaku yang lurus. Allah sahaja
juga yang berhak mengeluarkan hukum dan peraturan, sebab Dia-lah Pencipta dan
Pemilik Yang tunggal. Daripada penjelasan di atas dapat disimpulkan bahawa
konsep al-hakimiah terbina di atas tiga tonggak utama yang mendasari politik
Islam iaitu tauhid, risalah dan khilafah:
3.1.1 Konsep Tauhid
Konsep ini
memberi maksud bahawa Allah adalah Pencipta alam semesta dan segala isinya. Dia
adalah Tuhan (Rabb) dan Pemilik
mutlak. Tidak ada pemerintahan , kuasa (authority),
suruhan dan larangan melainkan untuk-Nya sahaja. Dialah yang layak menerima
perhambaan dan ketaatan tanpa disekutukan dengan sesiapa pun. Inilah hakikat
tauhid. Ianya menolak fahaman mengenai kedaulatan manusia, dan membasmi fahaman
tersebut sekali, baik kedaulatan itu bersifat perseorangan, atau satu-satu
lapisan kasta, bangsa atau seluruh manusia di muka bumi. Kerana kedaulatan
hanya milik Allah. Tidak ada pemerintah melainkan Allah, dan tidak ada
undang-undang melainkan undang-undang yang diturunkan Allah.[11]
3.1.2 Konsep Risalah
Risalah atau
kerasulan adalah saluran yang melaluinya undang-undang Ilahi sampai kepada
manusia. Dengan perantaraannya manusia muslim menerima dua sumber sebagai
panduan dalam kehidupan iaitu Al-Quran (kitab Allah) di mana dalamnya
terkandung undang-undang dan peraturan Allah untuk manusia dan yang kedua ialah
penghuraian atau tafsir terhadap kitab tersebut oleh Rasulullah dalam bentuk
perkataan dan perbuatan baginda selaku wakil dari Allah di muka bumi.[12]
Sebagai wakil
Allah di muka bumi, Rasulullah S.A.W menyampaikan segala hukum dan syariat-Nya
kepada manusia dengan cara mentafsirkan dan menghuraikan syariat tersebut dalam
kehidupan baginda. Berdasarkan kepada hakikat ini maka ketaatan kepada Rasul
adalah sama dengan ketaatan kepada Allah. Allah memerintahkan manusia supaya
menerima perintah dan larangan Rasul-Nya tanpa bangkangan, keberatan hati atau
dengan sebenarnya tidak beriman sehingga mereka menerima Rasulullah S.A.W
sebagai hakim yang menyelesaikan segala perselisihan yang timbul di kalangan
mereka.[13]
3.1.3 Konsep Khilafah
Bentuk pemerintahan manusia yang
sebenar menurut pandangan Al-Quran
ialah adanya pengakuan negara
akan kepimpinan dan kekuasaan Allah dan Rasul-Nya di bidang perundangan. Iaitu
dengan menyerahkan segala kuasa perundangan (legislatif) dan kedaulatan hukum
tertinggi kepada keduanya di samping meyakini bahawa khilafah itu mewakili
Hakim yang sebenar iaitu Allah SWT.[14]
Khilafah dalam
bahasa Arab bermaksud perwakilan. Kedudukan manusia di dunia menurut pandangan
Islam adalah sebagai khalifah atau wakil Allah di dalam kerajaan-Nya. Oleh
sebab itu manusia tidak dapat bertindak sesuka hati bahkan hendaklah tunduk
kepada hak perwakilan dan hak menjalakan tindakan mengikut batasan yang
diberikan oleh Allah.[15]
Doktrin tentang
kekhilafan manusia yang disebutkan di dalam Al-Quran membawa erti bahawa segala
sesuatu di atas muka bumi yang berupa daya, kemampuan dan sumber yang ada
merupakan kurniaan Allah. Dan Allah menjadikan manusia dalam kedudukan yang
sedemikian serta segala keistimewaan supaya mereka dapat memanfaatkan segala
kurniaan tersebut sesuai dengankeredaan-Nya. Manusia bukanlah pemilik dan
penguasa hakiki walaupun terhadap diri mereka sendiri, malah tidak lebih
hanyalah sebagai wakil dari Pemilik dan Penguasa yang mutlak iaitu Allah SWT.
3.2 KEADILAN
Semua rakyat
dalam politik dan pemerintahan Islam mempunyai hak sama dari segi
undang-undang. Setiap individu baik rakyat biasa mahupun pemimpin mempunyai
kedudukan yang sama dari segi undang-undang. Tidak ada yang memiliki kekebalan
dalam perundangan. Sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan pasti akan dihukum dengan
seadil-adilnya. Firman Allah yang terjemahannya: Dan aku diperintahkan supaya berlaku adil di antara kamu [16],
pernyataan Al-Quran ini jelas terbukti dari segi perlaksanaannya di zaman
Rasulullah apabila Zaid bin Haritsah datang menemui Rasulullah untuk meminta
agar Rasulullah meringankan hukuman ke atas seorang yang melakukan kesalahan
atas di kalangan suku kabilahnya. Berhubung dengan keadilan ini, Ibn Qayyim
al-Jauziyyah mengatakan bahawa tujuan diturunkan Al-Quran dan perutusan
nabi-nabi adalah untuk mewujudkan keadilan. Malah keadilan adalah tanda
keadilan di sanalah terdapatnya undang-undang Allah dan agama.[17]
3.3 PERSAMAAN
Prinsip
persamaan bermaksud setiap individu dalam negara mempunyai kedudukan yang sama
dari segi hak, kebebasan, tanggungjawab dan tugas-tugas awam yang mana ia
berhak dinikmati bersama tanpa diskriminasi.[18] Semua
manusia dalam negara memiliki persamaan dalam hak-hak dengan sempurna tanpa
mengira warna kulit, suku bangsa, keturunan dan bahasa pertuturan. Tidak ada
seorang pun atau mana-mana kelompok dan suku keturunan yang mempunyai hak-hak
keistimewaan atau perbezaan dari segi kedudukan.[19]
Firman Allah
yang terjemahannya: Hai sekalian
manusia,sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan perempuan,
dan Kami menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal.
Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang
yang paling bertakwa di antara kamu.[20]
3.4 AMANAH DAN TANGGUNGJAWAB
Antara dasar
yang penting yang mewarnai politik dan pemerintahan , kekuasaannya dan kekayaan
adalah amanah Allah dan kaum Muslimin yang mesti diserahkan kepada mereka yang
takut kepada Allah, bersifat adil dan benar-benar beriman. Oleh demikian tidak
ada seorang pun yang berhak menggunakannya untuk mengaut keuntungan dan
memenuhi kepentingan peribadi.[21]
Allah berfirman
di dalam Al-Quran yang terjemahannya: Sesungguhnya
Allah memerintahkan kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerima dan
apabila kamu menjatuhkan hukuman di anatara manusia hendaklah kamu berlaku
adil. Sesungguhnya Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya
Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.[22]
Selain itu Saidina
Umar Al-Khattab pernah berkata mengenai betapa beratnya tanggungjawab dan
amanah yang dipikulkan ke atasnya: Andai kata ada seekor keldai mati kerana
tersesat di tebing sungai Furat, aku khuatir Allah akan menanyakan hal itu
kepadaku.[23]
3.5 BAI’AT DAN KETAATAN
Di antara dasar
politik dan pemerintahan Islam juga ialah bai’ah dan ketaatan rakyat kepada
pemimpin dalam perkara-perkara makruf. Kerana tidak ada ketaatan kepada manusia
dalam melakukan maksiat kepada Allah. Dasar ini memberi erti bahawa setiap
perintah yang dikeluarkan oleh pemerintah hendaklah ditaati oleh rakyat selagi
ia bertetapan dengan syariat Allah.[24]
Firman Allah
yang terjemahannya: Wahai orang yang
beriman, taatlah kamu Allah dan taatlah kamu kepada Rasul serta
pemimpin-pemimpin di kalangan kamu.jika berlaku perselisihan di kalangan kamu.
Jika berlaku perselisihan di kalangan kamu mengenai sesuatu perkara,maka
hendaklah kamu kembali kepada Allah (Al-Quran) dan Rasul jika benar-benar
beriman kepada Allah dan hari Akhirat.[25]
Sebenarnya tidak
terdapat sesuatu perintah atau suruhan Rasulullah yang tidak baik. Namun Allah
telah menujukan ayat tersebut kepada Rasulullah S.A.W sendiri bagi menunjukkan
betapa ketaatan tersebut mempunyai syarat yang khusus iaitu dalam
perkara-perkara yang bercanggah dengan hukum agama Allah. Kerana tidak ada
ketaatan dalam perkara-perkara maksiat.
3.6 AMAR MAKRUF DAN NAHI MUNGKAR
Dasar ini
menuntut setiap individu dalam masyarakat Islam memiliki hak bahkan wajib
mengatakan yang benar, menyeru yang makruf, membela dan mempertahankan
kebaikan, berusaha bersungguh-sungguh mencegah kemungkaran serta menghukum
kebatilan. Dan firman Allah yang terjemahannya: Dan tolong menolonglah kamu dalam perkara kebajikan dan takwa,dan
janganlah kamu tolong-menolong dalam perkara dosa dan permusuhan.[26]
Amar makruf dan
Nahi mungkar ini hendaklah berlaku secara timbal balik di antara pemerintah
dengan rakyat. Dan firman Allah yang terjemahannya: Orang-orang yang menyuruh
melakukan yang makruf dan mencegah dari perkara yang mungkar serta memelihara
hukum-hukum Allah.[27]
Rasulullah S.A.W
berpesan kepada umatnya agar tidak memandang ringan terhadap tanggungjawab
menegur dan membetulkan pemerintah apabila mereka menyeleweng daripada hukum
Allah.
4.0 PEMERINTAHAN ISLAM: TUJUAN DAN CIRI-CIRI
KHUSUS
4.1 TUJUAN
PEMERINTAHAN ISLAM
Pada dasarnya penubuhan kerajaan
merupakan suatu keperluan asas setiap masyarakat dan negara, suatu kewajipan
yang tidak boleh dihindarkan sama sekali. Ini adalah kerana banyak persoalan
yang berkaitan dengan urusan keagamaan dan keduniaan tidak dapat dilaksananakan
melainkan apabila tertegaknya sebuah kerajaan. [28]
Islam telah menetapkan tugas utama
kerajaan Islam untuk menegak dan melaksanakan hukum-hukum syariat. Kerajaan
bertanggungjawab membasmi fahaman syirik dan mengukuhkan kedudukan Islam,
mendirikan sembahyang, mengutip zakat, menyuruh melakukan yang makruf dan
mencegah yang mungkar, mengendalikan segala urusan orang ramai berlandaskan
garis yang telah di tetapkan Allah.[29]
4.2 CIRI-CIRI KHUSUS PEMERINTAHAN ISLAM
Kerajaan Islam adalah sebuah
pemerintahan yang unik dan amat berbeza dengan seluruh cara dan bentuk
pemerintahan dan kerajaan yang wujud di dunia. Pemerintahan Islam mempunyai
cirri-ciri yang khusus yang di antaranya ialah:
4.2.1 Al-Quran Dan Hadith Sebagai Sumber Hukum Dan Pemerintahan
Kerajaan Islam adalah sebuah
kerajaan bercorak Al-Quran. Ia tunduk dan patuh sepenuhnya kepada
prinsip-prinsip Al-Quran dan al-hadith. Kedua-dua sumber tersebut menjadi
perlembagaan dan sumber hukum yang tertinggi kerajaan Islam. Al-Quran dan
hadith mengatur dan menggariskan hak-hak serta kewajipan pemerintahan secara
umum. Ia juga menetapkan dasar dan garis pokok mengenai hak-hak dan
kewajipan-kewajipan individu dan menentukan garis umum mengenai hubungan mereka
dengan pihak pemerintah dan menentukan batas kuasa pemerintah terhadap rakyat
serta kepatuhan rakyat terhadap pemerintah. [30]
Orang yang memahami ajaran Islam
mengetahui bahawa Islam bukan sahaja menerangkan hubungan manusia dengan tuhan,
tetapi turut mengemukakan sebuah skema tingkah laku sosial yang jelas sebagai
panduan hasil daripada pelbagai hubungan sosial tersebut. Bermula daripada
andaian asas bahawa semua aspek kehidupan fitrah dikuasai dan di tentukan oleh
tuhan, Al-Quran menjelaskan bahawa tujauan akhir keseluruhan penciptaan adalah
kepatuhan kepada kehendak pencipta.[31]
Namun begitu, ajaran-ajaran yang
bersifat teoritikal dan etika semata-mata tidak berupaya untuk memimpin
individu kerana kepelbagaian tafsiran yang mungkin menyesatkan manusia. Menurut
ajaran Al-Quran dan Sunnah Muhammad, negara Islam memiliki satu himpunan
undang-undang yang lengkap, iaitu Syariah yang meliputi semua aspek kehidupan
manusia, kerohanian, kebendaan, individu, sosial, ekonomi dan politik. Umat
Islam percaya bahawa Islam memenuhi keperluan-keperluan ini melalui
Undang-undang Ilahi yang terkandung dalam Al-Quran serta diperhalus dan
dilaksanakan oleh Rasulullah S.A.W dalam sunnah baginda.[32]
4.2.2 Pelaksanaan Syura
Allah
S.W.T telah menetapkan bahawa mesyuarat sebagai satu kewajipan bagi orang yang
beriman dalam menyelesaikan urusan kehidupan di dunia. Malah ia menjadi cirri
dan sifat sebati orang yang beriman yang membezakan mereka dari orang yang
tidak beriman.[33]
Allah mewajibkan ke atas setiap
pemerintah supaya meminta pandangan dan pendapat orang ramai mengenai urusan
masyarakat dan pemerintahan. Sementara rakyat pula berkewajipan memberikan
pendapat dan pandangan membina dengan hati yang ikhlas. Pemerintah tidak harus
membuat keputusan dan bertindak sewenang-wenangnya dalam urusan umum, manakala
rakyat pula tidak boleh sama sekali berdiam diri dalam masalah yang melibatkan
kepentingan umum.[34]
Musyawarah adalah salah satu rukun negara
Islam di mana syura membincangkan perkara-perkara yang bersangkutan dengan
pelaksanaan syariat Islam dan lain-lain perkara yang menyentuh kehidupan rakyat
yang belum ada ketentuannya secara terperinci dalam Al-Quran ataupun al-Hadith
ataupun yang di tetapkan secara umum atau kaedah-kaedahnya sahaja kerana
politik Islam adalah politik Rabbani
dari segi dasar, manhaj, uslub dan maqasidnya. Dan dengan sekaligus menunjukan
bahawa politik Islam bukanlah autokrasi dan bukanlah diktator tetapi mempunyai
nilai-nilai demokrasi yang murni yang tersendiri dan yang sebahagian besarnya
tidak dimiliki oleh demokrasi sekular.[35]
Namun demikian perlu diingat,
walaupun Islam meletakkan mesyuarat sebagai satu kewajipan, namun kewajipan
tersebut tidak bersifat mutlak tanpa sebarang syarat dan peraturan. Kerana
syura hanya harus dilaksanakan dalam perkara-perkara yang bersangkutan dengan
urusan yang tidak terdapat sebarang ketetapan di dalam Al-Quran dan Hadith.
Sedangkan apabila masalah tersebut telah ditetapkan di dalam Al-Quran dan
Hadith secara qat’i, maka ia tidak
boleh sama sekali dimesyuaratkan kecuali mengenai urusan-urusan yang berkaitan
dengan perlaksanaan perintah-perintah tersebut semata-mata.[36]
4.2.2.1 Syura dan Demokrasi
Syura berasal daripada Islam dan
demokrasi ialah daripada barat. Demokrasi memberi maksud kerajaan atau
pemerintahan rakyat. Menurut Kamus Dwibahasa, demokrasi ialah pemerintahan negara
oleh rakyat menerusi wakil-wakil mereka, negara atau kerajaan yang menganjur
dan mengizinkan hak kewarganegaraan seperti kebebasan bercakap, beragama,
menyuarakan pendapat dan lain-lain serta menghormati hak-hak golongan kecil.[37]
Aliran sekular iaitu demokrasi ini
dipopularkan oleh ahli-ahli sejarah rasmi istana. Kemunculan aliran baharu ini
mendapat sokongan kuat daripada pihak pemerintah. Justeru, impian golongan yang
mendukung dan menyokong gerakan sekularisme telah terlaksana, dan sekali gus
menyisihkan golongan Islamis yang selama ini menjadi tempat ikutan dan panduan.[38]
Demokrasi barat yang ada sekarang
ini adalah satu bentuk pemerintahan jahiliyah yang wujud sejak zaman Yunani
Kuno lagi. Ia memberikan kekuasaan dan kedaulatan penuh kepada manusia untuk
memutih dan menghitamkan corak kehidupan mereka, tanpa agama dan wahyu dari
tuhan. Melalui suara majority dalam pilihanraya dibentuklah pemerintahan dan
pemerintah berhak berbuat apa sahaja atas nama rakyat tanpa sebarang keagamaan
dan ketuhanan.[39]
Jelas dari sudut sejarahnya,
demokrasi adalah cetusan pemikiran manusia. Malah merupakan idea dari satu
pemberontakan terhadap sistem yang zalim dan pincang pada waktu itu. Oleh yang
demikian demokrasi dari segi sumbernya adalah akal pemikiran dan hawa nafsu
semata-mata.Tidak ada perkaitan dengan agama mahupun wahyu. Ini berbeza dengan
syura yang sumbernya adalah daripada Allah. Ia adalah wahyu dan tugas manusia
hanyalah pelaksana yang melaksanakan mengikut kesesuaian semasa.[40]
4.2.2.2 Perbezaan Antara Syura Dan Demokrasi
Syura ialah daripada Allah untuk
manusia dan tidak boleh di ubah dan demokrasi pula merupakan politik barat yang
di cipta oleh manusia itu sendiri untuk manusia. Terdapat beberapa perbezaan
yang ketara antara Syura dalam Islam dengan demokrasi dalam falsafah politik
Barat iaitu dari segi sumber, bidang kuasa syura dan demokrasi dan pelaksanaan
syura dan demokrasi:
4.2.2.2.1 Dari Segi Sumber
Sumber sistem Syura ialah Al-Quran
dan al-Sunah. Terdapat beberapa ayat yang secara langsung mengarahkan
perlaksanaan syura dalam pemerintahan. Demikian juga dengan Sunnah Rasulullah
S.A.W yang menunjukkan banyak contoh pelaksanaan syura dalamapa sahaja
keputusan yang hendak di buat oleh baginda mengenai hal-hal pentadbiran, perang
dan damai, strategi dan politik serta lain-lain. Manakala demokrasi Barat
adalah bersumberkan kepada falsafah dan akal manusia semata-mata yang boleh
berubah-ubah mengikut tempat, waktu dan kepentingan nafsu manusia khususnya
yang berkuasa.[41]
4.2.2.2.2 Bidang Kuasa Syura dan Demokrasi
Bidang kuasa Syura hanya terbatas
kepada soal-soal yang tidak terdapat di dalam nash yang jelas di dalam Al-Quran
Sunnah. Mengenai persoalan yang telah terdapat nash yang putus (qat’i) di dalam Al-Quran dan Sunnah
seperti persoalan halal haram dan lain-lain, Syura tidak ada kuasa yang
membincanglannya apatah lagi untuk mengubah hokum-hukum yang yang telah di
tetapkan. Ini berbeza dengan demokrasi Barat di mana di batasinya hanya akal
dan kehendak manusia sendiri. Justeru itu apabila manusia mempunyai keinginan
untuk melakukan sesuatu atau menentukan sesuatu perkara maka ia boleh
melakukannya asalkan mendapat persetujuan majorirti walaupun ia bertentangan
dengan nilai-nilai agama dan moral.[42]
4.2.2.2.3 Pelaksanaan Syura Dan Demokrasi
Dari segi pelaksanaannya, Syura
berkaitan secara langsung dengan persoalan akidah, syariat dan akhlak. Oleh
itu, baik di pihak pemerintah mahupun rakyat, masing-masing melaksnakannya
kerana ketundukan kepada pemerintah Allah dan Rasul serta berusaha untuk
mendapatkan keredaan daripada-Nya. Berbeza dengan perlaksanaan demokrasi yang
tidak mempunyai ikatan akidah keimanan, syariat mahupun akhlak. Pemerintah
melaksanakan sesuatu biasanya bertujuan memenangi hati rakyat dan mendapatkan
sokongan dan dokongan mereka. Manakala di pihak rakyat pule melaksanakan
sesuatu yang di arahkan oleh pemimpin dengan tujuan mendapat habuan dan
mengambil hati mereka.[43]
4.2.3 Pemerintahan Bercorak Kekhalifahan Atau
Imamah
Allah memerintahkan umat Islam
supaya taat kepada Ulil Amri, maka secara langsung Allah menghendaki kaum
muslimin mewujudkan kekuasaan (negara) di kalangan umat Islamyang akan
melaksanakan setiap inci ajaran Allah dan Rasul-Nya dan melindungi umat Islam
dari sebarang ancaman kufur. Dan bentuk pemerintahan Islam sebagai mana yang
dibayangkan dalam ayat-ayat Al-Quran, al-Hadith dan praktik sejarah ialah
khilafah atau imamah.[44]
Konsep khalifah sebagaimana yang
telah disebut sebelum ini adalah pengganti Rasulullah S.A.W dalam melaksanakan
tugas memelihara agama dan membangunkan dunia berdasarkan kepada
peraturan-peraturan yang diturunkan Allah. Ini membawa erti bahawa khalifah
atau imam tidak mempunyai kuasa mutlak selain daripada sebagi wakil yang
melaksanakan pemerintahan Allah S.W.T di muka bumi.
Walau apa pun sebutan atau gelaran
yang di berikan kepada Ketua negara, baik khalifah, imam, sultan, ataupun raja
ia merupakan perkataan yang mempunyai makna yang sama iaitu mempunyai sifat
pemimpin dan kekuasaan tertinggi dalam sebuah negara mengikut pengertian umum,
dan bukannya dimaksudkan kepada suatu system atau bentuk pemerintahan tertentu.[45]
4.2.3.1 Tanggungjawab Pemerintah
Pemimpin tertinggi dalam sistem
pemerintahan Islam ialah seorang khalifah yang bertanggungjawab mengatur umat
sebagai pengganti Rasulullah S.A.W dalam menegakkan agama dan membangunkan
dunia dengan berlandaskan prinsip-prinsip syariat. Menurut Al-Quran,
pemerintahan Islam perlu beriltizam dengan hukum-hukum Allah. Apa sahaja selain
dari iltizam berkenaan disifatkan sebagai pecah amanah. Ini bererti bahawa
pemerintahan Islam tidak mempunyai alternatif kecuali melaksanakan hukum Allah.
Tiada siapa dalam pemerintahan Islam yang berhak menepikan hukum berkenaan.[46]
Jika di perincikan tujuan tersebut, maka di
dapati di antara tanggungjawab-tanggungjawab pemerintahan sebagaimana yang
dijelaskan oleh ulama[47]
adalah seperti berikut:
a) Memelihara agama iaitu mengenai dasar-dasar
yang tetap dan perkara yang telah
disepakati oleh salaf al-ummah.
b) Mendamaikan
dua golongan yang bertelagah serta menegakkan keadilan di antara mereka agar
yang zalim tidak akan bersifat melampau dan yang teraniaya tidak merasa lemah
dan tertindas.
c) Melindungi
kehormatan wanita supaya orang ramai dapat mengendalikan kehidupan aman.
d) Menjalankan
hukum hudud untuk melindungi hak-hak Allah daripada tercemar,serta melindungi
hak manusia daripada kerosakan dan kemusnahan.
e) Mengukuhkan
pertahanan negara supaya musuh tidak
dapat mencari peluang untuk mencabuli kedaulatannya menumpahkan darah walau
sekadar seorang muslim atau non-muslim yang berlindung di negara Islam.
f) Berjihad
menentang musuh Islam selepas menjalankan dakwah.
g) Memungut
cukai dan zakat serta mengagihkan mengikut ketetapan dan syarak.
h) Menentukan
peruntukan dan apa yang dimestikan daripada baitumal secara berhemah, tanpa
boros dan kikir.
i) Melantik
kalangan yang cekap lagi amanah untuk menguruskan hal-hal kewangan agar ianya
dapat diuruskan dengan baik tanpa sebarang penyelewengan.
j) Mengawasi
semua urusan serta meneliti segala keadaan jentera pentadbiran berjalan dengan
lancar.
4.2.3.2 Hak Dan Tanggungjawab Rakyat
Berdasarkan kepada pernyataan
Al-Quran dan hadith mengenai politik pemerintahan para ulama telah menggariskan
beberapa hak dan tanggungjawab rakyat dalam negara Islam. Semua hak tersebut
menjadi tanggungjawab pemerintah, manakala tanggungjawab mereka pula menjadi
hak pemerintah yang wajib dilaksanakan oleh rakyat.[48]
Di antara hak-hak mereka termasuklah:
a) Hak
keselamatan, meliputi keselamatan nyawa, maruah dan harta benda.
Pemerintah perlu menyediakan satu
mekanisma kawalan yang baik serta hukuman yang setimpal ke atas pencerobohan
yang dilakukan.
b) Hak dan
kebebasan peribadi. Ianya meliputi kebebasan individu, kehormatan tempat tinggal
daripada sebarang anasir yang boleh menggangu ketenteraman individu.
c) Kebebasan
bergerak dan bersuara. Rakyat bebas menyuarakan pendapat tanpa sebarang sekatan
kerana pendapat-pendapat itu sama ada baik dan bersifat membina maka ia boleh
diterima untuk kebaikan umum dan bila tidak baik atau tidak membina maka ia
boleh ditolak dengan hujah.
d) Hak dan
kebebasan beragama. Rakyat termasuk bukan Islam bebas untuk mengamalkan
tuntutan agama masing-masing.
e) Hak dan
kebebasan berpolitik. Mereka boleh memilih siapa yang layak untuk dijadikan
pemimpin melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang telah diberikan.
f) Hak dan persamaan
dari segi undang-undang. Setiap orang di dalam negara baik pemimpin mahupun
rakyat patut memperolehi apa yang ia berhak diperolehi dan menanggung akibat
daripada setiap kesalahan yang di lakukan.
Dr.
Abdul Karim Zaidan dalam bukunya al-Fard
wa al-Daulah fi syariat al-Islam membahagikan hak-hak individu (rakyat)
dalam negara Islam[49]
kepada dua bahagian iaitu hak-hak politik dan hak-hak umum:
4.2.3.2.1 Hak-hak politik
Hak-hak individu iaitu rakyat dalam negara
Islam yang termasuk di dalam hak-hak yang berkaitan dengan politik[50]
meliputi:
a) Hak memilih ketua
negara di mana setiap individu berhak mengundi untuk menentukan ketua negara.
b) Hak untuk
diajak berunding. Mereka mempunyai hak untuk berbincang dan berbahas mengenai
dasar-dasar penting yang ingin di laksnakan.
c) Hak mengawasi
pemerintah. Setiap individu berhak mengawasi sikap dan tindak tanduk pemerintah
dan para pegawainya dalam menjalankan tugas yang berhubung dengan kepentingan
negara.
d) Hak
menurunkan ketua negara. Rakyat berhak untukk menyingkirkan mereka apabila
mereka menyeleweng, tidak amanah, tidak mampu menjalankan tugas atau cuai.
e) Hak memegang
jawatan yang umum. Ia bukanlah hak individu yang mesti disediakan oleh negara,
sebaliknya ia adalah tanggungjawab yang dibebankan oleh negara kepada sesiapa
yang layak.
4.2.3.2.2 Hak-hak umum
Hak-hak individu iaitu rakyat dalam negara
Islam yang termasuk di dalam hak-hak yang umum terbahagi kepada hak persamaan
dan hak kebebasan[51]:
a) Hak persamaan (al-musawat)
i- Persamaan dari segi sosial dimana
semua manusia adalah sama.
ii- Persamaan
dalam undang-undang di mana tidak ada seorang pun baik pemerintah, golongan
bangsawan dan hartawan, ataupun rakyat biasa yang terkecuali daripada
undang-undang apabila melakukan kesalahan.
b) Hak kebebasan (al-hurriyyah)
i- Kebebasan
individu meliputi kebebasan bergerak,tidak boleh ditangkap, disiksa, dikurung
kecuali atas dasar undang-undang.
ii- Kebebasan
beragama dan beribadat di mana tidak ada paksaan dalam beragama dan setiap
individu bebas mengamalkan ajaran agama masing-masing.
iii- Kehormatan
tempat tinggal di mana tidak seorang pun berhak mencerobohi dan memasuki rumah
seseorang tanpa izin.
iv- Kebebasan
bersuara dengan niat yang baik dan tujuan yang membina
v- Kebebasan
memiliki harta dan membelanjakan harta tersebut secara halal dan sah.
vi- Kebebasan
dan hak menuntut ilmu dan menambahkan ilmu pengetahuan.
Apabila
pemerintah telah menjalankan tanggungjawab-tanggungjawab tersebut di atas maka
mereka dikira telah menunaikan hak Allah dan hak rakyat yang telah diamanahkan
kepada mereka dan apabila diperincikan, tanggungjawab rakyat terhadap
pemerintah[52]
ialah:
a) Mentaati
mereka sama ada dalam keadaan senang atau susah. Suka ataupun tidak disukai
kecuali apabila perkara yang diperintahkan itu bercanggah dengan syariat Allah.
Sebagai imbangan kepada hak mereka untuk mendapat keadilan daripada pemerintah,
rakyat berkewajipan mematuhi pihak pemerintah. Sebagai imbangan kepada hak
kebebasan bersuara dan mengeluarkan pendapat yang mereka perolehi, rakyat perlu
akur kepada keputusan yang telah dibuat serta melaksanakannya dengan penuh
tekun dan sabar.[53]
b) Memberikan
sokongan dan bantuan keapada mereka dalam melaksanakan kerja-kerja kebajikan
selagi mana mereka tidak berubah daripada syarat dan tanggungjawab yang telah
ditetapkan. Dalam firman Allah juga ada menyatakan yang terjemahannya: Dan tolong-menolonglah kamu dalam
(mengerjakan) kebajikan dan takwa dan jangan kamu tolong-menolong dalam perkara
dosa dan permusuhan.[54]
c) Menegur dan
membetulakn pemerintah apabila mereka meakukan kesilapan atau menyeleweng
daripada tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan. Dalam firman Allah juga ada
menyatakan yang terjemahannya: Sesungguhnya
orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah)
pelindung kepada sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang baik,
mencegah dari yang mungkar.[55]
5.0 KEDUDUKAN NON-MUSLIM DALAM NEGARA ISLAM
Masyarakat
Islam adalah masyarakat yang terbina di atas asas akidah dan idealogi yang
khusus. Dalam pengertian lain, masyarakat Islam adalah satu masyarakat yang
menjadikan Islam sebagai panduan hidup mereka, Al-Quran dan al-Hadis
perlembagaan hidup dan sumber perundangan di dalam setiap aspek kehidupan sama
ada yang berkaitan dengan kehidupan individu atau kumpulan, material atau
spiritual, tempatan atau antarabangsa.[56]
5.1 HAK ASASI NON-MUSLIM
Islam adalah agama akidah dan kasih sayang. Pemerintahan Islam
merupakan saluran untuk melaksanakan ajaran Islam tersebut. Dan ia tidak
dikhususkan bagi faedah umat Islam semata-mata malah meliputi orang bukan
Islam. Prinsip asas yang mendasari kedudukan orang bukan Islam di bawah
pemerintahan Islam ialah hidup bersama, baik dan adil berasaskan persetujuan
bersama. Dalam konteks dunia hari ini persetujuan yang dimaksudkan boleh wujud
dalam bentuk perlembagaan atau sebagainya.[57] Tidak ada satu perkara yang boleh menghalangi
hubungan baik tersebut melainkan sikap permusuhan orang-orang bukan Islam
sendiri terhadap Islam atau penganutnya.
Konsep hidup bersama secara adil dan saksama ini termasuk membenarkan
penyertaan orang bukan Islam dalam jawatan awam, penggunaan tenaga kerja,
penyertaan ke dalam majlis syura, menganggotai kabinet dan angkatan tentera.
Pemerintahan Islam juga berkewajipan melindungi kepentingan orang bukan Islam
sama ada dalam beragam, memelihara keselamatan nyawa, tubuh badan,
maruah, harta dan seumpamanya. [58]
Di antara
hak-hak asasi Non-Muslim dalam negara Islam ialah hak
mendapat perlindungan, hak dalam beragama, hak untuk bekerja dan mencari
keuntungan dan hak menjawat jawatan kerajaan:
5.1.1 Hak Mendapat Perlindungan.
Hak ini meliputi perlindungan dari setiap pencerobohan luar dan
kezaliman dari dalam sehingga mereka dapat merasai keamanan dan
kestabilan hidup.[59]
Mengenai perlindungan daripada pencerobohan pihak luar Ibn Hazm
menjelaskan bahawa apabila terdapat
penceroboh dari negara harbi datang ke negara Islam dengan tujuan menceroboh mereka
yang di bawah perlindungan Islam, maka pemerintah wajib memerangi penceroboh
tersebut yang di bawah tanggungan Allah dan Rasul-Nya (ahl zimmah) kerana jika diserahkan mereka kepada penceroboh ini
bererti pemerintah telah melakukan pelanggaran terhadap perjanjian zimmah.[60]
Sementara perlindungan daripada kezaliman dalaman pula ialah
perlindungan daripada gangguan dan kezaliman oleh orang-orang Islam sendiri
terhadap mereka. Terdapat banyak ayat al-Quran dan hadith Rasulullah S.A.W yang
memberi amaran kepada umat Islam supaya tidak melakukan kezaliman. Malah
terdapat hadith yang secara khusus memberi peringatan supaya jangan melakukan
kezaliman kepada orang bukan Islam sama ada yang melakukan kezaliman kepada
orang bukan Islam sama ada yang tergolong dari kalangan ahl
al-zimmah atau al-‘ahd (ahl al-aman).[61]
Sabda Rasulullah
S.A.W yang terjemahannya:
Sesiapa yang menzalimi seorang yang kafir
yang diberi janji perlindungan oleh Negara Islam (mu’ahadah) atau mengurangi
haknya atau memaksanya melakukan sesuatu di luar kemampuannya atau mengambil sesuatu yang menjadi miliknya tanpa kerelaan hatinya, maka saya
adalah penentangnya di hari kiamat nanti. (Diriwayatkan oleh Abu Daud dan Al-Baihaqi)
5.1.2 Hak Dalam Beragama Serta Mengamalkan Ajaran
Agama Masing-Masing
Kebebasan beragama adalah menjadi hak asasi manusia seluruhnya.
Syariat Islam memberikan hak tersebut kepada sesiapa sahaja yang tinggal di
bawah pemerintahan Islam. Dasar kebebasan beragama ini
ialah firman Allah yang terjemahannya: Tidak ada paksaan
dalam (menganut) agama (Islam), sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada yang salah.[62]
Di samping itu, jaminan hak kebebasan beragama juga dapat dilihat
melalui pengsyariatan jihad peperangan. Kerana menjadi tujuan utama peperangan
dalam Islam ialah memberi kebebasan beragama kepada manusia serta menyelamatkan
rumah-rumah ibadat yang didirikan.
Firman Allah
yang terjemahannya:
telah diizinkan berperang bagi
orang-orang yang telah diperangi keran mereka telah dianiayai. Dan mereka
sesungguhnya Allah Maha Kuasa menolong mereka itu. (Iaitu) orang-orang yang
telah diusir dari kampong halaman mereka tanpa alas dan kecuali kerana mereka berkata; “Tuhan kami hanyalah Allah”. Dan
sekiranya Allah tidak menolak keganasan sebahagian manusia dengan sebahagian
lain, tentulah telah dirobohkan biara-biara Nasrani, gereja-gereja, rumah
ibadat orang Yahudi, dan masjid yang di dalamnya banyak disebut nama Allah.[63]
5.1.3 Hak Untuk Bekerja Dan Mencari Keuntungan
Orang bukan Islam juga mempunyai hak dan
kebebasan bekerja dan mencari keuntungan melalui pekerjaan atau perniagaan yang
dilakukan sama ada persendirian atau secara berkongsi dengan orang lain baik
dengan orang Islam atau sesama mereka.[64]
5.1.4 Hak Menjawat Jawatan Kerajaan
Orang bukan Islam mempunyai hak untuk menjawat
pelbagai jenis jawatan atau pekerjaan kerajaan kecuali jawatan yang bersifat
keagamaan seperti Ketua negara, Ketua Kerajaan, Ketua Tentera, Kehakiman di
antara orang-orang Islam dan seumpamanya.[65]
5.2 TANGGUNGJAWAB NON-MUSLIM
Sebagai rakyat atau penduduk Negara Islam yang mendapat perlindungan
dan diberikan berbagai hak, orang bukan Islam juga mempunyai beberapa
tanggungjawab secara khusus selain dari tanggungjawab memberikan ketaatan dan
mematuhi peraturan-peraturan dalam negara Islam seperti mana yang dilakukan oleh
orang-orang Islam. Di antara
tanggungjawab tersebut ialah membayar jizyah dan kharaj, mematuhi
undang-undang, memelihara dan menghormati sensitiviti umat Islam:
5.2.1 Membayar Jizyah Dan Kharaj
Jizyah merupakan cukai tahunan yang diwajibkan ke atas orang lelaki
ahl zimmah yang baligh dan mempunyai kemampuan dengan kadar (yang sedikit
jumlahnya). Orang-orang kafir dan miskin tidak dikenakan sama sekali. Manakala
kharaj pula ialah cukai tanah yang dikenakan ke atas pemilik kekal tanah dan
kadarnya bergantung kepada kebijaksanaan pemerintah pada sesuatu masa.[66]
Bayaran jizyah tidak terikat dengan kadar tertentu, bahkan ia
dikenakan berdasarkan kepada kemampuan seseorang dan akan berbeza-beza dari
seorang yang lain berdasarkan kepada keupayaan tersebut. Umar Al-Khattab
umpamanya telah mengenakan jizyah ke atas orang kaya sebanyak 48 dirham
setahun, manakala golongan pertengahan dikenakan 24 dirham dan orang bawahan
sebanyak 12 dirham.[67] Orang-orang bukan Islam tidak diwajibkan
untuk menyertai khidmat ketenteraan sebagaimana diwajibkan ke atas orang Islam.
5.2.2 Mematuhi Undang-Undang
Orang bukan Islam juga bertanggungjawab
mematuhi segala peraturan dan undang-undang
Islam yang berjalan dalam negara, tidak berkaitan dengan akidah dan kebebasan mereka beragama.
Dengan kata lain, mereka tidak dibebankan dengan zakat (sebagai satu bentuk cukai)
yang diwajibkan ke atas orang Islam, jihad atau khidmat ketenteraan yang difardukan
ke atas orang Islam.[68]
5.2.3 Memelihara Dan Menghormati Sensitiviti Umat
Islam
Tujuan negara ditegakkan, dan tujuan undang-undang
dilaksanakan adalah untuk mewujudkan keadaan harmoni dan amandalam
kehidupan masyarakat dan negara. Semua pihak dalam negara perlu sama-sama memainkan peranan
penting untuk mengekalkan keharmonian tersebut. Antara anasir yang boleh
merosakkan keharmonian hidup bermasyarakat ialah apabila adanya keadaan
salah faham khususnya yang menyentuh soal akidah dan amalan beragama.[69]
Oleh yang demikian itu orang bukan
Islam bekewajipan untuk menghormati dan memelihara sensitiviti kaum dan
agama ini agar jangan sampai dicabuli keran ia akan mengundang bahaya yang
besar. Orang Islam tidak harus sama sekali mencaci agama Islam atau sebahagian
dari amalan atau perintah-perintah agama. Mereka dibenarkan memakan dan meminum
makanan dan minuman yang tidak dilarang dalam agama mereka walaupun Islam
mengharamkannya seperti daging babi dan arak. Namun kebenaran tersebut tidak
bermakna bukan Islam boleh memakan dan meminum makanan dan minuman tersebut
sehingga menggangu orang lain khususnya orang-orang Islam.
sekadar gambar hiasan
sekadar gambar hiasan
6.0 KESIMPULAN
Daripada dapatan kajian dapatlah di
ketahui terdapat perbezaan pemerintahan politik Islam dengan pemerintahan
sekular yang di bawa oleh barat dalam negara-negara Islam pada amnya. Pelaksanaan
Syura dalam politik Islam datangnya daripada Allah S.W.T untuk umat manusia dan
fahaman demokrasi pula datangnya dari manusia untuk manusia.
Sebagai contoh, Rasulullah S.A.W
telah menegakkan negara Islam pertama di Madinah dan baginda menjadi ketua
negara Islam yang pertama berdasarkan politik Islam. Kemudian sesuadah beliau
wafat, jawatan ketua negara itu dipegang oleh sahabat pilihan yang bergelar
khalifah berdasarkan pelaksanaan syura. Hal ini berbeza dengan demokrasi barat
yang melantik ketua negara atau pemimpin dengan cara yang berlainan.
Secara
keseluruhannya, pemerintahan Islam bukan berbentuk autokrasi, teokrasi dan
demokrasi seperti yang dinyatakan bahawa kekuasaan dalam negara Islam hanyalah
kepunyaan Allah dan bukan kepunyaan rakyat atau individu-individu tertentu. Bukan
hanya ulama’ semata-mata yang mentadbir negara dalam politik Islam tetapi
seluruh masyarakat Islam.Sebagai khalifah semua muslim menerima kedaulatan yang
terbatas dari Allah untuk mengatur masyarakat.
Selain
itu juga golongan non-Muslim yang tinggal di dalam negara Islam mempunyai
hak-hak asasi dan tanggungjawabnya. Mereka mempunyai hak mendapat perlindungan,
hak dalam beragama serta mengamalkan ajaran agama masing-masing, hak untuk
bekerja untuk mencari keuntungan dan hak menjawat jawatan kerajaan di dalam
negara Islam. Mereka juga perlu membayar jizyah iaitu cukai tahunan dan kharaj
iaitu cukai tanah jika tinggal di dalam negara Islam. Tanggungjawab yang lain
ialah mereka perlu mematuhi undang-undang Islam yang berjalan di dalam negara
dan memelihara dan menghormati sensitiviti umat Islam.
Buku Rujukan Asal
Buku Rujukan Asal
7.0 RUJUKAN
7.1 BUKU
ASAL
Wan
Jusoh, Wan Ali, 2005, Institusi-Institusi
Islam, Kuala Lumpur: Universiti Teknologi Malaysia.
Abdul
Munir Yaacob, penyt, 1999, Prinsip-Prinsip
Pemerintahan Dalam Masyarakat Majmuk. Kuala Lumpur: Institusi Kefahaman
Islam Malaysia.
Ahmad,
H.Zainal Abidin, 1977, Ilmu Politik Islam,
Jakarta: P.T Bulan Bintang.
Al-Hind,
Alauddin, 1955, Kanzul Ummal, Haidar
Abad: Dairat al-Kasulikiyah.
Alias
Othman, 1991, Asas-Asas Pemikiran Politik Islam, Kuala Lumpur: Pustaka Salam.
Audah,
Abd al-Qadir, 1951, al-Mal wa al-Hukm fi
al-Islam, Kaherah: Matba’ah Dar al-Kitab al-‘Arabiy.
El-Awa, Muhamed S., 1978, On The Political System Of The Islamic State,
Indianapolis: American Trust Publication.
Haraphat,
E. St. Haraphat, 1951, Kamus Indonesia,
Bandung: G.Kolf & Co.
Ibn
Khaldum, Abd al-Rahman, 1970, Al-Muqaddimah,
Beirut:Maktabah Lubnan.
Ibn
Qayyim, Abdullah Muhammad bin Abi Bakar al-Damasqi, 1953, al-Turuq
al-Hukmiyyah fi al-Syar’iyyah, Kaherah: t.pn.
Khalaf,
Abdul Wahab, 1350H, Al-Siyasah al-Syari’ah,
Kaherah: Al-Matba’ah al-Salafiyah.
Al-Mawardi,
Abu Hasan ‘Ali bin Muhammad bin Habib al-Basriy al-Baghdadiy, 1983, al-Ahkam al-Sultaniyyah wa al-Wilayah
al-Diniyyah, Kaherah: Dar al-Fikr.
Munawwir,
A.W, 1997, al-Munawwir Arab-Indonesia
Terlengkap, Surabaya: Pustaka Progresif.
Al-Qardhawi,
Dr. Yusuf, 1988, al-Siyasah al-Syar’iyyah,
Kaherah: Maktabah Wahbah.
Zaidan,
Abd al-Karim, 1988, al-Fard wa al-daulah
fi syariat al-Islam.
7.2 BUKU
TAMBAHAN
Abdul
Ghani Azmi, Drs., 1999, Bagaimana Islam Berpolitik
dan Memerintah, Kuala Lumpur: Al-Hidayah Publisher.
A.Al-Sayed,
Dr. Abdul Malek, 1995, Etika Sosial Dalam
Islam, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.
Haji
Abdullah, Auni, 2001, Islam Dan
Perdagangan Dalam Sejarah Alam Melayu, Kuala Lumpur: Darul Fikir Sdn. Bhd.
Haji
Yahaya, Mahayudin, 2009, Sejarah Politik
dan Sosiobudaya Masyarakat Islam, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.
[1] Abdul Ghani Azmi, Drs,
1999, Bagaimana Islam Berpolitik Dan
Memerintah, Kuala Lumpur:Al-Hidayah Publisher, hal.vi
[7] Hajhi Abdullah, Auni,
2001, Islam dan Perdagangan dalam Sejarah
Alam Melayu, Kuala Lumpur: Darul Fikir Sdn. Bhd, hal.32
[17] Ibn Qayyim, Abdullah
Muhammad bin Abi Bakar al-Damasqi, 1953, al-Turuq
al-Hukmiyyah fi al-Siyasah al-Syar’iyyah, Kaherah:t.pn, hal.324
[18] El-Awa, Muhamed S,
1978, On The Political System of The
Islamic State, Indianapolis:American Trust Publication, hal.324
[31] A.Al-Sayed, Dr. Abdul
Malek, 1995, Etika Sosial Dalam Islam,
Kuala Lumpur:Dewan Bahasa dan Pustaka, hal.20
[33] Audah, Abd al-Qadir,
1951, al-Mal wa al-Hukm fi al-Islam,
Kaherah:Matba’ah Dar al-Kitab al-Arabiy, hal.332
[38] Haji Yahaya,
Mahayudin, 2009, Sejarah Politik dan
Sosiobudaya Masyarakat Islam, Kuala Lumpur:Dewan Bahasa Dan Pustaka, hal.94
[46] Abdul Munir Yaacob,
penyt, 1999, Prinsip-Prinsip Pemerintahan
Dalam Masyarakat Majmuk, Kuala Lumpur:Institusi Kefahaman Islam Malaysia,
tiada halaman
[47] Ibn Khaldum, Abd
al-Rahman, 1970, Al-Muqaddimah,
Beirut:Maktabah Lubnan, tiada halaman; Al-Mawardi, Abu Hassan ‘Ali bin Muhammad
bin Habib al-Basriy al-Baghdadiy, 1983, al-Ahkam
al-Sultaniyyah wa al-Wilayah al-Diniyyah, Kaherah:Dar al-Fikr, tiada
halaman
[49] Zaidan, abd al-Karim,
1988, al-Fard wa al-Daulah fi syariat
al-Islam, Mesir:Dar al-Ma’arif, tiada halaman
[69] Ibid.
*p/s: Kajian ini merupakan kajian penulis bersama-sama rakan kumpulan tugasan semasa berada di Universiti Teknologi Malaysia dan di Universiti Tenaga Nasional untuk subjek pendidikan Islam. Tiada hak cipta terpelihara. Boleh di jadikan sumber..insyaallah..Ingat! jangan plagiat..:)
*p/s: Kajian ini merupakan kajian penulis bersama-sama rakan kumpulan tugasan semasa berada di Universiti Teknologi Malaysia dan di Universiti Tenaga Nasional untuk subjek pendidikan Islam. Tiada hak cipta terpelihara. Boleh di jadikan sumber..insyaallah..Ingat! jangan plagiat..:)